Ahad, 25 Disember 2016

2016 detik terindah badminton

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 DISEMBER 2016
 2016 detik terindah badminton
2016 detik terindah badminton Tiga perak dimenangi di Olimpik Rio 2016 julang kembali arena badminton negara.
KALENDAR badminton tanah air sepanjang tahun ini dipenuhi pelbagai warna-warni detik indah dan paling mencuri tumpuan pastinya kejayaan merangkul tiga pingat perak di Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu.

Jika Sukan Olimpik sebelum ini sandaran pingat negara hanya diletakkan di bahu pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tetapi tahun ini Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) turut menjadi penyumbang pingat kepada Malaysia di pentas sukan paling berprestij di dunia itu.

Kejayaan itu dianggap pencapaian agak luar biasa kerana pada temasya sebelum ini, hanya perak yang mampu dibawa pulang pada Olimpik 2012 di London menerusi pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei.

Sebelum itu, pada temasya di Beijing, China (2008) skuad badminton turut meraih satu pingat perak juga menerusi Chong Wei.

Selain itu, kisah beregu utama negara, V Shem-Wee Kiong turut menjadi topik hangat di dada-dada akhbar tempatan.

Manakan tidak, pasangan negara itu kini mampu berdiri sebaris dengan Chong Wei apabila mereka berjaya merampas kedudukan nombor satu dunia dalam senarai ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Biarpun pada awal tahun prestasi membimbangkan, namun selepas membawa pulang pingat perak di Olimpik, V Shem-Wee Kiong dilihat semakin konsisten terutama ketika mereka meraih gelaran sulung pada Siri Super Akhir di Dubai, dua minggu lalu.

Selain menggondol pingat perak Sukan Olimpik, mereka juga sudah memperoleh dua kejuaraan di Terbuka Denmark dan Masters India.

Bagi Chong Wei pula, prestasinya tetap membanggakan  walaupun gagal meraih kejuaraan penting seperti Terbuka All England.

Dengan umurnya yang semakin dimamah usia, jaguh negara itu membuktikan dia masih berada dalam kelas tersendiri.

Sepanjang 2016, Chong Wei meraih tiga gelaran Siri Super di Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun termasuk menerima Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kali kelima.

Tahun ini turut menyaksikan Malaysia menjadi naib juara bagi acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol sekali gus memperbaiki pencapaian kedudukan kelima dalam edisi lalu.

Walaupun gagal dalam percubaan merampas semula kejuaraan Piala Thomas dalam edisi kali ini selepas tersingkir pada separuh akhir kepada Denmark namun yang penting tahun 2016 menyaksikan keseimbangan secara menyeluruh skuad negara.

Ini kerana, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjaya  mengetengahkan bakat baharu untuk memberi saingan di pentas kejohanan utama seperti Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran) serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki).

Terbukti, program latihan yang lebih sistematik selain pelbagai insentif baharu yang diperkenalkan BAM terutama bagi menjaga kebajikan pemain serta jurulatih nyata memberi impak positif terhadap perkembangan sukan itu.

Kejayaan yang diraih pada tahun ini sudah pasti akan menjadi penanda aras baharu untuk BAM bagi merencanakan lebih banyak program pembangunan bagi memastikan badminton kekal menjadi penyumbang utama kepada kejayaan negara pada masa depan.
SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE  26 DISEMBER 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan