Jumaat, 2 Disember 2016

Soon Kit, Tan Fook semakin intim


SOON KIT (kanan) dan Tan Fook bersalaman sebaik memenangi perlawanan menentang Wan Wah-Choon Eng yang menyaksikan mereka menang 21-18 pada perlawanan amal di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

KEMELUT antara dua pemain beregu negara, Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook menunjukkan petanda untuk pulih apabila mereka mula berkomunikasi pada perlawanan amal badminton bagi mengutip derma mengisi tabung mangsa Japanese Encephalitis (JE) di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Petanda positif itu dilihat menerusi gerak badan serta percakapan ringkas di antara mereka semasa perlawanan menentang beregu nombor dua negara, Lee Wan Wah dan Chew Choon Eng.

Malah selepas menang 21-18 itu, mereka sempat bersalaman seperti kebiasaan yang dilakukan oleh pemain beregu lain setiap kali memenangi sesuatu pertandingan.

Namun sejauh manakah gerak-geri yang ditunjukkan itu menjadi bukti permulaan hubungan yang lebih baik di antara kedua-dua pemain masih menjadi tanda tanya berdasarkan jawapan berbeza di antara mereka.

Soon Kit yang diajukan persoalan itu menganggap apa yang berlaku merupakan permulaan baik ke arah menguraikan ketegangan yang berlaku di antara mereka sejak pulang daripada Terbuka Jepun, bulan lalu.

''Apa yang berlaku hari ini merupakan permulaan yang baik. Saya berharap ia akan berterusan demi menghadapi Kejohanan Dunia di Copenhagen nanti,'' katanya selepas tamat perlawanan tersebut.

Menurut pemain senior berusia 31 tahun itu, sekiranya komunikasi yang berlaku itu berterusan, dia yakin mereka akan dapat membuat persiapan lebih mantap bagi menghadapi dua kejohanan penting itu nanti.

Tan Fook bagaimanapun memberi jawapan berbeza terhadap apa yang berlaku pada perlawanan pertunjukan itu.

Baginya, apa yang berlaku sekadar lakonan yang sengaja dibuat demi perlawanan amal bertujuan mengisi tabung mangsa JE yang turut melibatkan keluarga salah seorang rakannya, pemain perseorangan utama negara, Yong Hock Kin.

''Ia hanya pertunjukan,'' katanya ringkas apabila diajukan persoalaan sama ada reaksinya di gelanggang semalam merupakan titik permulaan menjernihkan hubungannya dengan Soon Kit.

Pemain berusia 23 tahun itu bagaimanpun sekadar tersenyum dan enggan mengulas lanjut mengenai gerak-geri mereka ketika di gelanggang.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan pula menganggap reaksi kedua-dua pemain itu merupakan petunjuk yang baik bagi membuktikan bahawa hubungan mereka semakin pulih.

''Ini merupakan petanda positif mereka cuba memperbaiki hubungan. Kemenangan mereka juga menunjukkan bahawa pasangan ini masih kekal menjadi beregu utama negara berdasarkan saingan yang diberikan oleh Wan Wah dan Choon Eng tadi,'' katanya.

Dr. Fadzil bagaimanapun menjelaskan bahawa kedudukan pasangan itu serta pemain-pemain lain akan dinilai semula selepas mereka pulang daripada pertandingan Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia di Copenhagen, nanti.

SUMBER-ARKIB UM: 03/05/1999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan