Rabu, 14 Disember 2016

Misbun sedia curah tenaga

ARKIB : 31/12/1999
JURULATIH kelab Nusa Mahsuri, Misbun Sidek berkata, beliau bersedia menyumbangkan tenaga membantu melatih pemain perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

''Saya tiada masalah dan bersedia untuk membantu melatih pemain perseorangan BAM sepertimana yang diarahkan oleh (Ketua Pengarah MSN) Datuk Mazlan (Ahmad) untuk menjaga skuad badminton,'' katanya.

Menurutnya, beliau turut bersedia bekerjasama dengan dua lagi jurulatih perseorangan BAM iaitu Kuan Yoke Ming dan Sun Cheng Hau untuk melatih tiga pemain termasuk Ong Ewe Hock, Wong Choon Han dan Yong Hock Kin.

''Di samping itu, saya tetap akan memberi tumpuan lebih kepada dua pemain kelab kami, Rashid Sidek dan Roslin Hashim.

''Saya akan cuba berikan kerjasama yang terbaik kepada kedua-dua jurulatih berkenaan kerana mereka lebih serasi dengan pemain BAM.

''Saya juga mahu meneruskan usaha memantapkan mutu persembahan pemain negara bagi menghadapi Kejohanan Piala Thomas/Uber yang akan berlangsung Mei depan,'' tambah Misbun yang turut mengendalikan program latihan di Akademi BAM.

Beliau yang dihubungi Sukan Utusan semalam bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan mengenai pemberian kuasa penuh oleh BAM kepada Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan, Datuk Mohammad Al-Amin Majid bagi mengisi tempat Pengarah Kejurulatihan yang dikosongkan oleh Morten Frost Hansen.

''Saya tidak mahu membuat sebarang komen mengenai perkara tersebut. Apa yang penting ialah persediaan pemain untuk menghadapi pertandingan dan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam setiap kejohanan yang disertai,'' katanya.

Frost yang memegang jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan meletakkan jawatan Selasa lalu, selepas mencapai persetujuan bersama dengan BAM untuk menamatkan kontraknya 15 bulan lebih awal dari tempoh yang sepatutnya.

Dalam mesyuarat BAM yang diadakan kelmarin, Presidennya, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan mengumumkan tiada pengganti yang akan mengisi tempat Frost.

Sebaliknya Al-Amin ditugaskan untuk mengendalikan segala program yang berkaitan dengan latihan dan kejurulatihan.

''Tiada ketua jurulatih yang akan mengawal skuad ini dan kita memberi kuasa penuh kepada Al-Amin untuk memegang tanggungjawab tersebut malah semua jurulatih yang ada perlu menjalankan tugas masing-masing seperti biasa,'' kata Fadzil.

Menurutnya, Al-Amin akan dibantu oleh panel jurulatih yang sedia ada sekurang-kurangnya sehingga cabaran Piala Thomas selesai.

Sesi latihan yang dijalankan mulai sekarang sehingga Mei depan bagi pemain perseorangan dikendalikan oleh Misbun, Kuan dan Sun manakala Park Joo-Bong, Koay Kar Lin dan Tan Kim Her mengawasi latihan pemain beregu.

Oleh: RADLIYANA RADZUAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SnszhSG8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan