Jumaat, 2 Disember 2016

Beregu Choong, Lee kian mantap

ARKIB : 13/05/1999
PASANGAN mantap Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah setakat ini sudah memenang dua perlawanan Piala Sudirman.

GANDINGAN Choong Tan Fook-Lee Wan Wah sekali lagi menyumbang mata tunggal kepada pasukan negara yang tewas 4-1 kepada Indonesia pada perlawanan kedua pertandingan Piala Sudirman di Copenhagen, Denmark, semalam.

Pasangan yang sebelum ini telah empat tahun bersama sebelum dipisahkan selepas Sukan Komanwel XVI, tahun lalu menewaskan beregu berpengalaman Indonesia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky 14-17 15-12 17-14.

Tan Fook-Wan Wah kelmarin turut menjadi penyumbang mata tunggal negara ketika menentang China pada perlawanan pembukaan yang menyaksikan Malaysia tewas 4-1.

Indonesia mengesahkan kemenangannya setelah pemain perseorangan utamanya, Hendrawan yang kini menduduki ranking kelapan dunia menewaskan Ong Ewe Hock 11-15, 15-8, 15-4.

Sebelum itu bekas pemenangan Piala Sudirman itu telah pun memperoleh mata daripada kemenangan beregu campurannya, Trikus Heryanto-Minarti Timur yang menewaskan Chan Chong Ming-Joanne Quay 15-5, 15-6 dan perseorangan wanitanya, Cindana yang menundukkan Ng Mee Fen 11-6, 11-1.

Seperti yang diduga, beregu wanita negara, Lim Pek Siah-Ang Li Peng turut kecundang 15-6, 15-9 di tangan pasangan Deyana Lomban-Indarti Isolina.

Walaupun berjaya mempertahankan Piala Thomas di Hong Kong tahun lalu, namun Indonesia mengakui kesukaran untuk merampas semula Piala Sudirman daripada China minggu ini.

Namun bagi mereka yang penting sekarang adalah untuk melayakkan diri ke separuh akhir, Jumaat ini.

''Kami mungkin mampu mara ke akhir sekiranya bermain dengan baik,'' kata jurulatih Hadi Nasri kepada AFP.

Indonesia akan bertemu juara dua kali, China pada perlawanan keduanya hari ini.

AFP turut memetik jurulatih negara, Morten Frost Hansen sebagai berkata: ''Sasaran utama kami adalah untuk kekal dalam senarai kumpulan teratas.''

Sementara itu, peluang bekas pemenang Piala Sudirman, Korea Selatan yang tewas kepada pasukan tuan rumah, Demark kelmarin terbuka setelah mereka menang 4-1 ke atas Sweden.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rl2TCN3v © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan