Selasa, 13 Disember 2016

Choong Hann cerah ke Olimpik -- Raih tempat ke-3 ranking IBF

ARKIB : 27/12/1999
WONG Choong Hann mencerahkan peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Sydney 2000, apabila meraih kedudukan tertinggi ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) baru-baru ini, dengan berada di tangga ketiga.

Beregu nombor satu Malaysia, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah turut menghampiri temasya sukan terbesar di dunia itu apabila kekal di tangga ketiga, di belakang pasangan Korea Selatan, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon dan Candra Wijaya-Tony Gunawan dari Indonesia.

Malangnya, hasrat pasangan veteran, Cheah Soon Kit-Yap untuk beraksi pada Sukan Olimpik semakin sukar, apabila jatuh enam anak tangga daripada kedudukan ke-42 minggu lalu ke tempat ke-48.

Choong Hann, perseorangan Malaysia paling konsisten tahun ini, memperbaiki satu anak tangga daripada kedudukan keempat minggu lalu, hanya 39.02 mata di belakang pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen dari Denmark.

Kenaikan Choong Hann, yang hanya berada di tangga ketujuh pada 1 Disember 1999, didorong kejayaan mara ke separuh akhir Grand Prix Dunia Akhir di Brunei, awal bulan ini.

Juara dunia dari China, Sun Jun, yang tersingkir pada peringkat kumpulan di kejohanan tersebut, kekal di tangga kedua dengan 297.06 mata, manakala Marleve Mainaky dari Indonesia di ranking keempat.

Wakil kedua Malaysia pada Grand Prix Dunia, Ong Ewe Hock, yang tidak mencatat sebarang kemenangan di Brunei, jatuh satu anak tangga daripada kedudukan ke-14 ke tempat ke-15.

Bagi kebanyakan pemain negara yang tidak terbabit dengan kejohanan bertaraf enam bintang itu, ranking terbaru IBF tidak banyak memberi kesan buat mereka.

Perseorangan veteran, Rashid Sidek, Yong Hock Kin dan Roslin Hashim, masing-masing kekal di tangga ke-20, ke-21 dan ke-25.

Pasangan kedua negara, Rosman Razak-Chew Choon Eng dan bekas juara remaja dunia, Chan Chong Meng-Jeremy Gan kekal di tangga ke-17 dan ke-19.

LELAKI, perseorangan: 1. Peter Gade Christensen (Den); 2. Sun Jun (Chn), 3. WONG CHOONG HANN (MAS); 4. Marleve Mainaky (Ina); 5. Fung Permadi (Tai); 6. Taufik Hidayat (Ina); 7. H. Hendrawan (Ina); 8. Poul-Erik Hoyer-Larsen (Den); 9. Luo Yigang (Chn); 10. Heryanto Arbi (Ina); perseorangan Malaysia: 14. ONG EWE HOCK; 20. RASHID SIDEK; 21. YONG HOCK KIN; 25. ROSLIN HASHIM.

Beregu: 1. Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon (Kor); 2. Candra Wijaya-Tony Gunawan (Ina); 3 CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH (MAS); 4. Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung (S Kor); 5. Simon Archer-Nathan Robertson (Eng); 6. Denny Kantono-Antonius (Ina); 7. Flandi Limpele-Eng Hian (Ina); 8. Jens Eriksen-Jesper Larsen (Den); 9. Michael Sogaard-Jim Laugesen (Den); 10. Pramote Teerawiwatana-Tesana Panvisvas (Thai); Beregu Malaysia: 17. ROSMAN RAZAK-CHEW CHOON ENG; 19. CHAN CHONG MING-JEREMY GAN; 42. CHEAH SOON KIT-YAP KIM HOCK.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SnJeRNyM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan