Khamis, 22 Disember 2016

Abdullah Fadzil hantar surat letak jawatan

ARKIB : 20/05/2000
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat perletakan jawatannya tiga hari lalu kepada timbalannya, Datuk Roland Wong.

Fadzil berkata, surat itu dihantar sehari selepas Malaysia gagal menempatkan diri dalam barisan empat pasukan untuk mara ke separuh akhir setelah tumpas 1-4 pada perlawanan penentuan menentang Denmark.

''Saya telah hantar surat tersebut dan terpulang kepada ahli Majlis BAM untuk menentukan kedudukan saya.

''Tunggulah mesyuarat majlis yang akan diadakan tidak lama lagi,'' katanya yang ditemui selepas kejohanan persahabatan antara pegawai dan media yang bertugas sepanjang Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber 2000 di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Selasa lalu, Fadzil mengumumkan akan menghantar surat perletakan jawatannya selepas pasukan negara gagal mara ke separuh akhir kejohanan berpasukan itu buat kali kedua sepanjang tujuh tahun kepimpinannya yang bermula sejak 1993.

Tindakan itu dibuat bagi menepati janjinya untuk melepaskan jawatan sekiranya skuad Piala Thomas negara gagal merampas semula piala berprestij itu.

Mengenai keyakinannya yang terlalu tinggi untuk memenangi Piala Thomas, Fadzil menjelaskan, perkara itu lahir berdasarkan prestasi cemerlang pemain yang hampir memenanginya di Hong Kong dua tahun lalu.

''Hampir semua barisan pemain yang turun sama seperti pada pertandingan di Hong Kong dulu kecuali Chan Chong Ming dan pada 1998 mereka hampir membawa pulang piala ini tetapi berjaya dihalang oleh Indonesia.

''Oleh kerana barisan pemain yang hampir sama ditambah dengan kelebihan bermain di tempat sendiri, saya yakin dengan kemampuan mereka. Tetapi ternyata tidak dapat menerima harapan tinggi ini,'' katanya.

Mengenai kehilangan beberapa pemain veteran termasuk pemain beregu, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Rashid Sidek yang akan menggantung reket selewat-lewatnya selepas Sukan Olimpik Sydney, November depan, Fadzil berkata, satu pasukan baru akan dibentuk. ''Barisan pemain muda yang terdiri daripada Wong Choong Hann dan turut disertai Yong Hock Kin, Choong Tan Fook, Lee Wan Wah akan mengisi kekosongan yang ada.

''Selain daripada itu kita juga ada beberapa pemain muda seperti Ismail Saman, Yeoh Kay Bin dan lain-lain untuk membawa cabaran di masa depan,'' ujarnya.

Selain daripada itu, Fadzil turut melahirkan hasrat untuk menulis sebuah buku mengenai pengalamannya selama 15 tahun berada dalam BAM termasuk ketika pemain negara menjulang Piala Thomas pada 1992 dan ketika mereka menempah tiket ke peringkat akhir di Hong Kong dua tahun lalu walaupun turun selaku underdog selepas terkandas di peringkat kumpulan pada 1996.

Sumnber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Ta42af56 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan