Selasa, 20 Disember 2016

Jangan patah semangat


 

ARKIB : 05/05/2000
DR. MAHATHIR Mohamad bersalaman dengan para pemain dan jurulatih pasukan badminton Piala Thomas dan Piala Uber negara di Putrajaya kelmarin.

PERDANA Menteri, Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad meminta para pemain badminton Piala Thomas dan Piala Uber negara agar jangan mudah patah semangat sekali pun berada dalam keadaan tertekan.

Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung dari 11 hingga 21 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

''Sekiranya kamu merasakan kamu telah dikalahkan, kamu akan kalah. Tetapi kamu mesti jangan berputus asa,'' katanya kepada para pemain pada majlis jamuan malam di kediaman rasminya di Sri Perdana, Putrajaya kelmarin.

Turut hadir ialah Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Sri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Hussein, para pegawai BAM dan wakil penaja-penaja.

Katanya lagi, para pemain perlu mengekalkan ketenangan dan mengawal permainan mereka sekalipun berada di bawah tekanan.

''Kamu mesti berdisiplin ketika menjalani latihan. Jangan mempersoalkan mengenai cara latihan kerana apabila kamu mula mempertikaikannya, kamu akan kehilangan tumpuan,'' tambah beliau.

''Sekiranya kamu memberi tumpuan penuh, berdisiplin dan kuat berlatih, kejayaan akan menjadi milik kamu.''

Katanya lagi, beliau bersama-sama seluruh rakyat mendoakan kejayaan pasukan negara dan berada bersama-sama mereka dan berharap laluan sukar pada kejohanan tersebut tidak akan melemahkan semangat para pemain.

''Rakyat Malaysia selalunya berfikiran bahawa kita tidak mempunyai kebolehan. Tetapi kita telah membuktikan kepada dunia bahawa kita mempunyai kemampuan dengan semangat Malaysia Boleh,'' tegasnya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TSEaapJN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan