Ahad, 7 Mei 2017

Roslin, Hafiz catat kemaraan

ARKIB : 27/01/2005
INCHEON, Korea Selatan - Jaguh veteran, Mohd. Roslin Hashim mengetuai kemaraan empat perseorangan lelaki negara ke pusingan ketiga kejohanan badminton Terbuka Korea di Stadium Tertutup Dowon, di sini semalam.
Bekas juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim, juara Sukan Malaysia, Kuan Beng Hong serta bekas pemain kebangsaan, Sairul Amar Ayob turut melepasi halangan pusingan kedua masing-masing.
Roslin, 30, yang perlu memberi aksi terbaik di Korea untuk kembali mendapat kepercayaan pasukan kebangsaan, mengetepikan pemain tuan rumah, Jung Hoon-min 15-12, 15-12 di pusingan kedua.
Bagaimanapun bekas pemain nombor satu dunia dan pilihan kelima itu terpaksa berdepan rakan senegara, Sairul pada pusingan ketiga hari ini.
Sairul, pilihan ke-16 mara selepas berhempas pulas untuk menundukkan pemain remaja Korea, Jang Young-soo 15-12, 16-17, 15-12.
Hafiz sebaliknya tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan seorang lagi pemain Korea, Lee Cheol-ho 15-7, 15-3.
Begitupun, dia bakal berdepan tugas sukar apabila bakal menentang pilihan kedua dan juara Terbuka Singapura, Kenneth Jonassen dari Denmark. Jonassen mara selepas menang 15-6, 15-6 ke atas Gong Weijie dari China.
Beng Hong yang menyingkirkan pemain muda China, Qiu Yanbo 15-6, 15-11 semalam juga menghadapi halangan sukar hari ini apabila bertemu pemain nombor satu Thailand, Boonsak Ponsana.
Sementara itu cabaran Malaysia dalam perseorangan wanita berakhir selepas wakil tunggalnya, M. Sutheaswari tewas 6-11, 0-11 kepada Yoshimi Hataya dari Jepun seawal pusingan pembukaan.
Selain tiga perlawanan pusingan ketiga melibatkan empat perseorangan negara hari ini, tiga beregu lelaki dan beregu wanita Malaysia turut memulakan cabaran masing-masing.
Tugas berat menanti pasangan muda, Gan Taik Chai-Mohd. Zakry Abdul Latif apabila menentang beregu nombor satu dunia, Luluk Hadiyanto-Yulianto Alven dari Indonesia.
Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui pula berdepan satu lagi beregu handalan Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto, manakala Tan Bin Shen-Ong Soon Hock akan bertemu Dean Schoppe-Matthew Fogarty dari Amerika Syarikat.
Beregu nombor lapan dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui akan mengetuai saingan beregu wanita bersama Fong Chew Yen-See Phui Leng dan Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan