Khamis, 15 Disember 2016

10 pemain dipilih berlatih bersama pasukan Korea

 ARKIB : 06/02/2000
HANYA 10 pemain perseorangan dan beregu akan terpilih untuk menjalani latihan bersama dengan pasukan kebangsaan Korea Selatan 23 Mac hingga 2 April depan.

Jurulatih beregu negara, Park Joo-bong berkata, Persatuan Badminton Korea Selatan (KBA) telah bersetuju dengan latihan bersama itu dengan syarat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut membawa pemain perseorangan mereka.

''Kami (BAM dan KBA) telah bersetuju membenarkan 10 pemain terlibat dalam program ini dan ia termasuklah pemain perseorangan.

''Bagaimanapun mereka tidak menetapkan jumlah pemain beregu dan pemain perseorangan yang akan menyertainya,'' katanya di Akademi Badminton Malaysia, Taman Maluri, kelmarin.

Joo-bong yang baru tiga bulan dilantik menjadi jurulatih beregu oleh BAM telah merangka beberapa program termasuk latihan fizikal di Langkawi serta latihan bersama dengan pemain Korea sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi pusingan akhri Kejohanan Piala Thomas-Uber 2000 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Mei ini.

Latihan bersama di Korea Selatan itu dibuat berikutan kekuatan mereka dari segi barisan pemain beregu lelaki dengan gandingan Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon dan Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung kini menduduki tangga kedua dan ketiga dunia.

Sebagai balasan, mereka mahu BAM membawa pemain perseorangan lelaki untuk turut berlatih bersama-sama.

Berikutan jumlah yang terhad, jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, beliau hanya akan membuat pemilihan pemain beberapa minggu sebelum ke Korea Selatan.

''Saya tidak mahu ada di antara pemain yang merasa kecewa kerana tidak berpeluang ke sana. Kami juga masih belum memutuskan berapa jumlah pemain beregu dan perseorangan yang akan dipilih sama ada tiga pasangan beregu dan empat pemain perseorangan atau lain-lain pecahan,'' ujarnya.

Pemain negara kini giat menjalani latihan pusat sebagai persiapan menghadapi kejohanan Piala Thomas-Uber yang semakin hampir.

BAM menawarkan diri sebagai tuan rumah kejohanan berprestij itu dalam usaha badan induk badminton itu merampas semula Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992 setelah menumpaskan Indonesia di perlawanan akhir.

Dua tahun berikutnya hinggalah pada 1998, Indonesia telah berjaya memastikan piala itu tidak terlepas daripada genggaman mereka dengan memenangi pertandingan dwitahunan itu tiga kali berturut-turut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SuKsQisJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan