Jumaat, 18 Oktober 2019

Skuad ke Hong Kong masih terbuka


ARKIB : 17/03/1998

KEBANGGAAN NEGARA... Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali membelek pingat naib juara Kejohanan Seluruh England yang dimenangi oleh Ong Ewe Hock, Sabtu lalu setibanya di Subang, semalam. - Gambar ZULKARNAIN SAIDIN.


PERSEMBAHAN cemerlang beberapa pemain negara pada Kejohanan Badminton Seluruh England lalu belum cukup menjamin kedudukan mereka untuk terus mewakili negara ke Piala Thomas di Hong Kong.
Pengarah Kejurulatihan Malaysia, Morten Frost Hansen berkata, persaingan kini masih terbuka kepada semua pemain sehinggalah pemilihan terakhir dibuat menjelang pusingan akhir kejohanan itu, Mei nanti.
Kenyataan Frost ini sekali gus tidak mengecualikan ayam tambatan perseorangannya, Ong Ewe Hock biarpun dia muncul naib juara Seluruh England selepas tewas kepada Sun Jun di Birmingham, dua hari lalu.
''Begitu juga pasangan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang berjaya mara ke separuh akhir Seluruh England.
''Saya tidak boleh katakan mereka sudah pasti merampas semula tempat beregu kedua negara daripada Jeremy Gan-Chan Chong Ming dan Rosman Razak-Tan Kim Her walaupun pencapaian Tan Fook-Wan Wah ternyata lebih baik,'' katanya.
Tan Fook-Wan Wah cuma digagalkan oleh pasangan Korea, Lee Dong Soo-Yoo Young Sung pada separuh akhir sementara Ewe Hock dengan bergaya menumbangkan dua pemain ternama dunia, Peter Gade-Christensen dan Heryanto Arbi sebelum menyerah kepada Sun Jun dalam perlawanan akhir.
Frost berkata, skuad negara masih ada banyak masa untuk mengkaji semula prestasi semua pemain dalam latihan pusat bagi menghadapi Piala Thomas, tidak lama lagi.
''Bagaimanapun, kita perlu bertolak ansur untuk membenarkan mereka berehat sehingga Khamis depan selepas mengharungi persaingan yang mencabar di Eropah (Terbuka Sweden dan Seluruh England.
''Dalam pada itu, untuk tidak membebankan mereka, kita mungkin hanya menghantar pemain pelapis remaja bagi menghadapi Terbuka Brunei yang bermula 8 hingga 12 April ini,'' kata Frost setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, semalam.
Ditanya mengenai persaingan Piala Thomas di Hong Kong nanti, Frost menjelaskan, peluang Malaysia kini sudah setanding dengan China dan Indonesia setelah melihatkan kemampuan skuad negara memiliki banyak pilihan bagi pemain perseorangan.
''Selain Ewe Hock, saya berani jamin kita kini cukup kuat dengan menyandarkan harapan kepada Yong Hock Kin, Rashid Sidek dan Roslin Hashim serta Wong Ewe Mun,'' jelasnya.
Sementara itu, Frost sukar untuk menilai persembahan Rashid yang tersungkur lebih awal pada pusingan ketiga Seluruh England kerana pemain itu terpaksa beraksi dalam keadaan masih mengalami kecederaan.
''Apapun, saya tidak fikir pencapaian pemain perseorangan Indonesia ketika Seluruh England dianggap menggambarkan kemampuan sebenar pasukan itu kerana ramai jaguh mereka tidak mengambil bahagian,'' ujar Frost lagi.
Tambahnya, tanpa Joko Suprianto dan Marleve Mainaky ketika itu membuatkan Indonesia mampu mencipta kejutan pada Piala Thomas di Hong Kong nanti selain saingan getir daripada China.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan