Rabu, 31 Mei 2017

Malaysia sekadar naib juara



ARKIB : 14/07/2005

KUALA LUMPUR - Pasukan wanita Malaysia menamatkan cabaran Kejohanan Badminton Remaja Asia sebagai naib juara selepas tumpas 0-3 kepada juara bertahan, China di Jakarta semalam.

Selepas mengejutkan Korea Selatan 3-0 pada saingan separuh akhir kelmarin, pasukan negara, yang sekali lagi menyandarkan harapan kepada Norsyaliza Baharum, Julia Wong serta Lydia Chea terpaksa akur dengan kehebatan China - juara 1997, 1998, 1999, 2000 dan 2002.

Lydia, 16, yang turun sebagai perseorangan ketiga mempamer aksi hebat termasuk bangkit daripada ketinggalan 0-11 di set pertama sebelum kalah 13-11, 9-11.

Norsyaliza gagal mengulangi kecemerlangannya kelmarin apabila tumpas 3-11, 5-11 kepada perseorangan utama China, Wang Lin.

Peluang Malaysia, yang sudahpun melakar sejarah dengan melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama berakhir selepas Julia pula tewas 7-11, 7-11.

Sekalipun kalah, kejayaan muncul naib juara berpasukan tetap pencapaian terbaik yang ditunjukkan pasukan negara, malah pemain-pemain muda Malaysia ini telah mengalahkan Jepun 3-0 pada peringkat awal saingan.

Sebaik tamat acara berpasukan, acara individu akan berlangsung dengan mempertandingkan lima acara - perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran yang bermula hari ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iimhKps8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tan Fook-Wan Wah hilang gelaran



ARKIB : 08/07/2005

KUALA LUMPUR - Beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah gagal mempertahankan kejuaraan badminton Terbuka Malaysia selepas tumpas kepada pilihan utama, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto pada pusingan kedua di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Bagaimanapun cabaran beregu lelaki Malaysia di suku akhir hari ini berjaya diteruskan oleh pasangan utamanya, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan beregu muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.

Tan Fook-Wan Wah, yang hanya membuat kemunculan kedua dalam kejohanan antarabangsa sejak Wan Wah kembali daripada kecederaan bulan lalu, memberi tentangan sengit sebelum kalah 2-15, 17-16, 7-15 dalam masa 57 minit.

Luluk-Alvin akan bertemu Chong Ming-Kien Keat, yang mempamer aksi meyakinkan ketika mengalahkan satu lagi beregu Indonesia, Hendra Gunawan-Joko Riyadi 15-13, 15-3.

Sementara itu Bin Shen-Soon Hock, yang bakal membuat penampilan pertama pada Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat bulan depan, menumpaskan pasangan Thailand, Sudket Prapakamol-Patapol Ngernsrisuk 15-11, 15-13.

Menanti mereka pada suku akhir hari ini adalah beregu China, Sang Yang-Xie Zhongbo yang mengejutkan pilihan kelapan, Albertus Susanto Njoto-Markis Kidho dari Hong Kong 15-12, 15-12.

Selepas mengejutkan pilihan keenam, Jung Jae Sung-Lee Jae Jin pada pusingan pertama kelmarin, Chew Choon Eng-Wong Choong Hann gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 15-17, 10-15 kepada satu lagi beregu Korea Selatan, Jeon Jun Bum-Yoo Yeon Seong.

Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Win Fui pula mengheret juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun ke rubber-set sebelum akur dengan kekalahan 15-5, 5-15, 12-15.

Wong Pei Tty-Chin Eei Hui menjadi wakil tunggal Malaysia di suku akhir beregu wanita apabila menumpaskan Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna 13-15, 15-13, 15-3 tetapi bakal berdepan beregu nombor satu dunia, Yang Wei-Zhang Jiewen dari China hari ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ii1flexv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hafiz tumbangkan juara dunia



ARKIB : 07/07/2005

Oleh Norzie Mohd. Khasbi


KUALA LUMPUR - Muhammad Hafiz Hashim menumbangkan juara dunia, Xia Xuanze dari China untuk mengetuai kemaraan lapan perseorangan lelaki negara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Stadium KLBA, Cheras semalam.

Kecemerlangan negara pada kejohanan AS$120,000 (RM456,000) itu juga diteruskan oleh beregu bidan terjun, Chew Choon Eng-Wong Choong Hann yang mengejutkan pilihan keenam, Jung Jae-Sung-Lee Jae-jin dari Korea Selatan 3-15, 15-7, 15-11.

Terdahulu, beregu veteran dan penyandang juara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah juga menyingkirkan pasangan berpengalaman Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian 17-16, 15-12.

Tan Fook-Wan Wah kini akan berdepan pilihan pertama, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto dari Indonesia yang dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan pasangan muda negara, Mohd. Zakri Latif-Gan Taik Chai 8-15, 15-11, 15-17.

Sementara itu Hafiz, juara Seluruh England dan pilihan keenam, tidak mengambil masa yang lama untuk menundukkan pemain Xuanze 15-12, 15-0.

``Saya tidak sangka akan menang semudah ini terutama pada set kedua,'' kata Hafiz, yang akan menentang Nguyen Tien Minh dari Vietnam di pusingan kedua hari ini.

``Mengalahkan juara dunia ketika Kejohanan Dunia sudah semakin hampir memberi suntikan moral kepada saya.''

Pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei juga bermula baik dalam usaha mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan pemain Korea Selatan , Lee Cheol Ho 15-6, 17-15 untuk. Menantinya di pusingan kedua hari ini adalah Agus Hariyanto dari Hong Kong.

Selepas layak ke pusingan kedua beregu lelaki, naib juara dunia, Choong Hann turut melayakkan diri dalam acara perseorangan selepas menewaskan Peter Mikkelsen dari Denmark 15-5, 15-2.

Jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim pula bakal berdepan pemain nombor tiga dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark selepas menewaskan seorang lagi pemain Denmark, Michael Christensen 15-3, 15-6.

Gade-Christensen sebelum itu mengetepikan pemain negara, Lee Tsuen Seng dalam perlawanan sengit yang berkesudahan 15-7, 10-15, 15-8.

Empat lagi perseorangan negara yang turut melepasi pusingan awal adalah Kuan Beng Hong, Yeoh Kay Bin, Sairol Amar Ayob dan K. Yogendran.

Beng Hong menewaskan Jung Hoon Min dari Korea 15-1, 15-3 untuk bertemu Sony Dwi-Kuncoro dari Indonesia, Sairol menumpaskan Arvind Bhat dari India 15-6, 15-3 dan akan berdepan Chen Hong dari China.

Kay Bin pula menewaskan Bjoern Joppien dari Jerman 15-8, 15-2 untuk bertemu Joachim Persson dari Denmark, manakala Yogendran akan berdepan pemain nombor dua dunia, Kenneth Jonassen dari Denmark selepas mengalahkan Andrew Dabeka dari Kanada 11-15, 15-8, 15-3.

Selain Tan Fook-Wan Wah dan Choon Eng-Choong Hann, cabaran beregu lelaki Malaysia diteruskan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Woon Lin Fun.

Chong Ming-Kiet Keat mara selepas menumpaskan pasangan Denmark, Rasmus Mangor Andersen-Michael Lamp dari Denmark 15-1, 15-6, Fairuzizuan-Lin Fui pula menewaskan beregu Indonesia, Ruben Gordown Khosadalina-Aji Basuki Sindoro 15-11, 15-11.

Bin Shen-Soon Hock, satu lagi beregu muda yang bakal beraksi pada Kejohanan Dunia bulan depan mengalahkan Matthew Hughes-Martyn Lewis dari Wales 15-4, 15-9.

Pasangan nombor tujuh dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan Fong Chew Yen-See Phui Leng pula meneruskan kemaraan ke pusingan kedua beregu wanita.

Bagaimanapun cabaran Malaysia dalam beregu campuran berakhir selepas keempat-empat wakilnya tewas seawal pusingan pertama.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ihyWXKKO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hafiz jumpa juara dunia



ARKIB : 06/07/2005

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
 KUALA LUMPUR - Pertarungan antara bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan juara dunia, Xia Xuanze dari China bakal menjadi tumpuan peminat di Stadium KLBA, Cheras hari ini apabila pemain utama negara memulakan kempen badminton Terbuka Malaysia.

Namun begitu, bukan Hafiz saja bakal menjadi tumpuan pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM456,000) ini tetapi semua pemain utama Malaysia akan turut diperhatikan selepas beraksi hambar pada Terbuka Singapura minggu lalu.

Hanya keputusan terbaik di gelanggang sendiri dapat menebus kekecewaan di Singapura, malah ia juga mampu menjadi motivasi buat pemain negara untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, 15-21 Ogos ini.

``Saya tidak pernah halang pemain-pemain negara daripada mencapai kemuncak prestasi pada Terbuka Malaysia atau Singapura, malah saya anggap kedua-dua kejohanan ini penting bagi meningkatkan keyakinan mereka menjelang Kejohanan Dunia,'' kata ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock.

``Saya harap mereka akan bangkit apabila beraksi di depan penonton sendiri, lagipun saya tidak fikir pemain utama mempunyai masalah besar kecuali Chan Chong Ming yang di bawah prestasi.''

Menurut Kim Hock, Hafiz akan meraih keyakinan yang amat tinggi sekiranya berjaya mengalahkan juara dunia, Xuanze hari ini, apatah lagi dia tidak mempunyai rekod yang baik ke atas pemain dari China.

Sementara itu, pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei pula akan membawa bekalan paling sempurna ke Kejohanan Dunia jika berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia.

Chong Wei, pilihan keempat akan memulakan cabaran dengan menentang Lee Cheol Ho dari Korea hari ini. Minggu lalu, dia terkeluar pada pusingan ketiga di Terbuka Singapura, tumpas kepada rakan senegara Cheol Ho, Lee Hyun-Il 13-15, 15-6, 4-15.

Naib juara dunia, Wong Choong Hann yang masih gagal menemui sentuhan terbaiknya selepas tewas pada pusingan kedua Singapura akan memulakan cabaran dengan bertemu Peter Mikkelsen dari Denmark.

Terbuka Malaysia juga bakal menjadi ujian penting buat beregu veteran, Choong Tan Fook selepas mendapat peluang untuk beraksi di Kejohanan Dunia pada saat-saat akhir, minggu lalu.

Bagaimanapun Tan Fook dan pasangannya, Lee Wan Wah berdepan laluan berduri apabila turun mempertahankan gelaran hari ini kerana terpaksa menentang jaguh Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian.

Chong Ming, yang mempamer aksi membimbangkan sejak akhir-akhir ini akan memulakan kempen dengan bertemu pasangan Denmark, Rasmus Mangor Andersen-Michael Lamp bersama Koo Kien Keat.

Sementara itu tumpuan peminat badminton tanah air hari ini juga akan bertumpu kepada Lee Tsuen Seng, yang akan menentang bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark.

Jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi cabaran Michael Christensen dari Denmark, manakala Kuan Beng Hong menerima laluan mudah, ber-depan pemain dari pusingan kelayakan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4ihusB1Bg
© Utusan Melayu (M) Bhd