Sabtu, 3 Disember 2016

Misbun cuba nasib Terbuka Malaysia

ARKIB : 11/06/1999
KEJOHANAN Badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Malawati, 29 Jun - 4 Julai bukan saja menarik penyertaan pemain terkemuka dunia tetapi juga bekas jaguh kebangsaan, Misbun Sidek.

Walaupun tidak mengimpikan kejuaraan, namun Misbun yang kali terakhir beraksi di kejohanan itu pada 1989 mengakui membuat persiapan rapi menghadapinya.

''Saya tidak mahu melepaskan peluang beraksi pada kejohanan kali ini yang dipertandingkan di Selangor,'' kata pemain kelahiran Banting itu.

Misbun hampir menjuarai Terbuka Malaysia pada 1985 setelah mara ke pusingan akhir tetapi tewas 15-4, 15-7 kepada pemain Denmark, Morten Frost Hansen, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dia juga turut menyertai beberapa kejohanan tempatan tahun ini merupakan jurulatih Nusa Mahsuri yang giat melatih dua pemain utama kelab itu, Rashid Sidek dan Roslin Hashim disamping barisan pemain muda yang berada dalam program pembangunannya.

Selain daripada itu, dibawah pengurusan Nusa Mahsuri, dia turut menjalankan beberapa klinik bagi mengenal pasti pemain berbakat disamping memberi latihan asas kepada yang berminat untuk menjadi jurulatih terutama di peringkat sekolah.

Menurut Misbun, sekiranya penyertaannya diterima, dia terpaksa beraksi di peringkat kelayakan dulu kerana tidak mempunyai ranking.

''Yang penting sekarang, saya terasa ingin menyertai kejohanan kali ini dan saya sedang membuat persediaan menghadapinya,'' kata pemain yang kini mencecah usia 39 tahun.

Menurut Misbun, dia tidak akan berasa malu atau rendah diri sekiranya dikalahkan oleh pemain muda, malah mungkin anak didiknya sendiri.

''Tidak ada apa yang perlu saya buktikan lagi kerana saya telah melaluinya dulu,'' katanya yang ditemui di Kompleks Sukan Kelana Jaya, semalam.

Terbuka Malaysia kali ke-42 itu menawarkan hadiah wang tunai AS$150,000 (kira-kira RM570,000) dan dikategorikan sebagai pertandingan bertaraf lima bintang.

Pemburuan mara bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney tahun depan menarik minat pemain terkemuka dunia termasuk semua pemain yang baru ditabalkan sebagai juara dunia di Copenhagen, bulan lepas menyertainya.

Terbuka Malaysia yang mula dipertandingkan pada 1937 pernah diberhentikan dari tahun 1967 hingga 1982 sebelum diadakan semula pada 1993 hingga tahun ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Rr0CHzJH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan