Ahad, 4 Disember 2016

Aksi antarabangsa

ARKIB : 20/06/1999
SELEPAS tempoh hampir satu dekad, Misbun Sidek kembali beraksi di persada antarabangsa apabila mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Proton-EON yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam bermula 30 Jun ini.

Misbun, 39, yang kini bergelar jurulatih dan masih beraksi pada beberapa sirkit kebangsaan mengesahkan penyertaan pertamanya pada kejohanan antarabangsa bertaraf lima bintang itu.

Nama jurulatih kelab profesional Nusa Mahsuri itu bukanlah sesuatu yang asing dalam Terbuka Malaysia.

Pertemuannya dengan pemain seperti Morten Frost yang kini memegang jawatan jurulatih bersama BAM serta seorang lagi pemain Denmark, Jens Peter Nierhoff satu ketika dahulu sentiasa menjadi perhatian.

Dengan faktor usia yang semakin meningkat, Misbun mungkin tidak berupaya melepasi halangan yang jauh tetapi kehadirannya pada kejohanan kali ini tetap menghiburkan.

Seperti Misbun, adiknya Rashid turut bertanding dan mahu mengulangi zaman kegemilangannya.

Rashid, yang pernah menjuarai Terbuka Malaysia sebanyak tiga kali adalah antara pemain yang paling digeruni sehingga satu ketika pernah dicap sebagai 'jaguh kampung.'

Selepas dibayangi beberapa siri kecederaan, Rashid kini sudah pulih dan mahu menjadikan Terbuka Malaysia sebagai gelanggang memburu tempat ke Sukan Olimpik Sydney tahun depan.

Terbuka Malaysia kali ini menjadi gelanggang impian barisan pemain utama Malaysia.

Selain Rashid, Ong Ewe Hock turut memburu gelaran keduanya pada kejohanan ini. Ewe Hock merupakan juara 1996 tetapi pencapaiannya di peringkat antarabangsa kebelakangan ini tidak begitu menyerlah terutama pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, bulan lalu.

Ewe Hock berhasrat menjadikan kejohanan ini sebagai pentas mengembalikan kehebatannya.

Seorang lagi pemain negara, Yong Hock Kin turut memasang impian untuk muncul juara. Hock Kin mengalami kecederaan bahu pada Terbuka Melaka dan berharap kecederaan itu pulih sepenuhnya menjelang kejohanan.

Selain itu, seorang lagi pemain Nusa Mahsuri, Mohamed Roslin Hashim serta pemenang pingat emas Sukan Komanwel XVI tahun lalu, Wong Choon Hann turut sama bertanding.

Cabaran Malaysia acara beregu pula digalas oleh pasangan yang digandingkan semula - Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook. Pasangan ini memberikan aksi cemerlang pada Piala Sudirman bulan lalu termasuk kemenangan ke atas pasangan Indonesia, Ricky Subagja-Rexy Mainaky dan mahu mengulangi pencapaian cemerlang mereka kali ini.

Untuk acara perseorangan Malaysia membariskan 46 pemain. Daripada jumlah itu, 18 pemain mewakili pasukan negeri.

Malaysia menyenaraikan 19 pemain untuk perseorangan wanita dan 26 pasangan untuk beregu lelaki.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RvUbHsUo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan