Selasa, 20 Disember 2016

Corak serangan lebih ampuh

ARKIB : 30/04/2000
JURULATIH beregu negara, Park Joo-bong berkata, pemain negara perlu mempamerkan corak permainan menyerang sekiranya mahu memberi saingan sengit kepada pasukan Korea Selatan dan juara bertahan, Indonesia pada Kejohanan Badminton Piala Thomas di Stadium Putra, Bukit Jalil, 11-21 Mei ini.

Menurut Joo-bong, berikutan keperluan itu, pemain muda negara, Chan Chong Ming dinasihatkan agar menajamkan asakannya ke atas lawan.

''Soon Kit merupakan pemain penyerang yang lebih baik daripada Chong Ming yang lebih kepada corak permainan bertahan,'' katanya ketika diminta mengulas perkembangan gandingan baru itu.

Soon Kit digandingkan dengan Chong Ming selepas pasangannya Yap Kim Hock mengalami kecederaan di betis kiri ketika latihan hampir dua minggu lepas.

Kim Hock bagaimanapun meneruskan latihan ringan sejak kelmarin walaupun masih terasa sakit.

Walaupun baru enam hari digandingkan, Joo-bong nyata berpuas hati dengan perkembangan kedua-dua pemain itu yang semakin serasi.

''Gandingan Soon Kit-Chong Ming menunjukkan banyak kemajuan. Mereka kini bertambah baik dan saya puas hati dengan kemajuan mereka.

''Tetapi Chong Ming masih mempamerkan corak permainan bertahan dan ini tidak sesuai untuk berdepan pemain Indonesia dan Korea Selatan,'' kata bekas pemain beregu handalan Korea Selatan itu di MSN di sini, hari ini.

Sementara itu Joo Bong berkata pemain beregu pertama negara, Lee Wan Wah, yang diserang demam panas, akan memulakan latihan Isnin ini.

Tan Fook mengalami demam panas sejak Khamis lalu dan direhatkan daripada latihan sejak kelmarin.

Malaysia menyenaraikan lima pemain dalam acara beregu dengan gandingan Choong Tan Fook-Wan Wah sebagai beregu pertama sementara Soon Kit-Chong Ming dijangka menjadi beregu kedua.

Sekiranya kecederaan Kim Hock pulih, pemain itu dijangka diturunkan dalam beberapa perlawanan sebagai beregu kedua sama ada berganding dengan pasangannya, Soon Kit ataupun bekas juara beregu remaja dunia, Chong Ming.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TNSeE7Vm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan