Rabu, 14 Disember 2016

Rashid, 31, berazam mencatat kejayaan lebih bermakna tahun ini.


 

Dia yang kini menduduki ranking ke-20 Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) mahu melupakan tahun 1999 dan menganggap ia sebagai pengajaran untuk menempuhi cabaran tahun 2000.

''Saya ingin membaiki cara permainan saya supaya lebih bagus dan cuba mengekalkan prestasi permainan yang lebih baik bagi menandingi pemain utama dunia,'' katanya ketika ditemui selepas sesi latihan Projek Piala Thomas/Uber 2000 di Akademi Persatuan Badminton Malaysia, Taman Maluri, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, kecederaan yang membelenggu dirinya merupakan punca utama prestasinya tidak begitu konsisten.

''Saya rasa prestasi yang tidak konsisten pada tahun lalu adalah disebabkan oleh kecederaan yang dialami oleh saya,''

''Saya akan menjadikan ia sebagai pengajaran untuk menempuhi tahun 2000 ini dan cuba untuk membaiki ranking saya,'' katanya.

Sementara itu, menurut Rashid sasaran utamanya pada tahun ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney 2000 yang akan diadakan di Australia pada September ini.

''Peluang saya masih cerah untuk melayakkan diri kerana tarikh tutup kelayakan ialah pada April ini,'' katanya yang memenangi pingat gangsa pada Olimpik Atlanta 1996.

Rashid juga menganggap Kejohanan Terbuka Korea dan Taiwan selepas Hari Raya ini adalah permulaan yang baik baginya untuk cuba mengutip mata kelayakan Olimpik.

''Saya masih berpeluang untuk ke Olimpik dan jika saya cemerlang pada kedua-dua kejohanan itu kelak, ia akan mencerahkan lagi harapan saya,'' katanya.

Pada Terbuka Taiwan tahun lalu Rashid berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir tetapi tewas kepada pemain nombor lima dunia, Fung Permadi dari Taiwan.

Namun pada Terbuka Korea dia hanya berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua atau ketiga.

Pada tahun ini bekas pemain nombor satu negara itu mempamerkan kebangkitan meyakinkan apabila mara ke separuh akhir Badminton Terbuka Thailand dengan menumbangkan juara Sukan Asia, Dong Jiong.

Namun nasib tidak menyebelahi pemain veteran ini pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Dunia 1998 yang menyaksikan gagal mara ke separuh akhir.

Sementara itu, Wong Choong Hann menerajui senarai pemain yang akan menyertai Kejohanan Terbuka Korea pada 12 sehingga 16 Januari ini dan diikuti oleh Taiwan 19 sehingga 23 Januari ini.

Turut dipilih untuk menyertai skuad negara ke kedua-dua kejohanan itu adalah Ong Ewe Hock dan Rashid Sidek.

Beregu nombor satu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock, bekas juara remaja dunia, Chan Chong Ming-Jeremy Gan dan Rosman Razak-Chew Choon Eng.

Perseorangan wanita Ang Li Peng, beregu wanita Lim Pek Siah-Ang Li Peng dan beregu campuran Chor Hooi Yee dan Pang Cheh Chang juga turut tersenarai untuk mewakili negara pada kedua-dua kejohanan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Sojla4BK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan