Rabu, 21 Disember 2016

Beri suntikan semangat pada pemain

ARKIB : 08/05/2000
KUALA LUMPUR 7 Mei - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengharapkan rakyat Malaysia dari segenap lapisan tampil memberikan suntikan semangat kepada pasukan negara dalam usaha merampas semula Piala Thomas.

Perdana Menteri berkata, rakyat boleh memainkan peranan dengan datang beramai-ramai ke stadium dan memberikan sorakan semangat yang amat diperlukan oleh pasukan negara.

Menurutnya, bagi mereka yang tidak berpeluang ke stadium, ikutilah pertandingan itu di rumah atau di mana-mana sahaja kerana kalah menang pasukan negara mempunyai banyak makna kepada rakyat Malaysia.

Katanya, walaupun sorakan peminat di rumah tidak didengar oleh pasukan negara tetapi sorakan dan sokongan itu juga merupakan sumbangan kepada pasukan negara.

''Insya-Allah, dengan sokongan rakyat kita akan dapat memberikan semangat itu kepada pemain kita. Sebab itu, kita mahu seberapa ramai yang datang ke stadium memberikan sokongan,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Larian Piala Thomas/Uber 2000 di Dataran Merdeka, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah peminat nombor satu badminton negara, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Tun Hussein dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan.

Acara larian tersebut merupakan acara promosi terakhir untuk Piala Thomas yang akan bermula 11 Mei ini.

Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata, sekiranya pemain negara gagal menyerlah dalam Piala Thomas kali ini, jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata yang boleh melemahkan semangat mereka.

Sebaliknya kata beliau, rakyat Malaysia harus terus memberikan semangat kepada pemain supaya mereka boleh bangkit semula dan terus berusaha untuk mencapai kemenangan.

''Inilah semangat yang kita kehendaki daripada rakyat Malaysia,'' katanya.

Perdana Menteri berkata, Piala Thomas mempunyai keistimewaan sendiri kepada rakyat Malaysia dan setiap kali ia diadakan, 22 juta rakyat Malaysia mahukan pasukan negara membawa balik piala tersebut.

Katanya, walaupun hanya beberapa orang sahaja yang akan bermain untuk negara tetapi semangat dan minat rakyat Malaysia setiap kali Piala Thomas, tidak kurang daripada semangat para pemain.

''Piala Thomas mempunyai implikasi yang sangat kuat kepada rakyat Malaysia dan ia dilihat sebagai sangat dekat kepada setiap rakyat Malaysia sebagai satu bangsa,'' katanya.

Beliau seterusnya berharap setiap rakyat Malaysia memandang Piala Thomas sebagai kejohanan untuk semua dan berharap impian untuk membawa pulang Piala Thomas akan menjadi kenyataan.

Kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas ialah pada tahun 1992.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4TSbMNfhJ © Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan