Ahad, 4 Disember 2016

Roslin Hashim, Wong Choon tersingkir

ARKIB : 13/06/1999
KEJOHANAN Badminton Terbuka Melaka Proton-EON menyaksikan satu kejutan apabila dua pemain ternama, Wong Choon Hann dan Roslin Hashim tersingkir pada peringkat suku akhir dan separuh akhir semalam.

Juara baru sirkit badminton kebangsaan siri edisi ketiga akan ditentukan malam ini antara Ramesh Nathan yang menewaskan Roslin 15-13, 15-12 dan Jason Wong yang menyingkirkan Yap Yong Jyen 15-11, 15-11.

Juara Sukan Komanwel 1998, Choon Hann yang diletakkan sebagai pilihan pertama tersingkir lebih awal pada peringkat suku akhir kepada Jason Wong 15-8 dan 17-16.

Pertandingan terbuka Melaka itu juga menyaksikan seolah-olah ''dendam'' Jason dan Ramesh terbalas kerana kedua-duanya gagal di peringkat akhir dalam Kejohanan Terbuka Perak dan Pahang kepada kedua-dua pemain kebangsaan itu.

Choon Hann ialah juara terbuka Perak sementara Roslin, pemain Nusa Mahsuri yang diletakkan pilihan kedua pada terbuka Melaka adalah juara terbuka Pahang.

Pada peringkat separuh akhir malam tadi, Jason Wong mengambil masa 39 minit untuk menewaskan Yong Jyen sementara Ramesh berjaya menjinakkan Roslin dengan asakan padu dalam masa 62 minit.

Sebelum itu, di peringkat suku akhir Ramesh, 21 tahun, mengalahkan Yeoh Kah Bin 13-13 15-3 dan 15-9 sementara lawannya di peringkat separuh akhir Yong Jyen menewaskan pilihan ketiga, Ismail Saman 6-15, 15-6 dan 15-9.

Roslin pula mara ke separuh akhir setelah mengalahkan pemain BAM Pulau Pinang, Lim Theam Teow 15-1 dan 15-2

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0613&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RsR65qpQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan