Khamis, 1 Disember 2016

Dr. Fadzil dapatkan pandangan Soon Kit -- Tan Fook menarik diri di Kejohanan Dunia

ARKIB : 21/04/1999
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan akan mendapatkan penjelasan daripada Cheah Soon Kit sebelum memutuskan mengenai kedudukan beregu utama negara pada pertandingan Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark 10-23 Mei ini.

Menurut Dr. Fadzil, beliau masih belum dapat membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan pasangan Choong Tan Fook dan Soon Kit kerana baru mendengar aduan daripada sebelah pihak.

''Saya baru mendengar cerita daripada Tan Fook hari ini. Dia telah menceritakan masalahnya yang membawa kepada keputusannya menamatkan gandingan dengan Soon Kit.

''Sekarang saya perlu mendapatkan cerita dan pandangan daripada Soon Kit sebelum sebarang keputusan mengenai kedudukan mereka boleh diambil,'' katanya selepas pertemuan dengan Tan Fook di pejabat beliau, semalam.

Pertemuan yang turut dihadiri Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Mohammed Al-Amin Majid itu berlangsung kira-kira 45 minit.

Dr. Fadzil dijangka menemui Soon Kit esok bagi mengetahui cerita daripada pemain yang sememangnnya diketahui mempunyai sikap panas baran terutama ketika di gelanggang.

Sebelum ini Soon Kit berpasangan dengan Yap Kim Hock yang mencatatkan kejayaan terakhir meraih pingat perak pada Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur setelah tewas kepada Tan Fook-Wan Wah di pusingan akhir.

Tan Fook yang baru lima bulan bergandingan dengan Soon Kit telah mengambil keputusan mengejut berpisah dengan pasangannya sekembalinya daripada Kejohanan Terbuka Jepun, awal bulan ini.

Walaupun baru digandingkan, namun pasangan itu telah berjaya menduduki ranking 10 pemain terbaik dunia dalam masa yang singkat setelah mara ke pusingan akhir Terbuka Taiwan, Januari lalu.

Namun pasangan yang diharap menjadi sandaran utama negara hingga ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney kini di ambang perpecahan.

Jawatankuasa Pemilihan BAM, Jumaat lalu bagaimanpun masih menyenaraikan pasangan Soon Kit-Tan Fook sebagai beregu utama negara untuk membawa cabaran ke Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia.

Tan Fook bagaimanpun masih berkeras dengan keputusannya enggan berpasangan dengan pemain berusia 31 tahun itu sementara Soon Kit menyerahkan nasibnya kepada BAM.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Re8il0pl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan