Ahad, 28 Mei 2017

Tembok China halangan Hafiz



ARKIB : 06/04/2005

TOKYO - Jaguh badminton negara, Muhd. Hafiz Hashim memburu kejuaraan ketiga berturut-turut apabila memulakan cabaran di Terbuka Jepun hari ini, namun laluannya kali ini lebih sukar kerana bakal berdepan dengan pemain-pemain utama China.

Pemain nombor satu dunia, Lin Dan dan juara Seluruh England, Chen Hong mengetuai barisan terkuat China yang memburu sekurang-kurangnya empat gelaran di Tokyo - perseorangan dan beregu lelaki serta perseorangan dan beregu wanita.

China menamatkan kejohanan bernilai AS$180,000 (RM684,000) itu tanpa sebarang kejuaraan tahun lalu iaitu kali pertama perkara seperti itu berlaku dalam tempoh 10 tahun dan kali kedua dalam sejarah 23 tahun Terbuka Jepun.

``Selepas memenangi dua kejohanan berturut-turut, Hafiz kini pasti menjadi tumpuan. Jadi dia perlu lebih berhati-hati dan mengelak daripada melakukan kesilapan,'' kata Misbun ketika dihubungi di Tokyo semalam.

``Apa yang penting buatnya sekarang adalah terus mengikut setiap strategi yang diberi dengan baik, jangan mengikut rentak permainan lawan. Tetapi saya percaya, dia dalam keyakinan yang cukup tinggi ketika ini.''

Hafiz, 23, yang masih segar dengan kemenangannya di Thailand, Ahad lalu setelah menjuarai Terbuka Switzerland pada 20 Mac lalu akan memulakan kempen dengan menentang pemain dari pusingan kelayakan.

Dia kemudian dijangka bertemu pemain Denmark, Anders Boesen pada pusingan kedua dan jika mara, menantinya sama ada rakan senegara Boesen, Kenneth Jonassen - pemain yang dikalahnya di final Terbuka Thailand atau Yeoh Kay Bin.

Selain Hafiz, cabaran perseorangan lelaki negara turut dipikul pemain nombor satunya, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Muhd. Roslin Hashim, Kuan Beng Hong, Lee Tsuen Seng, Sairul Amar Ayob dan Kay Bin.

Juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia yang membuat penampilan pertamanya sejak Kejohanan Copenhagen Masters pada Disember lalu akan menambah kesukaran buat pemain-pemain perseorangan negara.

Begitu juga dengan kehadiran pemain nombor dua dunia dan juara Eropah, Peter Gade-Christensen dari Denmark, selain bintang remaja China, Bao Chunlai.

Lin Dan diletakkan dalam undian atas bersama Chunlai, juara bertahan, Ronald Susilo (Singapura), Hafiz, Jonassen dan Tsuen Seng. Tsuen Seng dijangka berdepan Lin Dan pada pusingan ketiga.

Peter Gade yang muncul juara tiga kali berturut-turut dari 1997-1999 akan mengetuai bahagian bawah bersama juara dunia, Xuanze, Chen Hong, Taufik, Boonsak Ponsana (Thailand), Choong Hann, Roslin dan Beng Hong.

Roslin dijangka bertemu Chen Hong di pusingan ketiga, Choong Hann menentang Boonsak di pusingan yang sama, manakala Beng Hong berdepan Sairol, juga di pusingan ketiga.

Sementara itu cabaran beregu lelaki negara, yang kian terdesak untuk mencari tiket ke Kejohanan Dunia dipikul oleh Tan Bin Shen-Ong Soon Hock, Choong Tan Fook-Chew Choon Eng, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui.

Kesemua beregu negara menghadapi laluan sukar terutama pasangan utama Malaysia ketika ini, Bin Shen-Soon Hock yang akan memulakan cabaran dengan menentang juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun dari China.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iMK1Bxho
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan