Ahad, 10 Disember 2017

Kien Keat-Boon Heong terselamat


 

ARKIB : 10/10/2008
Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
gandingan koo Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong dikekalkan ekoran kejayaan mereka di Terbuka Macau.

KUALA LUMPUR - Beregu muda negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terselamat daripada dipisahkan selepas berjaya mempertahankan kejuaraan badminton Terbuka Macau, minggu lalu.

Kombinasi yang telah mencecahkan usia dua tahun itu berada di ambang perpecahan ekoran prestasi merosot yang dipertontonkan sejak akhir tahun lalu.

Selepas gagal memenangi pingat pada Sukan Olimpik Beijing, Ogos lalu, pasangan ini tersingkir pula seawal pusingan kedua pada kejohanan Siri Super China Masters, bulan lalu.

Perkembangan terbaru itu memaksa ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky mengeluarkan amaran kepada mereka agar melakukan sesuatu di Macau atau berdepan risiko dipisahkan.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu menyahut cabaran dengan positif apabila mempertahankan gelaran selepas menundukkan pasangan Taiwan, Fang Chieh-min-Lee Sheng-mu 21-16, 21-18.

Ia merupakan kejuaraan pertama buat pasangan nombor lima dunia itu sejak kali terakhir muncul juara di Terbuka Denmark, Oktober tahun lalu.

"Kemenangan di Macau amat penting untuk mengembalikan keyakinan Kien Keat dan Boon Heong, saya harap ia akan menjadi titik kebangkitan mereka.

"Memandangkan mereka sudah mula mencatat kemenangan, saya akan biarkan mereka bersama, lagi pun saya masih percaya kedua-dua pemain ini masih beregu terbaik kita,'' kata Rexy selepas mengadakan mesyuarat dengan pengurus besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh, semalam.

Bagaimanapun, jelas Rexy, ujian sebenar bekas pasangan nombor satu dunia itu adalah untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Denmark (21-26 Oktober) dan Perancis (28 Oktober-2 November) yang mana kebanyakan pemain terbaik dunia hadir.

Katanya, jika berjaya memenangi salah satu daripada kejuaraan Siri Super di Eropah itu, ia akan membantu Kien Keat-Boon Heong menghadapi musim 2009 dengan lebih meyakinkan.

"Saya rasa mereka telah banyak merubah dan menunjukkan kesungguhan untuk bangkit selepas mengharungi tahun yang mengecewakan.

"Pada saya, apa yang diperlukan oleh Kien Keat dan Boon Heong ketika ini adalah lebih berani. Berani menerima kekalahan dan cuba untuk bangkit pada kejohanan seterusnya,'' ujarnya.

Rexy mengakui, Kien Keat-Boon Heong penting dalam perancangan badminton negara bermula tahun depan sehingga Sukan Olimpik 2012 bersama satu lagi pasangan muda, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif.

Katanya, setakat ini hanya dua beregu ini mendapat status pasangan elit, namun itu bukan jaminan mereka akan sentiasa diberi tempat ke kejohanan utama, kecuali mempamerkan prestasi yang benar-benar meyakinkan.

"Saya banyak belajar daripada kesilapan lepas. Dulu kita hantar pemain terbaik dalam ranking dunia walaupun prestasi mereka tidak bagus tetapi kita rasa mereka adalah yang terbaik, jadi kita hantar.

"Mulai sekarang, kita hanya akan menghantar pemain yang memiliki prestasi semasa terbaik, tidak kira berapa ranking mereka atau sama ada mereka pemain skuad pelapis.

"Setiap empat bulan, prestasi pemain akan dinilai, kalau tidak bagus, pemain yang mempamer aksi meyakinkan pada sesi latihan akan dihantar sebagai ganti. Dengan cara ini kita ada ramai pilihan dalam tempoh empat tahun membawa ke Sukan Olimpik,'' tegas Rexy.

Kata Rexy, beliau juga mempunyai beberapa cadangan seperti membawa pemain pelapis dan senior menjalani latihan bersama di Stadium Juara, Bukit Kiara, namun keputusan akhir hanya akan diputuskan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50sGVzdc8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan