ARIF tidak lagi beraksi acara
perseorangan sebaliknya fokus acara beregu lelaki bersama Khim Wah.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada lagi aksi
Arif Latif dalam perseorangan lelaki dan tiada lagi gandingan beregu lelaki,
Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bakal mewarnai sukan badminton dunia tahun depan.
Arif mengambil keputusan
beraksi dalam acara beregu lelaki bergandingan dengan bekas juara Terbuka
Malaysia Lim Khim Wah, manakala Boon Heong membentuk gandingan bersama pemain
Indonesia Hendra Setiawan.
Menurut Arif, Grand Prix (GP)
Akhir Kebangsaan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini bakal
menjadi medan terakhirnya dalam acara perseorangan sebelum fokus terhadap
beregu lelaki bersama Khim Wah sehingga Sukan Olimpik 2020 Tokyo.
“Untuk Sukan SEA Kuala Lumpur
tahun depan saya dan Khim Wah bertekad mencapai beberapa keputusan membanggakan
dan jika terpilih, ia memang bagus untuk kami,” katanya yang masih bernaung di
bawah Akademi Badminton Granular di Thailand.
Pemain kelahiran Negeri Sembilan
itu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir GP Akhir
Kebangsaan walaupun sebelum ini lebih banyak beraksi beregu lelaki
(bergandingan dengan Watchara Buranakuea) dan beregu campuran (Rusydina
Antardayu Riodingin).
Sementara itu, Boon Heong yang
pernah memenangi pingat emas Sukan Asia 2000, juara Seluruh England 2007 dan
naib juara Kejohanan Dunia 2010 ketika bersama Kien Keat akan bergandingan
bersama Hendra yang juga bekas juara dunia tiga kali (2007, 2013 dan 2015) dari
Indonesia.
Menurut Boon Heong, fokus utama
mereka adalah untuk mengukuhkan kedudukan ranking dunia dengan menyertai
sebanyak mungkin kejohanan tahun depan.
“Idea untuk kami bergandingan
hadir selepas melihat belum pernah ada mana-mana pemain utama dunia bergandingan
bersama, jadi kami mahu melakukannya dan lihat hasilnya.
“Kami tidak meletakkan sebarang
sasaran khusus kerana bukan muda lagi. Kami akan cuba buat yang terbaik dalam
setiap kejohanan disertai. Jika ada peluang layak ke Kejohanan Dunia tahun
depan, ia sudah cukup bagus,” kata pemain kelahiran Kedah itu.
Hendra juga memenangi emas
Olimpik Beijing 2008 ketika bersama Markis Kido, akan bergandingan bersama Boon
Heong dalam aksi sulung di Grand Prix (GP) Emas Terbuka India, bulan depan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 9:09 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan