Sabtu, 6 Mei 2017

Azam penuhi impian

ARKIB : 15/01/2005
KETUA jurulatih pasukan badminton negara, Yap Kim Hock berazam melaksanakan tugas sebaik mungkin dengan ikrar menjelmakan kejayaan dalam tempoh terdekat seperti yang disasarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Kim Hock, 35, yang diumumkan sebagai ketua jurulatih badminton negara semalam berkata apa yang diharapkannya ialah semua pihak memberikan sedikit masa untuk dia melakar kejayaan.
Katanya, pengalaman dua tahun sebagai jurulatih beregu lelaki negara banyak mengajar beliau tentang aspek kejurulatihan.
``Saya berterima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana memberi peluang kepada saya me-mikul tugas yang saya sifatkan cukup mencabar ini.
``Saya yakin mampu melaksanakannya dengan baik tetapi berikan saya sedikit masa untuk membuktikannya,'' katanya selepas namanya diumum menggantikan Misbun Sidek sebagai ketua jurulatih pasukan badminton negara oleh Presiden BAM, Datuk Nadzmi Mohd. Salleh di Kuala Lumpur, semalam.
Kim Hock,35, dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan elit kebangsaan untuk Projek 2006-2008 BAM semalam.
BAM menyifatkan Kim Hock sebagai calon paling sesuai mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Misbun Sidek lantaran berpengalaman luas di pelbagai kejohanan termasuk memenangi pingat perak pada sukan Olimpik 1996 bersama Cheah Soon Kit.
Kejayaan terbesar Kim Hock sejak menggantikan Joo-Bong pada 2002 adalah membantu Tan Fook-Wan Wah muncul naib juara Seluruh England 2004, juara Sukan SEA 2003 dan juara Terbuka Malaysia tahun lalu.
Pelantikan Kim Hock merupakan kesinambungan BAM dalam memilih jurulatih yang mempunyai latar belakang cemerlang bermula daripada era Datuk Punch Gunalan (1992 hingga 1994) Razif Sidek pada 1994-1996, Morten Frost Hansen dari Denmark (1997-2000) dan Park Joo-bong dari Korea Selatan dari 2000-2002.
Bagaimanapun Kim Hock berada dalam dilema, tidak dapat memberikan tumpuan kepada pemain selepas pemergian pembantunya, Tan Kim Her yang beralih angin ke Korea Selatan, baru-baru ini.
Menurut Kim Hock, yang akan memulakan tugas Isnin ini, tugasan pertamanya ialah memilih jurulatih pemain perseorangan dan beregu negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan