Selasa, 6 Disember 2016

Cheah Soon Kit bersara awal

ARKIB : 26/07/1999
PEMAIN beregu negara, Cheah Soon Kit membayangkan untuk bersara lebih awal sekiranya gagal menyertai Sukan Olimpik Sydney, tahun depan, lapor ISHAK SALLEH.

''Kekecewaan itu dibayangkan setelah Soon Kit bersama pasangan barunya, Lee Chee Leong tewas 5-15 dan 4-15 di tangan jaguh beregu negara, Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook pada Kejohanan Terbuka Johor di Dewan Tertutup Johor, semalam.

Kekalahan itu yang pertama dialami oleh Soon Kit sejak berpasangan dengan Chee Leong setelah dia berpisah dengan Tan Fook selepas Kejohanan Dunia di Copenhagen.

Katanya, memandangkan kedudukannya sekarang, adalah sukar untuk mengumpul mata yang cukup sebelum Mei depan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

''Saya sememangnya telah merancang untuk bersara, bagaimanapun sekiranya keadaan tidak menyebelahi kami, saya kemungkinan akan bersara lebih awal,'' katanya.

Soon Kit dan Chee Leong merupakan pasangan baru yang memerlukan masa untuk menjadi mantap, bagaimanapun pasangan 'eksperimen' itu telah menunjukkan kesungguhanan sehingga ke peringkat separuh akhir. Chee Leong yang kelihatan gemuruh menyumbang kepada kekalahan mudah pasangan baru.

''Semua peminat boleh menyaksikan persembahan kami dan sekiranya itulah keadaannya, kami memerlukan antara setahun hingga dua tahun untuk menjadi mantap," katanya.

''Chee Leong terlalu gemuruh dan keadaan itu sepatutnya tidak berlaku walaupun perlawanan itu pertama kami," jelasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4S425kgNG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan