Khamis, 17 Oktober 2019

Piala Thomas: Beregu muda ganti pasangan ternama


BEREGU nombor dua negara, Chong Tan Fook/Lee Wan Wah tersisih dari skuad kelayakan Piala Thomas di Manila pada 14 hingga 22 Februari depan, apabila senarai penuh pemain diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Kuala Lumpur, semalam, NORZIE MOHD. KHASBI melaporkan.

Tambah mengejutkan, penyingkiran Tan Fook/Wan Wah tidak digantikan Chew Choong Ng/Lee Chee Leong, yang turut dianggap pilihan sebaliknya panel pemilihan memutuskan untuk menyenaraikan beregu muda Jeremy Gan/Chan Chong Ming.
Tiada kejutan dalam perseorangan lelaki dan menepati ramalan, Ong Ewe Hock mengetui cabaran negara bersama-sama Yong Hock Kin, Rashid Sidek dan Roslin Hashim, pemain yang mempamer persembahan memberansangkan di Terbuka Jepun minggu lalu.
Sementara juara Terbuka Jepun Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock menerajui beregu lelaki selain Rosman Razak/Tan Kim Her dan juara Kejohanan Remaja Dunia 1996, Jeremy/Chong Ming.
Pemilihan Jeremy/Chong Ming menimbulkan tanda tanya, pada ketika Tan Fook/Lee Wan Wah dilihat sebagai beregu paling berkelayakan berikutan status nombor lapan dunia serta naib juara Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang diraih penghujung tahun lalu.
Bagaimanapun, Presiden BAM, Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan, berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan persembahan semasa pemain dan bukan reputasi ranking serta rekod menjadi asas penilaian.
''Pasangan Tan Fook/Wan Wah terpaksa diketepikan kerana mereka tidak berada di tahap kecergasan yang memuaskan,'' katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.
''Dan... selepas menilai pada prestasi semasa kami dapati Jeremy serta Chong Ming beregu paling layak menggalas tanggungjawab itu,'' katanya lagi.
Menurut Fadzil, tiada dasar pilih kasih diamalkan dalam memilih beregu ketiga ke kejohanan itu, sebaliknya Jeremy/Chong Ming sememangnya layak berdasarkan kemampuan semasa dan rekod mereka.
Pasangan itu mencipta kemenangan menakjubkan dalam laluan menjuarai Kejohanan Remaja Asia tahun lalu menumpaskan kesemua lawannya straight-set.
Mereka turut cemerlang pada Kejohanan Copenhagen Master di Denmark Disember lalu dengan menundukkan beregu handalan dunia Chris Hunt/Simon Archer, sebelum tunduk kepada Jon Holst-Christensen/Michael Sogaard.
''Selain strategi, kelayakan Piala Thomas juga akan memberi pendedahan terbaik kepada Jeremy dan Kor Min,'' katanya lagi.
Sementara itu, tidak banyak perubahan dalam pemilihan skuad wanita yang menyaksikan Lee Yin Yin, Ishwarri Bopathy, Law Pei Pei dan Woon Sze Mei menggalas cabaran perseorangan, manakala Lim Pek Sia/Chor Hooi Yee dan Joanne Quay /Norashikin Amin acara beregu wanita serta Ang Li Peng/Wong Miew Kheng dalam senarai simpanan.
Kelayakan Piala Thomas/Uber dijadualkan berlangsung di Manila pada 14 hingga 22 Februari ini dan skuad negara dijangka tidak bermasalah untuk melayakkan diri ke pusingan akhir yang akan diadakan di Hong Kong Mei depan.
Pasukan Piala Uber dijangka berlepas ke Manila pada 13 Februari diikuti skuad Piala Thomas dua hari kemudian.
Published on: 24/01/1998

Tiada ulasan:

Catat Ulasan