ARKIB : 13/01/2009
Oleh Norzie Mohd. Khasbi
Aksi spontan dari Lee Choong Wei
setelah berjaya menundukkan Park Sung Hwan pada perlawanan akhir Terbuka
Malaysia, kelmarin. Hanya beliau mampu muncul juara manakala acara lain gagal
menyinar.
KUALA LUMPUR - Kejohanan
Badminton Terbuka Malaysia yang berakhir kelmarin memberi kepuasan kepada
peminat badminton tanah air selepas penamatnya menyaksikan jaguh perseorangan
negara, Datuk Lee Chong Wei menggondol kejuaraan kelima dalam tempoh enam
tahun.
Kemenangan itu bukan saja
mengukuhkan kedudukan Chong Wei sebagai pemain No. 1 dunia, malah meleraikan
sebahagian besar beban yang selama ini disandangnya sebaik tamat Sukan Olimpik
Beijing, Ogos lalu.
Bagi Chong Wei, 26, ia kisah
gembira untuk memulakan tahun 2009 yang serba mencabar dengan kejuaraan dunia
bakal menanti di Pune, India, Ogos ini dan sebelum itu, kejohanan prestij,
Seluruh England pula akan tiba di Birmingham, Mac ini, di mana dia mahu menjadi
juara buat kali pertama.
Namun bagi Persatuan Badminton
Malaysia (BAM), hasil Terbuka Malaysia secara keseluruhannya bagaikan
mengulangi kisah 2008. Hanya Chong Wei yang boleh diharap untuk menggalas
harapan besar.
Tanpa kehadiran gergasi badminton
dunia, China, Malaysia masih gagal menempatkan wakil dalam beregu lelaki,
perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran bukan saja di babak
akhir, malah sejak di separuh akhir lagi.
Situasi pasukan negara jelas amat
ketinggalan jika dibandingkan dengan pencabar utama seperti Korea Selatan dan
Indonesia, yang masing-masing mempunyai empat wakil pada separuh akhir.
Ketika saingan memasuki peringkat
akhir pula, Korea menempatkan empat wakil daripada lima acara, manakala
Indonesia dua. Dan, pada akhirnya, Korea berjaya membawa pulang dua gelaran
dalam beregu lelaki dan wanita.
Pada ketika cabaran pemain senior
seperti Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim atau Mohd. Roslin Hashim
semakin diragui peminat, harapan mereka adalah untuk melihat adanya bintang
baru daripada barisan pelapis menyinar dan memberikan harapan baru.
Darren Liew berjaya mencuri
tumpuan seketika apabila melangkah ke suku akhir hanya dalam penampilan
keduanya pada kejohanan Siri Super, namun akhirnya apabila bertemu jagoan
sebenar - Peter Hoeg Gade dari Denmark, dia terkulai mudah, 12-21, 14-21 di
suku akhir.
Rakan-rakan seangkatan lain, Tan
Chun Seang, Chong Wei Feng, Pei Wei Chung dan Mohd. Arif Latif semuanya
tersungkur awal dan belum menunjukkan tanda-tanda mampu melakar kejutan dalam
tempoh terdekat.
Kumpulan pemain senior seperti
Hafiz, Choong Hann, Roslin, Sairul Amar Ayob dan Lee Tsuen Seng pula semakin
tenggelam dan membuka jurang yang besar dengan kelompok utama dunia, mungkin
atas faktor umur, faktor skil atau apa jua faktor lain.
Hakikatnya, pada Terbuka Korea
yang bermula esok, atau kejohanan utama lain, terutama Seluruh England yang
akan berlangsung Mac ini, sukar untuk kita membayangkan perseorangan Malaysia
lain mampu menaiki podium selain Chong Wei.
Cerita Malaysia dalam beregu
lelaki mungkin lebih baik biarpun gelaran gagal dihasilkan oleh deretan beregu
mudanya, diketuai pasangan terbaik ketika ini, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Ketiadaan pasangan nombor satu
negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif yang tidak beraksi akibat
kecederaan turut menipiskan peluang meraih kejuaraan.
Namun, prestasi Kien Keat-Boon
Heong tidaklah terlalu membimbangkan kerana mereka memberi cabaran yang baik
ketika tewas kepada 13-21, 21-17, 19-21 kepada beregu Korea, Lee Yong Dae-Jung
Jae Sung, yang akhirnya muncul juara.
Malah, pasangan muda, Hoon Thien
How-Lim Khim Wah dan Mak Hee Chun-Tan Wee Kiong juga mempamerkan aksi
meyakinkan sebelum kalah kepada beregu handalan dari Indonesia dan Denmark.
Dalam bahagian beregu, Malaysia
punya ramai pemain yang baik, yang hanya perlu dipertajam dan ditingkatkan
kualiti sebelum mampu menghadirkan saingan yang besar kepada pasangan utama
dunia.
Ini mengambil sedikit masa, namun
sekurang-kurangnya ketua jurulatih beregu, Rexy Mainaky lebih bernasib baik
berbanding rakan sejawatnya dalam perseorangan, Rashid Sidek kerana memiliki
material yang cukup bagus untuk digilap.
"Kita sekarang ada kuantiti
dalam beregu lelaki, cuma kurang kualiti tetapi kalau diberi sedikit masa, saya
percaya kualiti itu akan dipertingkat,'' ujar Rexy penuh optimis.
Bagi beregu wanita, Wong Pei
Tty-Chin Eei Hui masih setapak di belakang pasangan utama China dan Korea, meskipun
menunjukkan peningkatan yang besar sejak akhir-akhir ini, termasuk merampas
takhta no. 2 dunia selepas bergelar juara Terbuka Denmark dan Masters Akhir.
Hakikat yang pahit untuk ditelan
tetapi perlu diterima, status nombor dua dunia yang dipegang sebenarnya tidak
segah prestasi sebenar Pei Tty-Eei Hui, yang masih mempunyai jurang dengan
pasangan handalan seperti Du Jing-Yu Yang (China), Lee Kyung Won-Lee Hyo Jung
(Korea) atau Chien Yu Chin-Cheng Wen Hsing (Taiwan).
Malah, anak didik Rexy ini juga
sebenarnya masih belum mampu menyaingi kehandalan dan pengalaman bekas juara
dunia yang kini dianggap pemain terpinggir China seperti Zhang Jiewen-Yang Wei
dan Gao Ling-Wei Yili.
Kedua-dua kejuaraan Siri Super
yang dimenangi Pei Tty-Eei Hui sebelum ini dirangkul tanpa berdepan
pasangan-pasangan ini, justeru mereka terpaksa mengakui bahawa banyak lagi yang
perlu dipertingkatkan jika benar-benar mahu menganggotai kelompok beregu elit
dunia.
Tanpa kehadiran Wong Mew Choo,
Malaysia juga gagal menghadirkan cabaran terbaik dalam perseorangan wanita.
Namun, ada sinar yang ditunjukkan dua pemain muda - Julia Wong dan Lydia Cheah
apabila semakin yakin memberi cabaran kepada pemain utama untuk
sekurang-kurangnya menghampiri Mew Choo.
Malaysia juga punya potensi untuk
memberi cabaran dalam beregu campuran menerusi kombinasi seperti Koo Kien
Keat-Ng Hui Lin dan Hoon Thien How-Chin Eei Hui yang berjaya melangkah ke suku
akhir dan mengejutkan pemain pilihan dalam laluan mereka.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz51NVOkbs6
© Utusan Melayu (M) Bhd