Selasa, 30 Mei 2017

Choong Hann masih `laku'



ARKIB : 01/06/2005

Oleh Norzie Mohd. Khasbi 
KUALA LUMPUR - Jaguh perseorangan negara, Wong Choong Hann mendapat kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membuat penampilan kelima berturut-turut pada Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat Ogos ini, sekaligus mengetepikan saingan pemain remaja, Kuan Beng Hong.

Pemilihan Choong Hann itu menepati jangkaan selepas mempamer prestasi memberangsangkan pada Piala Sudirman bulan lalu, malah dianggap berada satu tahap lebih baik berbanding Beng Hong.

Selain Choong Hann, 28, yang menyertai pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei dan Muhd. Hafiz Hashim, ketua jurulatih, Yap Kim Hock dan BAM juga menepati janji untuk memberi kepercayaan buat pemain-pemain muda bagi memikul cabaran beregu lelaki.

Kecuali Chan Chong Ming, semua lima pemain beregu lelaki negara iaitu Koo Kien Keat, Tan Bin Shen, Ong Soon Hock, Mohd. Fairuzizuan Tazari dan Lin Woon Fui bakal membuat penampilan sulung pada Kejohanan Dunia.

Malah, kejohanan di Anaheim, Los Angeles pada 15-21 Ogos itu juga akan menyaksikan penampilan pertama beregu wanita, Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau dan perseorangan wanita, M. Sutheaswari.

``Beng Hong adalah pemain yang baik dan berpotensi tetapi prestasi semasa dan pengalaman Choong Hann di peringkat antarabangsa melayakkan dia untuk mendapat tempat,'' kata presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh pada sidang akhbar di Bukit Kiara semalam.

Bagi naib juara dua tahun lalu, Choong Hann ini merupakan kali kelima dia melayakkan diri ke Kejohanan Dunia selepas Glasgow 1997, Copenhagen 1999, Seville 2001 dan Bermingham 2003.

``Ia mungkin Kejohanan Dunia terakhir saya..siapa tahu? jadi saya amat gembira kerana diberi kepercayaan untuk beraksi lagi,'' kata Choong Hann.

Selain menghantar tiga pemain perseorangan dan beregu lelaki, Malaysia juga memiliki dua wakil dalam beregu wanita - Sock Ai-Hing Yau dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, dua wakil dalam perseorangan wanita, Sutheaswari dan Wong Mew Chew serta dua wakil dalam beregu campuran, Kien Keat-Pei Tty dan Fairuzizuan-Woon Fui.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah badminton negara, Malaysia mempunyai wakil dalam semua lima acara yang dipertandingkan.

Sementara itu Kim Hock berkata, sasaran spesifik pasukan badminton negara di Amerika Syarikat hanya akan ditentukan selepas berakhir Terbuka Singapura ( 27 Jun hingga 3 Julai) dan Terbuka Malaysia 5-10 Julai.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZaFQC1Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan