ARKIB : 09/07/1999
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid
Sidek meneruskan kecemerlangan pada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand
apabila muncul wakil tunggal negara dalam acara perseorangan melayakkan diri ke
suku akhir di Bangkok, semalam.
Bekas juara Terbuka Malaysia
tiga kali itu tidak menghadapi masalah menyingkirkan cabaran pemain tuan rumah,
Panpatchara Sirachai 15-3, 15-4 di pusingan ketiga.
Bagaimanapun Rashid, 31, bakal
mengharungi halangan sukar pada suku akhir apabila berdepan bekas naib juara Sukan
Olimpik dan juara Asia, Dong Jiong dari China.
Kelmarin, Rashid yang tewas
kepada Luo Yigang pada separuh akhir Terbuka Malaysia menebus kekalahannya
kepada pemain China itu pada pusingan kedua.
Dong pula yang dikejutkan
pemain muda negara, Jason Wong pada pusingan kedua Terbuka Malaysia minggu lalu
mara ke suku akhir selepas menumpaskan pemain muda Indonesia, Rony Agustinus
15-11, 15-2.
Sementara itu, kemaraan seorang
lagi wakil negara, Yap Yong Jyen tersekat apabila dia tunduk kepada
perseorangan ketiga China, Chen Gang.
Yong Jyen, yang mengejutkan
bintang harapan Indonesia, Jeffer Rosobin pada pusingan kedua, nyata bukan
saingan Chen apabila tewas mudah 15-5, 15-2.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4S3LDfOci
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan