Isnin, 21 Oktober 2019

Indonesia, Malaysia tentukan juara


ARKIB : 23/05/1998
MALAYSIA akan bertemu Indonesia pada perlawanan akhir badminton Piala Thomas selepas menewaskan lawan masing-masing di separuh akhir kejohanan itu, semalam.
Malaysia yang bermain cemerlang dalam perlawanan yang menyaksikan Roslin Hashim sebagai penyelamat maruah negara menidakkan kehebatan Denmark, 3-2 untuk melangkah ke perlawanan akhir.
Sementara Indonesia yang dari awal berusaha mempertahankan kejuaraan Piala Thomas yang dimiliknya pada tahun 1996 dengan menumpaskan Denmark di tempat sama, menumpaskan China dalam permainan selesa.
Kemaraan Malaysia dan Indonesia ini juga ibarat pertemuan 'ulangan' di mana Malaysia menewaskan Indonesia di Kuala Lumpur, 1992 untuk menjulang Piala Thomas dan tewas kepada Indonesia di Jakarta, 1994.
Pada perlawanan semalam, Malaysia berjaya mengembalikan maruah sebagai jaguh badminton dunia apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menewaskan Denmark 3-2 pada separuh akhir Kejohanan Piala Thomas di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, Hong Kong, semalam.
Debaran selama hampir enam jam bertarung terjawab apabila pemain Nusa Mahsuri Roslin Hashim menjawab penantian seluruh rakyat Malaysia dengan menewaskan Kenneth Jonassen setelah kedudukan terikat 2-2.
Kemampuan yang ditunjukkan oleh beliau sekali gus menolak ramalan yang ketiadaan Rashid Sidek akan menjejaskan kemaraan skuad negara.
Langkah Malaysia dalam separuh akhir bermula dengan baik sekali apabila gandingan baru Cheah Soon Kit-Choon Tan Fook menyumbang mata pertama setelah menewaskan beregu kelima dunia, Jon Holst-Christensen dan Michael Sogaard, 11-15, 15-12, 14-18.
Kemenangan mereka sekali gus menyemarakkan semangat pemain lain untuk meneruskan perjuangan selepas Malaysia untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan Denmark.
Yong Hock Kin mengutip mata kedua negara dengan menewaskan pemain berpengalaman, Poul-Erik Hoyer Larsen 15- 11, 14-18, 15-11 dalam satu perlawanan yang cukup sengit.
Kemenangan Hock Kin ternyata memberi satu semangat kepada Roslin untuk turun membuat penentuan untuk layak ke akhir.
Tanpa sebarang rekod kejuaraan dalam sebarang kejohanan antarabangsa, pemain berusia 23 tahun yang turun sebagai pemain IFunderdogNF tewas 18-15 pada set pertama.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menggugat semangat Roslin apabila beliau bangkit pada set kedua sehingga medahalui 13-3.
Jonassen cuba bangkit tetapi sekadar mampu mengutip dua mata bagi mengikat kedudukan 13-5 sebelum Roslin memaksa perlawanan dilanjutkan ke set penentuan setelah memenangi set tersebut dengan 15-5.
Set penentuan yang mendebarkan berlangsung dengan sengit dan pemain Denmark itu berjaya mengutip dua mata pertama sebelum Roslin memintasnya dengan empat mata bagi mengikat kedudukan 4-2.
Ketika Jonassen mendahului 6-5, Roslin yang nyata menguasai perlawanan pada set itu memperoleh lapan mata dan mengikat kedudukan 13-6 sebelum mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 15-8.
Denmark yang turun dengan harapan besar memenangi Piala Thomas setelah kira-kira 40 tahun berusaha memperoleh dua mata daripada pemain perseorangannya, Peter Gade-Christensen yang menewaskan Ong Ewe Hock 15-7, 15-10 dan gandingan Jens Eriksen-Jespere Larsen yang menang 17-16, 15-12 kepada pasangan Yap Kim Hock-Tan Kim Her.
Kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir pada 1994 di Jakarta sebelum tewas 3-0 kepada Indonesia
Sementara itu, pemain perseorangan pertama China, Sun Jun menumpaskan pemain Indonesia, Heryanto Arbi, 17-18, 15-4, 15-1.
Manakala beregu pertama Indonesia, Ricky Subagja/Rexy Mainaky mengembalikan maruah pasukan dengan menumpaskan pasangan Lui Yong/Yu Jinhao, 15-6, 15-2.
Perseorangan kedua Indonesia, H. Hendrawan mengetepikan saingan Luo Yigang, 15-9, 15-4.
Indonesia terus memastikan kemenangan ke atas China apabila beregu kedua, Sigit Budiarto/Chandra Wijaya menewaskan Zhang Wei/Zhang jun, 15-3, 15-7.
Manakala perlawanan perseorangan ketiga antara Joko Suprianto dan Chen Gang tidak mampu mengubah peluang Indonesia lagi untuk beraksi pada perlawanan akhir, esok. -Utusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan