Selasa, 13 Disember 2016

Peletakan jawatan Morten Frost jadi tanda tanya

ARKIB : 25/12/1999
DALAM era yang mana ketelusan adalah perkataan yang lazim digunakan, banyak rahsia menyelubungi peletakan jawatan mengejut Morten Frost Hansen sebagai pengarah kejurulatihan pasukan badminton negara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Frost sendiri enggan memberikan sebab mengenai pengumuman menggemparkan itu yang dibuat menerusi kenyataan ringkas BAM.

Pihak media dan juga yang ada kaitan dengan sukan badminton tentunya tertanya-tanya mengapa Frost, yang dilantik ke jawatan itu pada Februari 1997 dan disifatkan oleh BAM sebagai kejayaan terbesar, membuat keputusan itu dengan tergesa-gesa, 15 bulan sebelum kontrak empat tahunnya berakhir.

"BAM telah bersetuju menamatkan kontrak Morten Frost atas dasar persetujuan bersama," itu sahaja yang dapat dikatakan oleh presdien BAM Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan berhubung perkara ini.

Frost, antara pemain terbaik badminotn dunia pada zamannya, juga turut menyimpan rashia apabila berkata sebab beliau meletakkan jawatan adalah urusan antara beliau dan BAM.

Tetapi menurut sumber, apabila jurulatih dari Denmark itu menerima jawatan tersebut, yang dilaporkan memberinya gaji RM50,000 sebulan dan kemudahan lain, beliau juga dijanjikan antara lain kebebasan memilih pemain untuk sesuatu kejohanan.

Bagaimanapun seperti juga yang sering berlaku dalam sukan-sukan yang lain di Malaysia, berlaku gangguan dalam bidang ini hingga menyebabkan Frost tidak dapat menerimanya lagi, kata sumber tersebut.

Satu daripada insiden itu yang dilaporkan secara meluas oleh media berlaku semasa Sukan SEA di Brunei Ogos lepas, yang dikatakan menjadi punca retaknya hubungan antara BAM dan Forst.

Frost dikatakan berang dengan campur tangan pengurus pasukan Lim Teong Kiat, yang juga bendahari BAM, mengenai pemilihan pemain untuk beregu campuran pada temasya itu.

Disebalik menyokong Frost dalam perkara ini bahawa jurulatih lebih tahu tentang prestasi pemain-pemain didik daripada orang lain, BAM menyebelahi Lim, dengan berkata pengurus pasukan berhak dan mempunyai kata pemutus mengenai pemilihan pemain.

Frost dikatakan telah mengambil episod ini sebagai tindakan yang mencabar profesionalismenya, terutama apabila pemain yang Lim pilih, Chor Hooi Yee, sedang cedera.

Berikutan itu, Frost dikatakan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Dr. Fadzil, tetapi keputusan mengenainya ditangguhkan, sehinggalah pengumuman semalam.

Dr. Fadzil ketika dihubungi Bernama hari ini berkata: "Adalah lebih baik kita lupakan episod ini. Frost dan BAM telah bersetuju untuk berpisah dengan baik."

Beliau berkata mendapatkan Frost ke Malaysia adalah satu kejayaan besar bagi sukan badminton Malaysia dan Frost mungkin jurulatih terbaik pernah BAM peroleh.

Ditanya kenapa beliau sebagai ketua BAM membenarkan orang lain mengganggu Frost dalam urusan memilih pemain, beliau berkata: ''Itu adalah satu pengajaran yang baik. Kita belajar setiap hari dan mendapat faedah daripadanya.''

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SnC5pVXJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan