Selasa, 20 Disember 2016

Komitmen Yong Hock Kin dalam latihan dipuji

ARKIB : 30/04/2000
PEMAIN perseorangan negara, Yong Hock Kin mempamerkan komitmen latihan yang sungguh membanggakan walaupun diletakkan sebagai pemain simpanan skuad Piala Thomas yang akan beraksi pada Kejohanan Badminton Piala Thomas-Uber 2000 di Stadium Putra, Bukit Jalil, 11-21 Mei ini.

Menurut jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek, pemain itu akan berlatih dengan komitmen yang tinggi dalam keadaan tidak tertekan.

''Ketika ini Hock Kin menyangka dia merupakan pemain simpanan dan mungkin tidak akan diturunkan.

''Oleh itu dia tidak merasa sebarang tekanan dan dia turun berlatih dengan serius kerana menganggap dia hanya membantu rakan-rakan sepasukannya membuat persediaan menjelang kejohanan ini,'' katanya mengulas prestasi pemain yang begitu sukar ditemu bual.

Menurut Misbun, dia bangga dan berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Hock Kin dan berpendapat pemain kelahiran Negeri Sembilan itu tidak mungkin berlatih begitu giat sekiranya dia diletakkan sebagai perseorangan pertama ataupun kedua.

''Ketika ini apa yang Hock Kin tahu, dia merupakan pemain simpanan dan mungkin tidak akan diturunkan.

''Tanpa tekanan untuk beraksi dia terus berlatih walaupun kecederaan lututnya belum sembuh,'' ujarnya.

Menurut bekas pemain yang membantu negara menjulang Piala Thomas 1992 itu, berdasarkan prestasi Hock Kin semasa latihan, dia kelihatan begitu sukar untuk ditewaskan.

''Dalam setiap perlawanan latihan yang dijalankan, dia akan bermain bersungguh-sungguh sehingga lawannya sukar untuk menewaskannya.

''Apa bila ditanya permainannya yang begitu baik, dia hanya berkata hanya melakukannya untuk membantu rakan-rakan,'' jelas Misbun lagi.

Naib juara perseorangan Sukan Komanwel itu membuat kejutan dengan menjuarai Terbuka Indonesia 1998 sekalipun diganggu penonton negara itu.

Namun prestasinya terus merosot selepas itu dan kini gagal menduduki 20 ranking terbaik dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TNVaUgI1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan