Selasa, 20 Disember 2016

Choong Hann anggap Hendrawan liat


 

ARKIB : 29/04/2000
CHOONG Hann menjalani latihan mendaki anak tangga dalam persiapan terakhir menjelang Piala Thomas di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI

JIKA diberi pilihan, perseorangan utama negara, Wong Choong Hann lebih selesa sekiranya bertemu China di separuh akhir kejohanan badminton Piala Thomas berbanding Indonesia.

Kata Choong Hann, perseorangan pertama negara itu, Hendrawan adalah pencabar yang paling dibimbangi di sepanjang kejohanan 11-21 Mei ini, selepas penelitian penuh dijalankan ke atas semua perseorangan utama yang akan beraksi di pusingan akhir ini.

Katanya, sejak memasuki kem latihan pada 23 April lalu, dia diarah supaya mempelajari permainan pemain perseorangan pertama setiap pasukan yang dijangka menentang Malaysia.

''Saya bermula dengan pemain-pemain dalam kumpulan A, dan tentu sekali Peter Gade-Christensen merupakan lawan yang paling membimbangkan,'' kata Choong Hann, merujuk kepada perseorangan utama Denmark, semalam.

''Peluang kami amat seimbang dan saya letak peratusan untuk menang adalah 50-50. Dia memegang rekod pertemuan 2-1 tetapi kebelakangan ini tidak menunjukkan permainan konsisten,'' katanya.

Pemain nombor satu dunia, Christensen, yang tewas kepada Roslin Hashim pada suku akhir Terbuka Jepun lalu, dipaksa berhempas pulas sebelum mengetepikan pemain Belanda, Dicky Palyama untuk mara ke suku akhir Kejohanan Eropah, Rabu lalu.

''Saya fikir pertemuan dengan Korea Selatan dan India tiada masalah. Saya memegang rekod pertemuan ke atas kedua-dua perseorangan utama pasukan itu.

''Saya menang 1-0 ke atas P. Gopichand (India) dan 2-0 ke atas Shon Seoun Mo. Peratusan untuk menewaskan kedua-dua pemain adalah 60-40,'' katanya.

Bagaimanapun Choong Hann berkata, sekiranya diberi pilihan dia lebih selesa bertemu China dalam saingan separuh akhir, di mana dia dijangka menentang Xia Xuanze.

''Xia mempamer peningkatan mendadak kebelakangan ini termasuk menjuarai Kejohanan Seluruh England untuk melonjak ke ranking keenam dunia,'' katanya, yang tewas 5-15, 5-15 kepada Xia di pusingan ketiga Seluruh England.

''Bagaimanapun sekurang-kurangnya saya pernah bertemu dengannya dan tahu serba sedikit mengenai permainan pemain ini,'' katanya lagi.

''Hendrawan pula adalah pemain yang amat konsisten dan berpengalaman. Saya tidak pernah bertemu dengan pemain ini dan saya perlu lebih banyak belajar mengenai permainannya jika kami bertemu di separuh akhir.''

Menurut Choong Hann, memandangkan barisan perseorangan dan beregu yang dimiliki Indonesia amat mantap, mata pembukaan penting buat Malaysia jika mahu mencatat kemenangan ke atas pasukan itu.

''Saya gagal mengutip mata pertama buat pasukan negara ketika kita tewas kepada Indonesia dalam acara berpasukan pada Sukan SEA Brunei lalu, ia amat mengecewakan dan saya tidak mahu mengulanginya lagi,'' katanya.

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TNLChuKc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan