Isnin, 21 Oktober 2019

Percaturan Frost kelirukan Demnar


ARKIB : 23/05/1998
PENGARAH kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata, keputusan memisahkan Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock itu bertujuan memberi keseimbangan kepada kedua-dua pasangan beregu yang diturunkan pada pertemuan dengan Demnark di Stadium Tertutup Queen Elizabeth, Hong Kong, semalam.
Pada pertemuan yang menyaksikan Malaysia menempah tiket ke perlawanan akhir, Soon Kit berpasangan dengan Choon Tan Fook sebagai beregu pertama dan Kim Hock berganding semula dengan Tan Kim Her untuk beregu kedua.
Pemisahan beregu utama negara yang kini menduduki tangga pertama ranking Persekuan Badminton Antarabangsa (IBF) menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak termasuk pasukan lawan yang terkejut dengan barisan pemain beregu yang diturunkan.
Percaturan itu menyaksikan gandingan Soon Kit-Tan Fook mengutip mata pertama negara setelah menewaskan Jon Holst Christensen-Michael Sogaard 15-11, 12-15, 18-14 setelah Ong Ewe Hock yang diturunkan sebagai perseorangan pertama tewas 15-7, 15-10 ditangan Peter Gate Christensen.
Namun perancangan Frost tergugat apabila pasangan Kim Hock-Kim Her tewas 16-17, 12-15 kepada Jens Eriksen-Jesper Larsen bagi mengutip mata ketiga negara selepas Yong Hock Kin yang diturunkan sebagai perseorangan kedua menewaskan Poul-Erik Hoyer Larsen 15-11, 14-18, 15-11.
''Saya menjangkakan kedua-dua pemain beregu akan menyumbangkan mata pada pertemuan ini kerana pemisahan Soon Kit-Kim Hock akan menyeimbangkan barisan pemain beregu kita.
''Saya begitu yakin mendapat dua mata dari acara beregu dan satu mata daripada pemain perseorangan,'' katanya yang tidak menyangka beregu keduanya gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.
Mengenai permainan Kim Hock yang kurang menjadi pada Kejohanan Piala Thomas ini, Frost berkata, pemain itu tidak diganggu masalah kecederaan.
''Saya pernah menyaksikan permainan yang lebih baik daripada yang ditunjukkannya (Kim Hock) di sini (Hong Kong),'' katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu.
Beliau bagaimanpun bangga dengan prestasi keseluruhan pemainnya dan yakin mereka akan memberi saingan sengit pada pertemuan akhir nanti.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menyaksikan perlawanan itu bangga dengan usaha semua pemain skuad Piala Thomas negara pada kejohanan yang berlangsung sejak 16-24 Mei ini.
''Strategi yang diatur oleh jurulatih berjaya dan ini sekali gus menyingkirkan pelbagai dakwaan negatif yang dilemparkan oleh sesetengah pihak mengenai pemain ini.
''Saya berharap semangat mereka terus membara dan berusaha untuk membawa pulang Piala Thomas ini,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan