Rabu, 31 Mei 2017

Tan Fook-Wan Wah hilang gelaran



ARKIB : 08/07/2005

KUALA LUMPUR - Beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah gagal mempertahankan kejuaraan badminton Terbuka Malaysia selepas tumpas kepada pilihan utama, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto pada pusingan kedua di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Bagaimanapun cabaran beregu lelaki Malaysia di suku akhir hari ini berjaya diteruskan oleh pasangan utamanya, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan beregu muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.

Tan Fook-Wan Wah, yang hanya membuat kemunculan kedua dalam kejohanan antarabangsa sejak Wan Wah kembali daripada kecederaan bulan lalu, memberi tentangan sengit sebelum kalah 2-15, 17-16, 7-15 dalam masa 57 minit.

Luluk-Alvin akan bertemu Chong Ming-Kien Keat, yang mempamer aksi meyakinkan ketika mengalahkan satu lagi beregu Indonesia, Hendra Gunawan-Joko Riyadi 15-13, 15-3.

Sementara itu Bin Shen-Soon Hock, yang bakal membuat penampilan pertama pada Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat bulan depan, menumpaskan pasangan Thailand, Sudket Prapakamol-Patapol Ngernsrisuk 15-11, 15-13.

Menanti mereka pada suku akhir hari ini adalah beregu China, Sang Yang-Xie Zhongbo yang mengejutkan pilihan kelapan, Albertus Susanto Njoto-Markis Kidho dari Hong Kong 15-12, 15-12.

Selepas mengejutkan pilihan keenam, Jung Jae Sung-Lee Jae Jin pada pusingan pertama kelmarin, Chew Choon Eng-Wong Choong Hann gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 15-17, 10-15 kepada satu lagi beregu Korea Selatan, Jeon Jun Bum-Yoo Yeon Seong.

Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Win Fui pula mengheret juara Seluruh England, Fu Haifeng-Cai Yun ke rubber-set sebelum akur dengan kekalahan 15-5, 5-15, 12-15.

Wong Pei Tty-Chin Eei Hui menjadi wakil tunggal Malaysia di suku akhir beregu wanita apabila menumpaskan Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna 13-15, 15-13, 15-3 tetapi bakal berdepan beregu nombor satu dunia, Yang Wei-Zhang Jiewen dari China hari ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ii1flexv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan