Khamis, 15 Disember 2016

Choong Hann ke separuh akhir

ARKIB : 18/02/2000
PERSEORANGAN utama negara, Wong Choong Hann menjadi pemain pertama mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Grand Prix Akhir Kebangsaan Proton-EON, selepas memenangi kedua-dua perlawanan awal kumpulan A di Dewan Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan, Seremban, semalam.

Pilihan utama dari Kuala Lumpur itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas sebelum menang 11-15, 15-8, 15-13 ke atas pemain sedang meningkat, Ismail Saman.

Pada perlawanan pembukaan di sebelah pagi, Choong Hann, pemain ranking keempat dunia tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan Lim Theam Teow dari Pulau Pinang 15-6, 15-5.

Ismail, yang mara ke suku akhir Terbuka Korea Januari lalu, mengheret Choong Hann untuk bertarung lebih sejam sebelum mencatat kemenangan rubber-set.

Choong Hann dikejutkan dengan kekalahan 11-15 dalam set pembukaan, tetapi bangkit pada set kedua apabila menang 15-8.

Dalam set penentuan, Choong Han, yang kelihatan keletihan untuk menahan asakan Ismail ketinggalan 6-9, 8-10, 8-11 dan 8-12.

Juara Sukan Komanwel 1998 itu bagaimanapun tidak membenarkan lawan terus menguasai permainan apabila menyamakan kedudukan 12-12.

Choong Hann meletihkan Ismail menerusi smash tajam, sebelum kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh lawan memberikan kemenangan 15-13 buat naib juara Sukan SEA 1999 itu.

Dalam perlawanan lain, beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah turut melepasi halangan awal apabila menang 17-15-15-10 ke atas rakan dalam skuad kebangsaan, Pang Cheh Chang-Cheah Soon Thoe.

Pasangan nombor tiga negara, Rosman Razak-Chew Choon Eng mencerahkan peluang untuk melangkah ke separuh akhir apabila menumpaskan Kay Bin-Kuan Beng Hong 15-2, 15-8.

Turut menang dalam perlawanan pembukaan adalah bekas juara remaja dunia, Chan Chong Ming-Jeremy Gan yang menang 15-5, 15-12 ke atas Lee Chee Leong-Chang Kim Wai.

Oleh: HATA WAHAIRI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Sv7pRFsY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan