Khamis, 14 Disember 2017

Juara Seluruh England tunggu Koo-Tan

ARKIB : 09/01/2009
KUALA LUMPUR - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran pada suku akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia hari ini, namun mereka menempah pertemuan sukar dengan juara Seluruh England, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung dari Korea Selatan.

Selepas cabaran tiga lagi beregu negara - Gan Teik Chai-Tan Bin Shen, Hoon Thien How-Lim Khim Wah dan Mohd. Razif Abdul Latif-Chan Peng Soon berkubur, Kien Keat-Boon Heong menjadi sandaran utama negara untuk merampas kembali gelaran yang dimenangi mereka pada 2007.

Semalam, bekas pemain nombor satu dunia itu mudah menjinakkan beregu muda senegara, Razif-Peng Soon 21-17, 21-10 dalam masa 22 minit untuk mengulangi pertemuan akhir Siri Super Masters Final dengan Yong Dae-Jae Sung.

Jika rekod pertemuan terakhir menjadi ukuran, Kien Keat-Boon Heong memiliki kelebihan ke atas pasangan Korea Selatan itu selepas menumpaskan mereka 21-14, 21-18 di Kota Kinabalu, dua minggu lalu.

Menang

Bagaimanapun rekod empat pertemuan mereka seimbang dengan pasangan negara menang dua kali - di Masters Akhir 2008 dan Terbuka Macau 2007, manakala beregu Korea juga menang dua perlawanan.

Semalam, Yong Dae-Jae Sung mara selepas menundukkan rakan senegara, Hwang Ji Man-Han Sang Hoon 21-15, 21-17.

"Walaupun nampak seperti menang mudah dalam dua pertemuan pertama, tetapi kami sebenarnya belum menemui rentak permainan sebenar dan pertahanan kami juga agak goyah hari ini.

"Bagaimanapun selepas mengalahkan Lee Yong Dae-Jung Jae Sung pada pertemuan terakhir kami di Sabah tahun lalu, saya rasa lebih yakin untuk memenangi perlawanan esok kalau kami berjaya mengulangi permainan yang sama," kata Boon Heong.

Sementara itu, kombinasi baru dua pemain veteran Indonesia, Candra Wijaya-Luluk Hadiyanto masih menjadi ancaman besar dalam kejohanan ini selepas menyingkirkan beregu muda negara, Teik Chai-Bin Shen 21-13, 21-11.

Thien How-Khim Wah pula memberikan cabaran yang baik kepada juara Olimpik dan pasangan nombor satu dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia sebelum tumpas 17-21, 18-21.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51IeNMlvo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Liew curi tumpuan, 18 pemain negara mara

ARKIB : 08/01/2009
KUALA LUMPUR - Pemain muda negara, Liew Daren mencuri tumpuan pada hari pembukaan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia semalam selepas mengejutkan jaguh nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana untuk mengetuai kemaraan 18 wakil Malaysia ke pusingan kedua.

Daren, pemain nombor 104 dunia yang hanya membuat penampilan kedua pada kejohanan Siri Super dan baru memulakan pengalaman bergelar pemain pasukan senior, menundukkan pemain nombor 13 dunia, Boonsak 24-22, 19-21, 21-17 dalam masa 1 jam, 9 minit untuk mengiringi kemaraan tiga lagi perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim dan Kuan Beng Hong.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang gagal melepasi pusingan kelayakan dalam penampilan sulung Siri Super di Terbuka Malaysia 2008, kini akan menentang pemain Taiwan, Hsueh Hsuan Yi pada pusingan kedua hari ini.

"Ini hanyalah kali kedua saya mendapat peluang beraksi dalam kejohanan Siri Super, harap kejayaan hari ini akan membantu saya mendapat tempat secara regular pada kejohanan Siri Super selepas ini," kata Daren, yang bakal beraksi pada Terbuka Korea minggu depan.

Sementara itu jaguh nombor satu dunia, Chong Wei dipaksa bekerja keras dalam kempen mempertahankan kejuaraan apabila menundukkan pemain muda Indonesia

Andre Kurniawan Tedjono 21-17, 21-18. Menanti pemenang pingat perak Olimpik itu pada pusingan kedua hari ini, Nguyen Tien Minh dari Vietnam.

Juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim juga bergelut untuk melepasi halangan awal Sho Sasaki dari Jepun sebelum menang 21-13, 19-21, 22-20 untuk bertemu Simon Santoso dari Indonesia, manakala Kuan Beng Hong mudah mengetepikan jaguh Hong Kong, Ng Wei 21-11, 21-16 dan bakal berdepan jaguh Korea, Park Sung Hwan.

Penyertaan lima lagi perseorangan negara, Wong Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob serta Chong Wei Feng bagaimanapun berakhir seawal pusingan pertama.

Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$200,000 (RM700,000) itu turut diteruskan empat beregu lelaki, diketuai juara Masters Akhir, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen, Hoon Tien How-Lim Khim Wah, Mohd. Razif Abdul Latif-Chan Peng Soon. Kien Kiet-Boon Heong menyingkirkan rakan senegara, Mohd. Lufti Zaim Abdul Khalid-Teo Kok Siang 21-13, 21-11 untuk bertemu Razif-Peng Soon, hari ini.

Bagaimanapun cabaran pasangan senior dan juara Terbuka Malaysia 2004, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah berakhir di tangan beregu England, Anthony Clark-Nathan Robertson 20-22, 19-21.

Dalam saingan beregu wanita, Wong Pei TTy-Chin Eei Hui meneruskan cubaan merampas takhta nombor satu dunia dengan melayakkan diri ke pusingan kedua, mengetuai tiga lagi pasangan remaja, Goh Liu Ying-Ng Hui Lin, Nairul Suhaida Abdul Latif-Florah Ng dan Nairul Suhaida Abdul Latif-Amelia Alicia Anscelly.

Juara Masters Akhir itu mudah mengetepikan pasangan Taiwan, Chiang Mei Hui-I Chun Liu 21-8, 21-16, dan dijangka tidak menghadapi masalah apabila berdepan gandingan Bulgaria/Denmark, Petya Nedelcheva-Mie Schjoett Kristensen.

Cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita pula bakal diketuai oleh Julia Wong dan Lydia Cheah, manakala Mohd. Razif Abdul Latif-Woon Khe Wei, Hoon Thien How-Chin Eei Hui, Lim Khim Wah-Wong Pei Tty dan Koo Kien Keat-Ng Hui

Lin melayakkan diri ke pusingan kedua beregu campuran.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51IPMeTNF

© Utusan Melayu (M) Bhd

No. 1 dunia jika tidak tertekan

ARKIB : 06/01/2009
KUALA LUMPUR - Selepas melakar sejarah muncul juara sulung Siri Super Masters Akhir, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui sedar mereka berpeluang melakar satu lagi sejarah - merampas takhta beregu wanita nombor satu dunia jika layak ke final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, yang bermula hari ini.

Tanpa kehadiran pasangan nombor satu dunia, Du Jing-Yu Yang dari China yang menarik diri pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM700,000) itu, peluang beregu utama negara itu untuk merangkul kejuaraan sulung 2009 dilihat amat cerah.

Bagaimanapun ketua jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky bimbang keinginan yang membuak-buak untuk bergelar nombor satu dunia mampu memakan diri sendiri.

Malah beliau mengakui, ciri-ciri memberi tekanan kepada diri sendiri sudah mula ditunjukkan kedua-dua pemain sepanjang sesi latihan menjelang Terbuka Malaysia.

"Mereka boleh bergelar pasangan nombor satu dunia jika masuk final dan saya bimbang kalau perasaan itu terlalu terbawa-bawa sehingga ke gelanggang, sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Sekarang pun saya sudah boleh nampak mereka agak tertekan ketika berlatih, sebenarnya inilah peringkat yang amat sukar buat pemain... hendak menyesuaikan diri sebagai terbaik dunia dan diberi perhatian oleh lawan.

"Nasihat saya kepada Pei Tty-Eei Hui, jangan fikirkan sangat tentang gelaran nombor satu dunia, tumpu saja kepada permainan. Kalau mereka bagus, maka ia (ranking nombor satu) akan datang sendirinya,'' kata Rexy pada sesi latihan di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Tahun 2008 merupakan tahun paling gemilang buat Pei Tty-Eei Hui apabila merangkul kejuaraan Siri Super Masters Akhir dan Siri Super Terbuka Denmark.

Malah, pasangan ini yang melonjak ke ranking kedua dunia pada dua bulan terakhir, 2008 turut melangkah ke final dalam tiga lagi kejohanan Siri Super - Terbuka China, Terbuka Perancis dan Terbuka Jepun, selain muncul naib juara Terbuka Thailand.

Kedua-dua pemain mempamer peningkatan yang sangat hebat dalam tempoh enam bulan terakhir tahun lalu, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia.
SUMBEArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51I7ETJLx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Chong Wei atasi rekod kejuaraan Misbun

ARKIB : 13/12/2008
KUALA LUMPUR - Jaguh kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei menjuarai Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir apabila mudah menundukkan pemain muda Chong Wei Fun 21-11, 21-13 dalam perlawanan akhir di Alor Star semalam.

Ia merupakan kejuaraan ketujuh berturut-turut Chong Wei dalam grand prix kebangsaan, mengatasi rekod enam kejuaraan jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.

Sementara itu, beregu remaja, Goh Wei Shem-Ong Jian Huo yang cemerlang apabila menewaskan tiga beregu elit di peringkat sebelum ini tewas di pentas final.

Wei Shem-Jian Huo tunduk kepada gandingan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah 14-21, 22-20, 11-21.

Pasangan itu menyingkirkan pasangan elit dan penyandang juara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di separuh akhir.

Beregu berpengalaman, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan beregu elit, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif juga tunduk kepada Wei Shem-Jian Guo di pusingan sebelum ini.

Dalam pada itu, Kien Keat menebus kehampaan selepas gandingannya dengan Boon Heong tunduk kepada Wei Shem-Jian Guo di separuh akhir beregu lelaki kelmarin apabila menjuarai acara beregu campuran.

Kien Keat yang berganding dengan Ng Hui Lin diberi tentangan oleh pasangan Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei namun menang 22-20, 21-19 dalam masa 28 minit.

Dalam final perseorangan wanita Julia Wong diheret ke set penentuan sebelum menang ke atas Lydia Cheah 21-19, 7-21, 21-10.

Kejuaraan beregu wanita pula milik gandingan Goh Liu Ying- Ng Hui Lin

yang menang 21-16, 14-21, 21-19 ke atas pasangan Chong Sook Chin-Woon Khe Wei.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51EBKUUI3

© Utusan Melayu (M) Bhd

Beregu remaja singkir Kien Keat-Boon Heong

ARKIB : 12/12/2008
KUALA LUMPUR – Beregu remaja, Goh Wei Shem-Ong Jian Guo melakar kejutan terbesar pada Grand Prix Badminton Kebangsaan Akhir semalam apabila menyingkirkan pasangan elit dan penyandang juara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-19, 21-18 pada separuh akhir.

Malah, pasangan pelapis kebangsaan mendominasi pentas akhir di Dewan Badminton KBA, Alor Star hari ini, apabila gandingan Chan Peng Soon-Lim Khim Wah mengetepikan satu lagi beregu berpengalaman, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng 17-21, 21-11, 21-19.

Ini adalah kejutan ketiga yang dilakar Wei Shem-Jian Guo dalam tempoh sebulan selepas turut menewaskan beregu elit, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif pada Terbuka Johor bulan lalu, diikuti juara remaja dunia, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang di peringkat kumpulan, kelmarin.

Bagi Kien Keat-Boon Heong, kekalahan ini menjejaskan sedikit persiapan mereka menjelang Siri Super Masters Final yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, 18-21 Disember ini.

Begitupun tiada kejutan berlaku dalam saingan perseorangan, di mana jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei terus unggul menghampiri rekod kejuaraan ketujuh berturut-turut selepas menjinakkan Liew Daren 21-10, 21-12.

Chong Wei bakal menerima tentangan menarik daripada pemain muda sedang meningkat, Chong Wei Feng yang menewaskan Chan Kwong Beng 21-10, 21-16.

Seperti dijangka, final perseorangan wanita menemukan dua pilihan utama, Julia Wong dan Lydia Cheah. Julia menewaskan Ng Sin Er 21-8, 21-7 manakala Lydia memperoleh kemenangan percuma ke atas Stephanie Shalini Sukumaran.

Dalam beregu wanita, pilihan pertama, Goh Liu Ying-Ng Hui Lin menewaskan Ho Bee Ling-Nairul Suhada Abdul Latif 21-15, 21-13 untuk bertemu Chong Sook Chin- Woon Khe Wei, yang menang 21-18, 21-15 ke atas Lim Yin Loo-Ng Paou Leng.

Beregu campuran pula menemukan Tan Wee Kiong-Woon Khe Wei dan Koo Kien Keat-Ng Hui Lin.

KEPUTUSAN (separuh akhir)

Perseorangan lelaki: Lee Chong Wei kln Liew Daren 21-10, 21-12; Chong Wei Feng kln Chan Kwong Beng 21-10, 21-16.

Beregu lelaki: Goh Wei Shem-Ong Jian Guo kln Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-19, 21-18; Chan Peng Soon-Lim Khim Wah kln Chan Chong Ming Chew Choon Eng 17-21, 21-11, 21-19.

Perseorangan wanita: Julia Wong kln Ng Sin Er 21-8, 21-7; Lydia Cheah kln Stephanie Shalini Sukumaran menang percuma.

Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51E7PSeLC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 13 Disember 2017

Fairuzizuan - Zakry ke akhir

ARKIB : 30/11/2008
KUALA LUMPUR - Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Abdul Latif akhirnya melangkah ke perlawanan akhir pertama dalam tempoh lima bulan selepas membenam pasangan senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong, semalam.

Pasangan nombor enam dunia itu, yang mempamer prestasi tidak menentu sejak muncul juara Terbuka Indonesia dan Singapura, Jun lalu menang 12-21, 21-13, 22-20.

Kemenangan ini pastinya menebus kekecewaan Fairuzizuan-Zakry yang dikejutkan oleh beregu muda pada suku akhir Terbuka Johor, awal bulan ini - kekalahan yang menyebabkan mereka gagal layak ke Grand Prix Kebangsaan Akhir.

Pasangan itu yang turut tersingkir di suku akhir Terbuka China, minggu lalu kini berada pada laluan terbaik untuk memburu gelaran Siri Super ketiga tahun ini, malah sudah mengesahkan tiket ke Siri Super Masters Final di Sabah, bulan depan.

Begitupun cabaran tidak mudah kerana mereka akan menentang juara Seluruh England, Terbuka Switzerland, Terbuka China dan Asia, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea, yang menewaskan beregu England, Anthony Clark-Nathan Robertson 21-19, 21-17.

Fairuzizuan-Zakry adalah wakil tunggal Malaysia yang beraksi di Stadium Queen Elizabeth hari ini selepas beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui kalah 13-21, 9-21 kepada pasangan tuan rumah, Zhang Yawen-Zhao Tingting.

Biarpun gagal ke perlawanan akhir, namun Kien Keat-Boon Heong hampir pasti akan menyertai Fairuzizuan-Zakry pada Kejohanan Siri Super Masters Final di Kota Kinabalu, 18-21 Disember ini.

Turut mengesahkan tiket, Pei Tty-Eei Hui dan Datuk Lee Chong Wei, manakala status Wong Mew Choo semakin samar selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Hong Kong.

Sementara itu, juara Olimpik, Lin Dan mampu memintas takhta nombor satu dunia daripada Chong Wei selepas mara ke perlawanan akhir dengan menundukkan juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia.

21-17, 21-14.

Lin Dan yang memburu gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka China akan berdepan rakan senegara, Chen Jin, yang menewaskan Boonsak Posana dari Thailand 21-15, 21-16.

KEPUTUSAN (separuh akhir)

LELAKI, perseorangan lelaki: Lin Dan (Chn) kln Taufik Hidayat (Ina) 21-17, 21-14; Chen Jin (Chn) kln Boonsak Posana (Tha) 21-15, 21-16

Beregu: MOHD. FAIRUZIZUAN TAZARI-MOHD. ZAKRY LATIF kln KOO KIEN KEAT-TAN BOON HEONG 12-21, 21-13, 22-20; Jung Jae Sung-Lee Yong Dae (Kor) vs Anthony Clark-Nathan Robertson (Eng) 21-19, 21-17

WANITA, perseorangan: Xie Xingfang (Chn) kln Zhu Lin (Chn); Wang Chen (Hkg) kln Zhou Mi (Hkg) 12-21, 21-17, 21-18

Beregu: Zhang Yawen-Zhao Tingting (Chn) kln WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI 21-13, 21-9; Cheng Su-Zhao Yunlei (Chn) kln Ha Jung Eun-Kim Min Jung (Kor) 21-14, 21-13

Beregu campuran: Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung (Kor) kln Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl (Den) 21-16, 21-16; Xie Zhongbo-Zhang Yawen (Chn) kln Zheng Bo-Ma Jin (Chn) 21-14, 21-
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz519YGCHiA

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 12 Disember 2017

Tsuen Seng juara Terbuka NZ

ARKIB : 16/11/2008
KUALA LUMPUR - Pemain negara yang bernaung di bawah KLRC Berhad (sebelum ini dikenali sebagai The KL Racket Club Berhad), Lee Tsuen Seng menjuarai perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand setelah menumpaskan rakan senegara, Sairul Amar Ayob pada perlawanan akhir semalam ini.

Menurut laman web Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) Tsuen Seng yang juga merupakan juara bertahan memerlukan 45 minit untuk mengalahkan Sairul yang juga pilihan utama 24-22, 21-17.

Kecemerlangan Tsuen Seng bagaimanapun gagal diikuti pasangan beregu wanita yang juga bernaung di bawah KLRC Berhad apabila Lim Pek Siah-Haw Chiou Hwee tewas mudah kepada pasangan Taiwan, Yu Chin Chien-Chia Chi Chou dengan 8-21 dan 15-21 dalam masa 26 minit pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM172,000 itu.

- Bernama
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz517L6OcCI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Kita juara di Terbuka New Zealand

ARKIB : 15/11/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia mengesahkan kejuaraan perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka New Zealand apabila dua pemainnya, Sairul Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng bertemu sesama sendiri pada perlawanan akhir, hari ini.

Malah, Malaysia juga berpeluang merangkul kejuaraan beregu wanita apabila pasangan KLRC, Lim Pek Siah-Haw Chiou Hwee turut melangkah ke saingan akhir.

Turun sebagai pilihan pertama, Sairul menepati statusnya dengan menumpaskan pilihan keempat, Hsieh Yu Hsin dari Taiwan apabila menang 21-18, 21-19.

Tsuen Seng, pilihan ketiga pula menumpaskan pencabar dari Scotland, Alistair Casey 21-8, 21-7 dalam kejohanan yang menawarkan AS$50,000 (RM172,000) itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5176jtZOC

© Utusan Melayu (M) Bhd

Fairuzizuan-Zakry kini beregu No. 1 negara

ARKIB : 03/11/2008
KUALA LUMPUR - Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif mungkin gagal mempamer prestasi memberangsangkan sejak kejayaan menjuarai Terbuka Indonesia dan Singapura Jun lalu, namun mereka kini bergelar beregu lelaki nombor satu Malaysia.

Pada ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan Khamis lalu, Fairuzizuan-Zakry memintas Koo Kien Keat- Tan Boon Heong dengan melonjak ke ranking kelima dunia.

Pasangan muda negara itu naik lima anak tangga berbanding ranking ke-10 minggu lalu, manakala Kien Keat-Boon Heong, yang gagal mempamer aksi meyakinkan akhir-akhir ini jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam dunia.

Pasangan senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, yang tidak menyertai sebarang kejohanan sejak keluar meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir September lalu, jatuh dua anak tangga ke ranking ke-10.

Sementara itu, Datuk Lee Chong Wei kekal sebagai pemain nombor satu dunia meninggalkan juara Olimpik, Lin Dan di tempat kedua, manakala Wong Mew Choo naik dua anak tangga ke ranking ketujuh perseorangan wanita, yang turut menyaksikan pemain Hong Kong, Zhou Mi merampas takhta nombor satu dunia.

Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang merangkul kejuaraan antarabangsa pertama mereka pada Terbuka Denmark minggu lalu turut menikmati kenaikan ranking dengan melonjak ke tangga kelapan, berbanding 10 minggu lalu.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz512i6zttB

© Utusan Melayu (M) Bhd

Hee Chun-Kok Siang juara di Pune

ARKIB : 03/11/2008
KUALA LUMPUR - Pasangan negara, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang melengkapkan tahun 2008 yang cemerlang apabila muncul juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Pune, India semalam.

Kemenangan tersebut dilakar hanya tiga bulan selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan Remaja Asia di Kuala Lumpur.

Hee Chun-Kok Siang, menepati status sebagai pilihan pertama kejohanan selepas menundukkan pasangan dari China dan pilihan ketiga/empat, Chai Biao-Qiu Zihan 21-18, 21-14.

Malah apa yang menjadikan kemenangan lebih bermakna, beregu negara itu berjaya menebus kekalahan kepada pasangan yang menundukkan mereka pada separuh akhir acara berpasukan, minggu lalu.

Hee Chun-Kok Siang menjadi beregu ketujuh Malaysia (lelaki dan campuran) berjaya merangkul kejuaraan remaja dunia selepas Chan Chong Ming-Jeremy Gan memenanginya buat kali pertama pada 1996.

Malah bagi Kok Siang, kemenangan semalam berjaya menyamai pencapaian abangnya, Teo Kok Seng, yang muncul juara beregu lelaki bersama Chong Ming pada 1998.

Sementara itu pasangan Singapura, Fu Mingtian-Yao Lei melakar kejutan terbesar apabila menundukkan pilihan pertama, Xie Jing-Zhong Qianxin dari China 21-19, 21-17 untuk muncul juara beregu wanita.

China bagaimanapun membawa pulang dua gelaran - perseorangan lelaki dan beregu campuran, manakala tuan rumah meraikan kemenangan terbesar pemain wanita mereka, Saina Nehwal.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz512eXC5oR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Mew Choo tersingkir

ARKIB : 30/10/2008
KUALA LUMPUR - Ratu badminton Malaysia, Wong Mew Choo mengalami kejutan terbesar pada Kejohanan Terbuka Perancis selepas tewas kepada pemain tidak ternama Scotland, Susan Hughes pada pusingan pertama di Paris, semalam.

Cabaran negara pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM688,000) itu bagaimanapun diteruskan jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang tidak menghadapi masalah dalam kempen awal mempertahankan kejuaraan.

Turut melangkah ke pusingan kedua, pasangan utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan pemain perseorangan, Muhammad Hafiz Hashim.

Mew Choo yang turun sebagai pilihan kelapan terus gagal mencari kejuaraan antarabangsa pertamanya musim ini selepas tunduk 12-21, 19-21 kepada Hughes dalam masa 36 minit.

Kekalahan terbaru ini meningkatkan lagi kebimbangan tentang keadaan fizikal pemain berusia 26 tahun itu yang dihimpit kecederaan lamanya.

Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat juara Terbuka China 2007 itu selepas pada peringkat awal, selepas tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Macau dan Terbuka Jepun, bulan lalu.

Kekecewaan Malaysia bagaimanapun ditebus oleh pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei yang hanya memerlukan 26 minit untuk menewaskan Arvind Bhat dari India 21-14, 21-3.

Kemenangan tersebut akan menemukan penyandang juara itu dengan pemain bukan pilihan, Chan Yan Kit dari Hong Kong yang mengetepikan pemain Kanada, Bobby Milroy 21-17, 21-9.

Sementara itu, beregu di bawah pemerhatian, Kien Keat-Boon Heong menyingkirkan pasangan England, Richard Eidestedt-Andrew Ellis 21-18-21-14.

Hafiz yang mempamerkan aksi kurang memberangsangkan pada Terbuka Denmark, minggu lalu menempah pertemuan dengan juara Olimpik 2004, Taufik Hidayat dari Indonesia selepas menumpaskan pemain Perancis, Simon Maunoury 21-16, 21-14.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz512DVMahl

© Utusan Melayu (M) Bhd

Remaja kita mara

ARKIB : 30/10/2008
KUALA LUMPUR - Selepas menduduki tangga ketiga acara berpasukan, Malaysia meneruskan kempen Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Pune, India dengan empat perseorangan lelakinya melangkah ke pusingan ketiga, semalam.

Pilihan ke-5/8, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengetuai kemaraan Malaysia selepas menang mudah 21-13, 21-1 ke atas Awais Zahid dari Pakistan untuk bertemu Evert Sukamta dari Indonesia.

Perseorangan kedua negara, Muhd. Syawal Ismail, pilihan ke-9/16 pula mengetepikan Choi Seung Il dari Korea Selatan 21-17, 17-21, 21-19 untuk menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain Indonesia, Ari Trisnanto.

Goh Soon Huat turut melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan Kamil Vehbi Akcebe dari Turki 21-10, 21-17, namun bakal menentang pilihan utama, Gao Huan dari China.

Cabaran perseorangan lelaki Malaysia juga diteruskan Kuan Kam Chung yang mengejutkan pilihan ke-9/16, Kasper Lehikonen dari Finland 21-15, 21-9 untuk berdepan pemain Jepun, Shu Wada.

Dalam saingan perseorangan perempuan, Tee Jing Yi muncul wakil tunggal Malaysia melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain pilihan, Sapsiree Taerattanachai dari Thailand 24-22, 12-21, 21-19.

Jing Yi, 18, yang turut beraksi dalam saingan beregu kini akan menentang pemain Indonesia, Lindaweni Fanetri.

Sementara itu, Pang Lin Zheng-Vee Vian Chong pula melayakkan diri ke pusingan kedua beregu campuran selepas menumpaskan Kristian Kaljurand-Gerda Teder dari Estonia 21-14, 21-11.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz512B0te9Y

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Malaysia ketiga

ARKIB : 28/10/2008
PUNE - Skuad badminton negara menduduki tempat ketiga Kejohanan Remaja Dunia apabila menewaskan tuan rumah India 3-2 semalam.

Kejuaraan dimenangi oleh China yang menewaskan Korea Selatan 3-1, untuk memenangi kali ketiga perlawanan dalam kategori pasukan dalam kejohanan yang diperkenalkan sejak 2004.

Pasangan beregu campuran Teo Kok Siang-Vivian Hoo Kah Mun memberi mata pertama Malaysia apabila menewaskan pasangan R.M.V. Gurusaidutt-Prajakta Sawant 21-8, 21-17.

Namun pemain perseorangan wanita, Flora Ng Siew Foong tewas kepada bintang remaja India yang sedang meningkat naik, Saina Nehwal 9-21, 6-21 sementara perseorangan lelaki Iskandar Zulkarnain tewas kepada Prakash Aditya.

Selepas ketinggalan 1-2, pasangan beregu lelaki dan wanita bangkit untuk memberi mata kemenangan kepada Malaysia 3-2.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz511pi31tS

© Utusan Melayu (M) Bhd

Eei Hui-Pei Tty raih gelaran sulung

ARKIB : 27/10/2008
KUALA LUMPUR - Beregu nombor satu wanita negara, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty meraih gelaran pertama badminton Siri Super dunia apabila menjuarai Terbuka Denmark, semalam.

Diletakkan sebagai beregu pilihan keempat kejohanan, Eei Hui-Pei Tty menewaskan beregu Indonesia, Rani Mundiasti-Jo Novita 23-21, 21-12 dalam masa 31 minit.

Kejayaan itu pastinya memberi suntikan semangat kepada mereka untuk berusaha lebih gigih dalam mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

Sebelum ini, pasangan negara itu pernah layak ke perlawanan akhir Terbuka Jepun tetapi gagal muncul juara.

Dalam laluannya sebelum bergelar juara, Eei Hui-Pei Tty turut menumpaskan beregu China, Pan Pan-Qing Tian di suku akhir dan satu lagi beregu Indonesia, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii di separuh akhir.

Sementara itu jaguh tuan rumah, Peter Gade muncul juara perseorangan lelaki selepas menewaskan rakan senegara, Joachim Persson 21-18, 17-21, 21-14.

Beregu campuran turut menjadi milik Denmark apabila pemain mereka bertemu sesama sendiri.

Gelaran juara beregu lelaki pula menjadi milik Indonesia apabila juara dunia dan Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan menewaskan beregu bidan terjun China, Fu Haifeng-Shen Ye 21-18, 21-19.

Perseorangan wanita pula dikuasai pemain China apabila Wang Lin menewaskan pemain Hong Kong, Zhou Mi 21-18, 21-10.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz511lEsASh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Hafiz dipaksa berhempas pulas


 

ARKIB : 23/10/2008
Hafiz Hashim

KUALA LUMPUR - Bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim bergelut untuk melepasi halangan awal pemain India, Arvind Bhat dalam perlawanan pembukaan badminton Terbuka Denmark di Odense, semalam.

Seorang lagi pemain negara, Wong Choong Hann juga cemas apabila tewas di set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya untuk menewaskan pemain India Anand Pawar.

Bagaimanapun dua beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif tidak menghadapi masalah melepasi lawan masing-masing.

Hafiz, yang terperosok ke ranking 34 dunia ketika ini tewas di set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya untuk menang 18-21, 21-15, 21-19 ke atas pemain nombor 36 dunia itu.

Choong Hann tunduk 17-21 di set pertama kepada Anand namun bangkit untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua apabila memenangi dua set berikutnya 21-12, 21-18.

Dengan penarikan diri rakan senegara, Lee Chong Wei, Hafiz kini akan berdepan pemenang di antara dua pemain kelayakan, Scott Evans (Ireland) atau Hans- Kristian Vittinghus dari Denmark pada pusingan kedua hari ini.

Penampilan sulung Hafiz bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menyaksikan dia tersingkir pada pusingan pertama China Masters, bulan lalu dan tidak bertanding di Macau akibat kecederaan.

Sementara itu, proses kebangkitan Kien Keat-Boon Heong bermula baik di Denmark selepas menang mudah 21-10, 21-16 ke atas Michael Fuchs-Ingo Kindervater dari Jerman.

Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Macau dua minggu lalu, cabaran Siri Super Denmark lebih sukar buat Kien Keat-Boon Heong, yang bakal berdepan pemenang di antara Peter Buur Steffensen-Rasmus Mangor Andersen dari Denmark atau Baptiste Careme-Laurent Constantin. dari Perancis.

Fairuzizuan-Zakry pula menewaskan pasangan England, Robert Adcock-Robin Middleton untuk bertemu beregu tuan rumah, Anders Kristiansen-Simon Mollyhus.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz510P7Wd00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 Disember 2017

Kien Keat-Boon Heong terselamat


 

ARKIB : 10/10/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
gandingan koo Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong dikekalkan ekoran kejayaan mereka di Terbuka Macau.

KUALA LUMPUR - Beregu muda negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terselamat daripada dipisahkan selepas berjaya mempertahankan kejuaraan badminton Terbuka Macau, minggu lalu.

Kombinasi yang telah mencecahkan usia dua tahun itu berada di ambang perpecahan ekoran prestasi merosot yang dipertontonkan sejak akhir tahun lalu.

Selepas gagal memenangi pingat pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos lalu, pasangan ini tersingkir pula seawal pusingan kedua pada kejohanan Siri Super China Masters, bulan lalu.

Perkembangan terbaru itu memaksa ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky mengeluarkan amaran kepada mereka agar melakukan sesuatu di Macau atau berdepan risiko dipisahkan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu menyahut cabaran dengan positif apabila mempertahankan gelaran selepas menundukkan pasangan Taiwan, Fang Chieh-min-Lee Sheng-mu 21-16, 21-18.

Ia merupakan kejuaraan pertama buat pasangan nombor lima dunia itu sejak kali terakhir muncul juara di Terbuka Denmark, Oktober tahun lalu.

"Kemenangan di Macau amat penting untuk mengembalikan keyakinan Kien Keat dan Boon Heong, saya harap ia akan menjadi titik kebangkitan mereka.

"Memandangkan mereka sudah mula mencatat kemenangan, saya akan biarkan mereka bersama, lagi pun saya masih percaya kedua-dua pemain ini masih beregu terbaik kita,'' kata Rexy selepas mengadakan mesyuarat dengan pengurus besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh, semalam.

Bagaimanapun, jelas Rexy, ujian sebenar bekas pasangan nombor satu dunia itu adalah untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Denmark (21-26 Oktober) dan Perancis (28 Oktober-2 November) yang mana kebanyakan pemain terbaik dunia hadir.

Katanya, jika berjaya memenangi salah satu daripada kejuaraan Siri Super di Eropah itu, ia akan membantu Kien Keat-Boon Heong menghadapi musim 2009 dengan lebih meyakinkan.

"Saya rasa mereka telah banyak merubah dan menunjukkan kesungguhan untuk bangkit selepas mengharungi tahun yang mengecewakan.

"Pada saya, apa yang diperlukan oleh Kien Keat dan Boon Heong ketika ini adalah lebih berani. Berani menerima kekalahan dan cuba untuk bangkit pada kejohanan seterusnya,'' ujarnya.

Rexy mengakui, Kien Keat-Boon Heong penting dalam perancangan badminton negara bermula tahun depan sehingga Sukan Olimpik 2012 bersama satu lagi pasangan muda, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif.

Katanya, setakat ini hanya dua beregu ini mendapat status pasangan elit, namun itu bukan jaminan mereka akan sentiasa diberi tempat ke kejohanan utama, kecuali mempamerkan prestasi yang benar-benar meyakinkan.

"Saya banyak belajar daripada kesilapan lepas. Dulu kita hantar pemain terbaik dalam ranking dunia walaupun prestasi mereka tidak bagus tetapi kita rasa mereka adalah yang terbaik, jadi kita hantar.

"Mulai sekarang, kita hanya akan menghantar pemain yang memiliki prestasi semasa terbaik, tidak kira berapa ranking mereka atau sama ada mereka pemain skuad pelapis.

"Setiap empat bulan, prestasi pemain akan dinilai, kalau tidak bagus, pemain yang mempamer aksi meyakinkan pada sesi latihan akan dihantar sebagai ganti. Dengan cara ini kita ada ramai pilihan dalam tempoh empat tahun membawa ke Sukan Olimpik,'' tegas Rexy.

Kata Rexy, beliau juga mempunyai beberapa cadangan seperti membawa pemain pelapis dan senior menjalani latihan bersama di Stadium Juara, Bukit Kiara, namun keputusan akhir hanya akan diputuskan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50sGVzdc8

© Utusan Melayu (M) Bhd