Rabu, 7 Disember 2016

Badminton Piala Konica -- Tan Fook, Wan Wah juara beregu

ARKIB : 30/08/1999
SINGAPURA - Pasangan utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah melakar sejarah sebagai pemain Malaysia pertama merangkul gelaran Piala Konica Terbuka Singapura sejak 10 tahun, selepas mengejutkan beregu nombor satu dunia, Chandra Wijaya-Tony Gunawan dari Indonesia dalam perlawanan akhir di Stadium Tertutup Singapura, semalam.

Kali terakhir Malaysia meraih kejuaraan pada kejohanan AS$150,000 (RM570,000) itu adalah menerusi pasangan adik-beradik dan pemenang pingat sulung negara di Sukan Olimpik 1992, Razif dan Jalani Sidek pada 1989.

Kejayaan Tan Fook-Wan Wah itu juga menjadikan mereka pemain pertama negara merangkul kejuaraan utama dunia sepanjang 1999, tiga bulan selepas digandingkan semula sejak dipisahkan sebaik meraih pingat emas Sukan Komanwel XVI, tahun lalu.

Tan Fook-Wan Wah, yang tercicir di kedudukan ke-33 dunia, berhempas-pulas dalam pertarungan tiga set sebelum menang 15-7, 14-15, 15-12 ke atas juara Terbuka Malaysia dan pilihan kedua, Chandra-Tony.

Ini adalah kejutan kedua yang dibuat naib juara Asia 1997 itu pada kejohanan lima bintang ini, dalam saingan suku akhir mereka menyingkirkan pasangan pilihan utama dan juara dunia, Ha Tae Kwon-Lee Dong Moon dari Korea Selatan.

Pada saingan separuh akhir kelmarin, Tan Fook-Wah Wah tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan Simon Archer-Nathan Robertson dari England 15-11, 15-8.

Kemenangan ini juga membolehkan mereka membawa pulang AS$10,800 (RM41,040), manakala Chandra dan Tony meraih AS$6,000 (RM22,800) selaku naib juara.

Sementara itu dalam perlawanan perseorangan lelaki yang membabitkan pertemuan dua pemain Indonesia, juara dunia 1995, Heryanto Arbi menundukkan juara Sukan SEA XX, Taufik Hidayat.

Heryanto, pemain ranking ke-30 dunia dan pilihan ke-15, bangkit daripada ketinggalan dalam set pembukaan untuk menang 13-15, 15-10, 15-11 ke atas pilihan kelapan, Taufik.

Sejurus menamatkan saingan, Heryanto membuat pengumuman mengejut, apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan Indonesia dan mewakili Singapura.

''Adalah sukar untuk mengekalkan kedudukan dalam pasukan Indonesia kerana terdapat banyak pemain yang bagus,'' katanya.

Dalam acara perseorangan wanita pula, yang menyaksikan pertemuan sesama sendiri pemain China, Ye Zhaoying mempertahankan kejuaraannya dengan menewaskan rakan senegara, Gong Zhichao.

Ye menang 11-5, 5-11, 11-7 dalam perlawanan yang seimbang itu untuk meraih AS$10,350 (RM39,330), manakala Gong menerima AS$4,950 (RM18,810).

Sementara dalam acara beregu wanita, beregu nombor dua dunia, Huang Nanyan-Yang Wei dari China tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan pasangan ranking ke-15, Indrati Isolina-Carmelita dari Indonesia 15-3, 15-8.

Dalam acara beregu campuran yang berakhir sehari lebih awal kelmarin, Kim Dong Moon-Ra Kyung Min dari Korea Selatan muncul juara selepas menumpaskan Michael Sogaard-Rikkie Olsen dari Denmark 15-4, 15-8.

KEPUTUSAN AKHIR
Perseorangan lelaki - Heryanto Arbi (Ina) kln Taufik Hidayat (Ina) 13-15, 15-10, 15-11.

Beregu lelaki - Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (MAS) kln Candra Wijaya-Tony Gunawan (Ina) 15-7, 14-15, 15-12.

Perseorangan wanita - Ye Zhaoying (Chn) kln Gong Zhichao (Chn) 11-5, 5-11, 11-7.

Beregu wanita - Huang Nanyan-Yang Wei (Chn) kln Indrati Isolina-Carmelita (Ina) 15-3, 15-8.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S9mLQ1tk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan