Khamis, 17 Oktober 2019

Malaysia bariskan 21 kombinasi sebagai persiapan


18.1.98

MENYEDARI hakikat bahawa beregu memainkan peranan penting dalam Piala Thomas, Malaysia membariskan 21 kombinasi sebagai persiapan untuk pasukan negara.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen yang mengakui terdapat jurang yang besar antara beregu utama negara Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock dan pasangan lain, berkata mereka tidak boleh mengharapkan ''keajaiban''.
''Kita harus mengambil kira soal kecederaan dan kerana itu kita harus memikirkan gandingan-gandingan lain. Katakan Kim Hock tercedera, kita perlu mencari seseorang pemain yang boleh digandingkan dengan Soon Kit,'' katanya selepas sesi latihan bersama pemain-pemain BAM dan Nusa Mahsuri di Kuala Lumpur semalam.
Latihan yang diadakan di Kelab Kilat itu dihadiri oleh semua pelatih negara untuk pusingan kelayakan Piala Thomas di Manila bulan depan kecuali Soon Kit dan Kim Hock, yang baru sahaja memenangi Terbuka Jepun, pemain perseorangan negara, Rashid Sidek yang layak ke separuh akhir kejohanan yang sama.
Frost berkata senario serupa juga berlaku di peringkat antarabangsa kerana terdapat jurang yang besar antara enam pasangan beregu terbaik dunia dengan pasangan beregu yang lain.
Beliau berkata buat masa ini Indonesia mempunyai tiga gandingan mantap sementara Korea Selatan memiliki dua pasangan beregu dan Malaysia serta Denmark masing-masing hanya mempunyai satu pasangan beregu yang baik.
''Bagaimanapun kebolehan pasangan China tidak boleh dipandang ringan kerana mereka mempunyai satu pasangan yang kian meningkat...saya lihat mereka bermain semasa di Terbuka Jepun dan mereka benar-benar baik,'' kata Frost.
Antara pasangan beregu yang masih mengintai tempat dalam skuad negara untuk kempen Piala Thomas ialah Lee Wan Wah/Choong Tan Fook, Tan Kim Her/Rosman Razak dan Chew Choong Eng/Lee Chee Leong.
Frost berkata sukar untuk menguji pasangan baru dalam masa terdekat ini.
Walaupun pasangan Soon Kit dan Kim Hock baru sahaja digandingkan semula dua bulan lepas tetapi mereka mempamerkan aksi yang memberangsangkan berbanding dengan pasangan negara yang lain termasuk Wan Wah dan Tan Fook yang dijangka membawa cabaran sebagai pasangan beregu kedua negara.
Jurulatih dari Denmark itu berkata beliau telah membuat perkiraan tentang empat pemain perseorangan serta tiga pasangan beregu untuk pusingan kelayakan itu tetapi keputusan akhir hanya diketahui Khamis ini. - Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan