Khamis, 14 Disember 2017

No. 1 dunia jika tidak tertekan

ARKIB : 06/01/2009
KUALA LUMPUR - Selepas melakar sejarah muncul juara sulung Siri Super Masters Akhir, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui sedar mereka berpeluang melakar satu lagi sejarah - merampas takhta beregu wanita nombor satu dunia jika layak ke final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, yang bermula hari ini.

Tanpa kehadiran pasangan nombor satu dunia, Du Jing-Yu Yang dari China yang menarik diri pada kejohanan Siri Super bernilai AS$200,000 (RM700,000) itu, peluang beregu utama negara itu untuk merangkul kejuaraan sulung 2009 dilihat amat cerah.

Bagaimanapun ketua jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky bimbang keinginan yang membuak-buak untuk bergelar nombor satu dunia mampu memakan diri sendiri.

Malah beliau mengakui, ciri-ciri memberi tekanan kepada diri sendiri sudah mula ditunjukkan kedua-dua pemain sepanjang sesi latihan menjelang Terbuka Malaysia.

"Mereka boleh bergelar pasangan nombor satu dunia jika masuk final dan saya bimbang kalau perasaan itu terlalu terbawa-bawa sehingga ke gelanggang, sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri.

"Sekarang pun saya sudah boleh nampak mereka agak tertekan ketika berlatih, sebenarnya inilah peringkat yang amat sukar buat pemain... hendak menyesuaikan diri sebagai terbaik dunia dan diberi perhatian oleh lawan.

"Nasihat saya kepada Pei Tty-Eei Hui, jangan fikirkan sangat tentang gelaran nombor satu dunia, tumpu saja kepada permainan. Kalau mereka bagus, maka ia (ranking nombor satu) akan datang sendirinya,'' kata Rexy pada sesi latihan di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Tahun 2008 merupakan tahun paling gemilang buat Pei Tty-Eei Hui apabila merangkul kejuaraan Siri Super Masters Akhir dan Siri Super Terbuka Denmark.

Malah, pasangan ini yang melonjak ke ranking kedua dunia pada dua bulan terakhir, 2008 turut melangkah ke final dalam tiga lagi kejohanan Siri Super - Terbuka China, Terbuka Perancis dan Terbuka Jepun, selain muncul naib juara Terbuka Thailand.

Kedua-dua pemain mempamer peningkatan yang sangat hebat dalam tempoh enam bulan terakhir tahun lalu, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan utama untuk merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia.
SUMBEArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51I7ETJLx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan