Rabu, 7 Disember 2016

Pasangan Tan Fook ke akhir Badminton Piala Konica

ARKIB : 29/08/1999
SINGAPURA - Pasangan negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Simon Archer-Nathan Robertson dari England 15-11, 15-8 pada Kejohanan Badminton Piala Konica Terbuka Singapura di Stadium Tertutup di sini semalam.

Dengan kemenangan itu, Tan Fook dan Wan Wah akan bertemu pasangan Indonesia, Candra Wijaya-Tony Gunawan, yang menewaskan Lee Dong Soo-Yoo Yong dari Korea dalam satu lagi separuh akhir 15-7, 15-11.

Walaupun menang mudah, jurulatih kebangsaan, Morten Forst berkata, permainan mereka agak lembap sehingga ketinggalan 3-11 pada set pertama.

''Mujur mereka mampu bangkit dan akhirnya memenangi set pertama. Kemenangan itu memberi keyakinan kepada mereka untuk memenangi set berikutnya,'' kata Frost.

Jurulatih itu menjangkakan pertemuan sengit pada perlawanan akhir menentang pasangan Indonesia itu hari ini.

Morten yakin pasangan negara mampu menghasilkan keputusan terbaik meskipun menyedari kehebatan pasangan Indonesia itu yang menewaskan pilihan pertama dari Korea semalam.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara beregu lelaki pada kejohanan itu ialah pada tahun 1989 menerusi pasangan Razif dan Jalani Sidek.

Sementara itu, pemain muda Indonesia, Taufik Hidayat turut ke perlawanan akhir dan akan bertemu rakan senegaranya, Heryanto Arbi.

Taufik menewaskan pemain nombor satu, Peter Gade Christensen dari Denmark yang juga pemain pilihan pertama dalam tiga set 14-17, 15-13, 15-10.

Set pertama tidak memihak kepada Taufik yang juga juara perseorangan Sukan SEA dengan 14-17 bagaimanapun dia kembali bertenaga pada set kedua.

Meskipun ketinggalan 3-10 tetapi Taufik mampu mengejar dan merapatkan kedudukan sehingga mendahului 14-13 sebelum menang 15-13.

Set ketiga menyaksikan Peter lebih agresif dan meninggalkan Taufik dengan kedudukan 5-0. Kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh Peter membawa padah sehingga Taufik berjaya menyamakan kedudukan 7-7 sebelum menang 15-10.

Taufik yang ditemui berkata, dia hilang keyakinan apabila tewas pada set pertama.

''Saya kembali yakin apabila Peter kerap melakukan kesilapan apabila gagal menyempurnakan smash. Keadaan itu menguatkan keyakinannya walaupun ketinggalan pada awal set kedua dan ketiga.

''Peter terlalu emosi apabila smash yang dilakukan keluar gelanggang dan saya mengambil kesempatan itu bagi merapatkan jurang mata dan seterusnya memenangi perlawanan,'' katanya.

Kegagalan Peter itu sekali gus menamatkan impian wakil Eropah untuk menjulang piala yang mula dipertandingkan sejak 1987. Tahun lalu, Peter terpaksa tunduk kepada H. Hendrawan dari Indonesia pada perlawanan akhir.

Taufik memberitahu, dia belum pernah berdepan dengan juara Piala Konica 1997, Heryanto dalam mana-mana perlawanan dan menjangkakan perlawanan akhir itu sebagai 50-50.

Juara Piala Konica tahun lalu, Hendrawan tewas kepada rakan senegaranya, Heryanto 15-13, 9-15, 9-15.

Dalam perseorangan wanita, Gong Zhichao dan Ye Zhaoying dari China beraksi pada perlawanan akhir hari ini.

Gong Zhichao menewaskan pemain Jepun, Kanako Konekura 11-3, 11-9 sementara Ye Zhaoying mengetepikan cabaran pemain Jepun, Yasuko Mizui 5-11, 11-2, 11-8.

Beregu China, Huang Nanyan-Yang Wei mengambil masa lebih sejam untuk menewaskan pasangan Joanne Goode-Donna Kellog dari England 17-16, 13-15, 15-11.

Huang dan Yang akan bertemu pasangan Indonesia, Indarti Isolina-Carmelita yang telah menewaskan pasangan China, Chen Lin-Jiang Xuelian 15-11, 8-15, 15-9.

Pasangan beregu campuran Korea, Kim Dong Moon-Ra Kyung Min berjaya menewaskan Michael Sogaard-Rikke Olsen dari Denmark dengan 15-4, 15-8 pada perlawanan akhir yang berlangsung petang semalam.

Kim Dong dan Ra Kyung menerima sebanyak AS$9,150 sementara Micheal dan Rikke menerima AS$6,000.

KEPUTUSAN
LELAKI perseorangan (Separuh akhir) - Taufik Hidayat (Ina) kln Peter Gade Christensen (Den) 14-17, 15-13, 15-10; Heryanto Arbi (Ina) kln H. Hendrawan (Ina) 4-15, 15-11,15-10.

Beregu (Separuh akhir) - CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH (MAS) kln Simon Archer-Nathan Robertson (Eng) 15-11, 15-8; Candra Wijaya-Tony Gunawan (Ina) kln Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung (Kor) 15-7, 15-11.

WANITA perseorangan (Separuh akhir) - Gong Zhichao (Chn) kln Kanako Konekura (Jpn) 11-3, 11-9; Ye Zhaoying (Chn) kln Yasuko Mizui (Jpn) 5-11, 11-2, 11-8.

Beregu (Separuh akhir) - Huang Nanyan-Yang Wei (Chn) kln Joanne Goode-Donna Kellog (Eng) 17-16, 13-15, 15-11; Indarti Isolina-Carmelita (Ina) kln Chen Lin-Jiang Xuelian (Chn) 15-11, 8-15, 15-9.

Beregu campuran (akhir) - Kim Dong Moon-Ra Kyung Min (Kor) kln Michael Sogaard-Rikke Olsen (Den) 15-4, 15-8.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S9kZ6JXZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan