Rabu, 31 Mei 2017

Hafiz jumpa juara dunia



ARKIB : 06/07/2005

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
 KUALA LUMPUR - Pertarungan antara bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan juara dunia, Xia Xuanze dari China bakal menjadi tumpuan peminat di Stadium KLBA, Cheras hari ini apabila pemain utama negara memulakan kempen badminton Terbuka Malaysia.

Namun begitu, bukan Hafiz saja bakal menjadi tumpuan pada kejohanan bernilai AS$120,000 (RM456,000) ini tetapi semua pemain utama Malaysia akan turut diperhatikan selepas beraksi hambar pada Terbuka Singapura minggu lalu.

Hanya keputusan terbaik di gelanggang sendiri dapat menebus kekecewaan di Singapura, malah ia juga mampu menjadi motivasi buat pemain negara untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat, 15-21 Ogos ini.

``Saya tidak pernah halang pemain-pemain negara daripada mencapai kemuncak prestasi pada Terbuka Malaysia atau Singapura, malah saya anggap kedua-dua kejohanan ini penting bagi meningkatkan keyakinan mereka menjelang Kejohanan Dunia,'' kata ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock.

``Saya harap mereka akan bangkit apabila beraksi di depan penonton sendiri, lagipun saya tidak fikir pemain utama mempunyai masalah besar kecuali Chan Chong Ming yang di bawah prestasi.''

Menurut Kim Hock, Hafiz akan meraih keyakinan yang amat tinggi sekiranya berjaya mengalahkan juara dunia, Xuanze hari ini, apatah lagi dia tidak mempunyai rekod yang baik ke atas pemain dari China.

Sementara itu, pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei pula akan membawa bekalan paling sempurna ke Kejohanan Dunia jika berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Malaysia.

Chong Wei, pilihan keempat akan memulakan cabaran dengan menentang Lee Cheol Ho dari Korea hari ini. Minggu lalu, dia terkeluar pada pusingan ketiga di Terbuka Singapura, tumpas kepada rakan senegara Cheol Ho, Lee Hyun-Il 13-15, 15-6, 4-15.

Naib juara dunia, Wong Choong Hann yang masih gagal menemui sentuhan terbaiknya selepas tewas pada pusingan kedua Singapura akan memulakan cabaran dengan bertemu Peter Mikkelsen dari Denmark.

Terbuka Malaysia juga bakal menjadi ujian penting buat beregu veteran, Choong Tan Fook selepas mendapat peluang untuk beraksi di Kejohanan Dunia pada saat-saat akhir, minggu lalu.

Bagaimanapun Tan Fook dan pasangannya, Lee Wan Wah berdepan laluan berduri apabila turun mempertahankan gelaran hari ini kerana terpaksa menentang jaguh Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian.

Chong Ming, yang mempamer aksi membimbangkan sejak akhir-akhir ini akan memulakan kempen dengan bertemu pasangan Denmark, Rasmus Mangor Andersen-Michael Lamp bersama Koo Kien Keat.

Sementara itu tumpuan peminat badminton tanah air hari ini juga akan bertumpu kepada Lee Tsuen Seng, yang akan menentang bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark.

Jaguh veteran, Muhd. Roslin Hashim dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi cabaran Michael Christensen dari Denmark, manakala Kuan Beng Hong menerima laluan mudah, ber-depan pemain dari pusingan kelayakan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4ihusB1Bg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan