Rabu, 14 Disember 2016

Rashid lawan Peter Gade


 

ARKIB : 16/01/2000
RASHID SIDEK
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid Sidek menempah tiket ke perlawanan akhir setelah menewaskan seorang lagi pemain negara, Ismail Saman di separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan di Hanra Gymnasium, Cheju Island, semalam.

Pemain veteran berusia 31 tahun itu nyata menggunakan pengalaman untuk menewaskan bekas rakan sekelabnya itu walaupun terpaksa beraksi hingga ke rubber set sebelum menang 15-5, 12-15, 15-4.

Kemaraan itu menyaksikan Rashid akan membuat perhitungan terakhir dengan pemain nombor satu dunia yang juga diletakkan sebagai pilihan kejohanan, Peter Gade Christensen bagi memburu gelaran juara kejohanan bertaraf enam bintang bernilai AS$250,000 (RM950,000).

Gade Christensen yang dilihat sebagai pemain terbaik memenangi pertandingan itu berdasarkan kedudukan rankingnya mara setelah menewaskan pilihan 5/8 Luo Yigang dari China 17-14, 17-16.

Berdasarkan rekod pertemuan yang lebih memihak kepada Gade Christensen, Rashid mengakui akan mengharungi perlawanan sukar di pusingan akhir itu.

''Perlawanan esok pastinya sukar. Saya hanya pernah menang sekali dalan semua pertemuan dengan Peter iaitu pada pusingan ketika Terbuka Jerman 1996.

''Saya juga tewas pada pertemuan terakhir dengan Peter, juga dipusingan ketiga Terbuka Singapura, tahun lalu,'' katanya.

Walaupun sukar namun Rashid sudah mula memperhitungkan peluangnya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney, September ini.

''Kini peluang saya semakin cerah untuk ke Olimpik tetapi saya perlu berhati-hati agar tidak mengalami kecederaan dan memastikan mara sekurang-kurangnya ke suku akhir setiap kejohanan terbuka yang disertai,'' katanya.

Mengenai pertemuan dengan Ismail, semalam, Rashid mengakui ada peningkatan dalam tahap permainan lawannya itu setelah meninggalkan Nusa Mahsuri, April tahun lalu.

''Ismail bermain dengan baik pada perlawanan tadi (semalam). Berbanding dengan perlawanan ketika latihan bersama dulu, terdapat peningkatan dalam permainan Ismail di kejohanan ini,'' katanya.

Dalam satu lagi perkembangan, dua beregu Indonesia bertemu di perlawanan akhir setelah Candra Wijaya-Tony Gunawan dan Ricky Subagja-Rexy Mainaki menewaskan lawan masing-masing.

Candra-Tony yang diletakkan sebagai pilihan kedua menewaskan beregu tuan rumah, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sue 15-7, 8-15, 17-14.

Beregu veteran Indoensia, Ricky-Rexy pula menyingkirkan rakan sepasukan, Flandi Limpele-Eng Heng yang tewas 3-15, 8-15


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SrnmStIV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan