Sabtu, 27 Mei 2017

Hafiz, Roslin catat kemaraan



ARKIB : 01/04/2005

BANGKOK - Pemain adik-beradik, Muhd. Hafiz Hashim dan abangnya, Muhd. Roslin Hashim menjadi dua perseorangan terakhir Malaysia mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Thailand semalam.

Beregu veteran, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng pula mengetuai kemaraan lima beregu lelaki ke pusingan kedua, tetapi juara remaja dunia, Tan Boon Heong-How Hoon Thien kandas seawal pusingan pertama selepas memberi tentangan sengit kepada pilihan keenam, Tadashi Ohtsuka-Keita Masuda dari Jepun 9-15, 17-14, 17-15.

Hafiz yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Switzerland menerima laluan mudah daripada rakan senegara, Sairul Amar Ayob yang menarik diri di set kedua akibat kecederaan. Pilihan ketiga itu menang 15-8 pada set pertama dan mendahului 1-0 ketika lawannya menamatkan saingan.

Roslin, 30, menyingkirkan pilihan keempat, Dicky Palyama dari Belanda 15-9, 15-12 untuk menentang juara bertahan dan pemain utama tuan rumah, Boonsak Ponsana. Hafiz akan berdepan pilihan keenam, Bjoern Joppien dari Jerman.

Kuan Beng Hong pula memberi cabaran hebat kepada juara dunia, Xia Xuanze dari China sebelum tewas 9-15, 15-7, 8-15, manakala Ismail Saman kalah 8-15, 8-15 kepada jaguh veteran Hong Kong, Ng Wei.

Sementara itu Tan Fook-Choon Eng menempah pertemuan dengan beregu senegara, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock selepas mengetepikan pasangan veteran Denmark, Ramus Mangor Andersen-Michael Lamp 15-6, 15-9. Bin Shen-Shoon Hock menang 15-3, 15-8 ke atas Anurak Thiraratsakul-Thitipong Lapoe dari Thailand.

Mohd. Fairuzizuan Tazari-Woon Lin Fui yang membuat penampilan pertama selepas Terbuka Korea, Januari lalu menyingkirkan pasangan Indonesia, Uki Kasah Yoga-Rian Sukmawan 15-12, 15-5 untuk bertemu beregu Australia, Denny Travis-Boyd Cooper.

Pasangan Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Latif pula menempah pertemuan sukar dengan pilihan keempat, Thomas Laybourn-Peter Steffesen dari Denmark selepas mengalahkan Nattapon Naktong-Siwath Khoosakunthum dari Thailand 15-9, 15-11.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iKzNgDgr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan