Khamis, 22 Disember 2016

BAM tolak hasrat Fadzil

ARKIB : 26/05/2000
SEPERTI diduga, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) setelah ahli majlis badan induk itu menolak surat peletakan jawatannya pada mesyuarat majlis di Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan presidennya, Datuk Roland Wong memaklumkan bahawa penolakan surat peletakan jawatan itu diputuskan oleh semua ahli majlis yang berpendapat mereka turut bertanggungjawab atas kekalahan memalukan skuad Piala Thomas negara pada Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber 2000 di Stadium Putra, Bukit Jalil, 11-21 Mei lalu.

''Semua ahli majlis berpendapat tidak adil untuk hanya seorang yang memikul tanggungjawab terhadap kekalahan ini dan mereka turut merasa bertanggungjawab.

''Atas sebab inilah kami menolak surat peletakan jawatan Datuk Fadzil,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis yang membincangkan tentang surat peletakan jawatan Fadzil dan prestasi buruk pemain pada kejohanan berpasukan itu.

Mesyuarat itu juga memberi mandat kepada Roland untuk memujuk Fadzil menarik semula surat perletakkan jawatannya dan kembali menyandang jawatan itu sehingga pemilihan yang akan diadakan pada mesyuarat agong tahunan tahun depan.

Selasa lepas, sebaik skuad Piala Thomas negara gagal melayakkan diri ke separuh akhir, Fadzil memaklumkan akan menghantar surat peletakan jawatannya bagi menepati janji yang dibuatnya Mac lalu.

Namun beliau hanya menyatakan bahawa surat peletakan jawatan itu akan dihantar untuk pertimbangan ahli majlis dan tidak menyatakan secara tegas kesediaannya untuk meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab terhadap prestasi skuad Piala Thomas negara yang memalukan.

Selain daripada Fadzil, tidak ada seorang pegawai pun yang terlibat secara langsung dengan persiapan skuad negara mahu memikul tanggungjawab terhadap kekalahan itu termasuk pengurus pasukan, Datuk Mohamad Al-Amin Majid.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat itu juga mengambil keputusan untuk mewujudkan panel penasihat khas bagi melihat masalah yang mengakibatkan kekalahan skuad negara serta mencari jalan mengatasinya.

Menurut Roland, panel khas itu akan diwakili oleh bekas-bekas pemain Piala Thomas negara, pegawai-pegawai Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Negara (MOM) dan penulis-penulis sukan bagi membolehkan idea baru diperoleh untuk meningkatkan semula mutu sukan itu.

''Kami perlukan pakar teknikal untuk mengetuai satu jawatankuasa teknikal dan panel penasihat ini bertugas untuk mengenal pasti calon yang sesuai,'' katanya.

Selain daripada itu, satu lagi mesyuarat majlis akan diadakan sebelum akhir bulan depan bagi membincangkan laporan bedah siasat kekalahan skuad negara itu.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TaC9DNrm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan