Selasa, 6 Disember 2016

Choon Hann, Roslin meyakinkan

ARKIB : 06/07/1999 
CHANDRA Wijaya (depan) dan Tony Gunawan dari Indonesia menanti hantaran lawan dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia, kelmarin. Pasangan Indonesia itu menewaskan rakan senegara, Flandi Limpele-Eng Hian 15-6, 15-11.

PEMAIN negara terlepas gelaran kejohanan badminton Terbuka Malaysia buat kali ketiga berturut-turut kelmarin, tetapi keupayaan menguasai tiga daripada empat tempat separuh akhir perseorangan lelaki cukup menebus aksi hambar Kejohanan Dunia di Copenhagen, Mei lalu.

Wong Choon Hann, Roslin Hashim dan Rashid Sidek mengembalikan keyakinan terhadap Malaysia selepas mara ke separuh akhir dengan menundukkan pemain terkemuka dunia dalam laluan melepasi suku akhir.

Malangnya, Malaysia gagal membuktikan kehebatan mereka yang sebelum ini digembar-gemburkan datang daripada dua pemain terbaiknya, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin.

Juara 1996, Ewe Hock dan Hock Kin, juara Terbuka Indonesia bukan hanya tersingkir awal malah mempamer aksi amat mengecewakan dan gagal memanfaatkan kesempatan memungut mata bagi mencerahkan peluang ke Sukan Olimpik Sydney, tahun depan.

Kegagalan kedua-dua pemain ini, yang dianggap ketua jurulatih kebangsaan, Morten Frost Hansen sebagai sandaran utama negara turut mengundang padah, apabila diketepikan daripada skuad yang bakal beraksi pada Sukan SEA di Brunei, Ogos depan.

''Saya tetap berpuas hati terhadap persembahan keseluruhan skuad negara meskipun ada pemain yang gagal menepati ramalan,'' kata Frost, yang tetap mempertahankan Ewe Hock dan Hock Kin sebagai pemain terbaik negara.

''Saya fikir prestasi yang ditunjukkan pemain pada kejohanan ini membayangkan mereka punya kekuatan untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA nanti,'' katanya lagi.

Menurut Frost, peningkatan yang ditunjukkan pemain yang kurang diberi pengharapan adalah satu petanda baik dan memungkinkan Malaysia mempunyai lebih banyak wakil pada Sukan Olimpik nanti.

Sementara itu, juara Sukan Komanwel, Choon Hann menjadi pemain paling mendapat pujian serta tumpuan ekoran kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir dan menunjukkan semangat juang tinggi sejak pusingan awal.

Meskipun tewas kepada Luo Yigang dalam perlawanan akhir, bekas juara Terbuka Jepun itu mempamer aksi menghiburkan dengan mengheret Yigang berhempas pulas untuk menang 17-16, 17-15.

Terdahulu, Choon Hann menewaskan Roslin di separuh akhir sehari selepas dia mencatat kejutan ke atas naib juara dunia, Fung Permadi dari Taiwan di suku akhir.

Roslin pula dianggap pemain paling sensasi sepanjang kejohanan bertaraf lima bintang bernilai AS$150,000 (RM570,000) itu, berikutan kejayaan menundukkan pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, Peter-Gade Christensen dari Denmark serta menyingkirkan Ewe Hock 15-5, 15-3 di suku akhir.

Kejayaan Roslin, 23, yang kali terakhir merangkul gelaran antarabangsa di Terbuka Belanda Oktober lalu, menjanjikan peluang cerah memburu 16 tiket automatik ke Olimpik 2000.

Terbuka Malaysia 1999 turut melahirkan bintang baru, apabila Jason Wong secara mendadak mendapat perhatian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mengejutkan bekas juara Olimpik, Dong Jiong dari China di pusingan kedua.

Kejohanan Terbuka Malaysia merupakan penampilan kedua pemain berusia 21 tahun itu musim ini, sejak dibelenggu kecederaan sepanjang dua tahun. Penampilan sulungnya adalah di Terbuka Melaka April lalu, di mana Jason muncul juara.

Sementara itu, Malaysia masih gagal memiliki beregu lelaki yang meyakinkan apabila tiada seorang pun wakil negara bersaing dalam separuh akhir, yang menyaksikan penguasaan Indonesia dan Korea Selatan.

Hanya juara Sukan Komanwel dan Terbuka Belanda, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah melangkah hingga ke suku akhir, manakala kesemua beregu lain langsung tidak berupaya memecah halangan awal.

Terbuka Malaysia 1999 sekali lagi menyaksikan cabaran mengecewakan daripada skuad wanita, namun bagi Frost ada peningkatan dipamerkan dalam perseorangan wanita, terutama menerusi Woon Sze Mei.

Sze Mei berjaya memberi cabaran sengit kepada juara kejohanan dan pemain nombor dua dunia, Dai Yun dari China sebelum tunduk 11-6, 13-10 di pusingan kedua, manakala Ng Mee Fen tewas 11-1, 11-6 kepada pemain nombor satu dunia, Carmilla Martin dari Denmark di peringkat yang sama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4S3Fs5X8S © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan