Jumaat, 26 Mei 2017

Tiga perseorangan kita mara



ARKIB : 04/03/2005

MULHEIM, Jerman - Tiga perseorangan lelaki negara mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Jerman, diketuai oleh Lee Chong Wei, yang kelihatan berdepan laluan mudah untuk ke peringkat seterusnya.

Mengiringi pemain nombor satu negara itu ialah, Wong Choong Hann dan Muhd. Hafiz Hashim.

Chong Wei ke suku akhir selepas menundukkan rakan senegara, Sairul Amar Ayub 15-4, 15-12 pada pusingan keempat dan akan bertemu pemain Belanda, Dicky Palyama yang merupakan pemain tunggal Eropah di suku akhir.

Palyama mara selepas mengalahkan pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan 15-6, 15-10.

Pemain nombor dua negara, Choong Hann akan bertemu pemain China, Bao Chunlai selepas menang mudah 15-4, 15-8 ke atas pemain Belanda, Anders Boesen. Chunlai pula menang mudah 15-6, 15-2 ke atas Shon Seung Mo dari Korea Selatan.

Hafiz pula akan bertemu pemain China, Chen Yu. Juara Seluruh England 2003, Hafiz sebelum itu telah menunjukkan persembahan mengkagumkan di pusingan keempat bertemu pemain Thailand, Boonsak Ponsana apabila mempamerkan kebangkitan mendadak pada set kedua untuk menang 11-15, 15-1, 15-13.

Chen Yu pula ke suku akhir selepas menjinakkan cabaran sengit rakan senegara dan juara dunia remaja, Chen Jin 15-7, 4-15, 15-12.

China mempunyai empat wakil di suku akhir perseorangan lelaki setelah Lin Dan dan Xia Xuanze turut melepasi pusingan keempat tetapi akan bertemu sesama sendiri.

Pilihan pertama, Lin Dan menamatkan cabaran pemain negara, Lee Tsuen Seng 15-13, 15-10 di pusingan keempat manakala Xuanze menang ke atas Mohd. Roslin Hashim 15-9, 15-4.

Dalam acara beregu lelaki pula, Malaysia mengharapkan pasangan Chan Chong Ming dan Koo Kien Keat untuk meneruskan cabaran setelah Choong Tan Fook-Chew Choon Eng kecundang di pusingan sebelumnya.

Chong Ming-Kien Keat ke suku akhir setelah menang 15-8, 15-4 ke atas beregu Denmark, Rasmus Mang Andersen-Michael Lamp manakala Tan Fook-Choon Eng tewas kepada Markis Kidho-Hendra Setiawan 7-15, 15-7, 15-11.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iBGrgqSD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan