Jumaat, 26 Ogos 2016

Peng Soon, Liu Ying sasar No. 8 terbaik dunia

 
PENG SOON (kiri) dan Liu Ying menunjukkan pingat perak yang dimenangi pada Sukan Olimpik Rio 2016, Brazil pada sidang akhbar di Petaling Jaya semalam.

PASANGAN sensasi beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying nyata bersemangat selepas memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016, Brazil baru-baru ini dengan menetapkan sasaran baharu iaitu menjadi beregu campuran No. 8 terbaik dunia.

Pada masa ini, Peng Soon dan Liu Ying yang menduduki ranking No. 11 ingin berehat seketika sebelum kembali menjalani latihan September nanti sebagai persiapan melayakkan diri secara merit ke Siri Super Final di Dubai pada 14 hingga 18 Disember depan.

Peng Soon dan Liu Ying mencipta sejarah apabila menjadi pasangan beregu campuran pertama Malaysia memenangi pingat Sukan Olimpik meskipun tewas 14-21, 12-21 kepada pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dalam perlawanan akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4IQWtrnuL Hakcipta terpelihara

Sabtu, 20 Ogos 2016

Chong Wei, regu lelaki hiasi muka depan akhbar

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 OGOS 2016
 Chong Wei, regu lelaki hiasi muka depan akhbar
Chong Wei, regu lelaki hiasi muka depan akhbar
SHAH ALAM - Dua pencapaian atlet badminton negara di pentas Olimpik Rio 2016 malam tadi menghiasi muka depan akhbar-akhbar utama negara, hari ini.

Malam tadi, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menumpaskan musuh tradisinya, Lin Dan dalam aksi tiga set 15-21, 21-11, 22-20 sekali gus mengesahkan tiket ke perlawanan akhir, hari ini menentang Chen Long bagi merebut pingat emas.

 Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula berjaya meraih pingat perak selepas tewas kepada pasangan dari China, Fu Haifeng-Zhang Nan dalam aksi tiga set, 21-16, 11-21, 21-23.

Akhbar Sinar Harian memilih tajuk ‘Emas di hati kita’ dengan memaparkan aksi Chong Wei meraikan kemenangannya selepas meraih tiket ke pentas akhir dan aksi regu lelaki ketika melawan pasangan China.

Akhbar Utusan Malaysia pula menggunakan tajuk ‘Membanggakan’ merujuk kepada pencapaian Chong Wei dan pasangan Wee Kiong-V Shem.

Manakala Berita Harian mengangkat tajuk ‘Dendam berbalas’ dan ‘Beregu lelaki sumbang perak ketiga’ dengan aksi Chong Wei meraikan kemenangannya.

Muka depan akhbar Kosmo pula memaparkan ‘Chong We mara ke final, kuburkan impian Lin Dan’ serta ‘Emas pertama Olimpik belum rezeki Malaysia’.

Akhbar bahasa Inggeris, The Star turut memaparkan aksi Chong Wei serta regu lelaki meraikan kemenangan mereka selepas masing-masing menamatkan perlawanan dengan tajuk ‘Heart-stopping stuff’.

Akhbar New Straits Time pula memaparkan wajah V Shem dan Wee Kiong menggigit pingat perak yang dimenangi mereka malam tadi dengan tajuk ‘Silver show’.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 20 OGOS 2016

Jumaat, 19 Ogos 2016

Perlawanan sepanjang zaman

Oleh JALALUDDIN BAHARIN
 
CHONG Wei bersama jurulatihnya, Hendrawan (kiri) dan Tey Seu Bok (kanan) meraikan kejayaan selepas menewaskan Lin Dan pada final acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik Rio semalam.

LEGENDA badminton beregu lelaki negara, Yap Kim Hock (gambar kecil) percaya perlawanan terakhir antara kedua-dua ikon badminton dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan pada pentas separuh akhir temasya Sukan Olimpik Rio semalam akan dikenang sepanjang zaman.

Menurut pemenang pingat perak bagi acara regu lelaki pada temasya Olimpik 1996 di Atlanta itu, kedua-dua jaguh badminton dunia itu berjaya mempamerkan aksi yang sangat mengagumkan sehingga mampu menghadirkan perasaan bercampur baur kepada para penonton di seluruh dunia.

“Tidak dapat dinafikan lagi kedua-dua jaguh dunia itu betul-betul membuat persediaan yang sangat rapi untuk menghadapi Olimpik kali ini. Perlawanan yang berlangsung tadi (semalam) menjadi sangat sengit sehingga membuatkan saya tidak senang duduk.

“Saya turut yakin para penonton yang lain juga mengalami perasaan sama seperti saya. Kedua-dua pemain tersebut te­lah mempamerkan persembahan yang sangat bermutu dengan mengerah segala kudrat serta kemahiran yang ada untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Bagaimanapun Chong Wei dilihat lebih bersedia pada pentas Olimpik kali ini kerana saya dapat lihat dia lebih bertenaga daripada seteru utamanya itu. Walaupun Lin Dan berjaya memenangi set pertama perlawanan, namun pada set kedua, kita dapat lihat tenaganya sudah tiada ekoran faktor usia.

“Keadaan itu memberi peluang kepada Chong Wei untuk meraih kemenangan mudah. Pada perlawanan penentuan, perlawanan dilihat seimbang, namun faktor kecergasan telah memberi kemenangan kepada kita untuk mara ke pentas akhir. Ini adalah kali pertama saya lihat Chong Wei menamatkan aksinya dengan pukulan di depan jaring,” kata­nya ketika dihubungi

Kosmo! semalam.

Pada perlawanan separuh akhir itu, pertembungan dua jaguh badminton dunia itu berlangsung dengan penuh dramatik dengan aksi saling mengejar mata pada set penentuan. Namun kejayaan akhirnya memihak kepada Chong Wei dengan kemenangan 15-21, 21-11, 22-20.

Dalam pada itu, Kim Hock mengakui agak bimbang dengan keadaan Chong Wei yang dilihat telah mengerahkan banyak tenaga untuk berhadapan de­ngan Lin Dan.

“Sebelum aksi final, Chong Wei perlu dapatkan rehat yang cukup untuk kembali cergas se­perti perlawanan tadi (semalam). Ini kerana dia sudah terlalu banyak menggunakan tenaga ketika menentang Lin Dan.

“Saya yakin pada tahun ini, kita dapat melihat Chong Wei meraih emas pertama negara di pentas Olimpik,” ujarnya.

Chong Wei akan menentang seorang lagi pemain China, Chen Long pada perlawanan akhir malam ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0820&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4HpeGjVO4 Hakcipta terpelihara

Ayah Chong Wei positif misi emas

19 OGOS 2016
Lee Chong Wei
Lee Chong Wei Pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei meraikan kejayaan menumpaskan musuh tradisinya pemain China, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir di Riocentro Pavilion 4 Temasya Sukan Olimpik Rio 2016. - Foto Bernama
AYAH kepada Datuk Lee Chong Wei, Lee Ah Chai positif anaknya mampu meraih pingat emas setelah beliau berjaya menewaskan musuh tradisinya, Lin Dan dalam pusingan separuh akhir badminton perseorangan lelaki di Rio de Janeiro hari ini.

Beliau yang berbangga dengan pencapaian Chong Wei berharap pemain nombor satu negara itu terus fokus dan memastikan perhatiannya tidak terganggu untuk menghadapi perlawanan akhir esok.

"Beliau bermain dengan baik malam ini meskipun melakukan kesilapan di set pertama, namun beliau bangkit semula di set kedua. Sudah semestinya sebagai ayah, saya sangat berbangga dengan pencapaian beliau," katanya ketika dihubungi Bernama selepas tamat perlawanan itu.

Chong Wei berjaya memusnahkan impian Lin Dan untuk mara ke pusingan akhir badminton perseorangan lelaki apabila menewaskannya dalam rubber set 15-21, 21-11 dan 22-20.

Pusingan akhir badminton perseorangan lelaki yang akan berlangsung esok akan menyaksikan Chong Wei bertemu Cheng Long dari China.

Ah Chai turut berterima kasih atas sokongan berterusan seluruh rakyat Malaysia dan berharap anaknya dapat menggalas harapan tersebut dan membawa pulang pingat emas buat negara.

Terdahulu, seramai 500 orang hadir untuk menyaksikan secara langsung perlawanan separuh akhir tersebut di Gurney Paragon, di sini yang disediakan satu skrin besar oleh Hunza Properties.

Bagi Lim Lee Peng, 39, yang turut hadir berkata beliau sangat berbangga dengan corak permainan Chong Wei dan akui Lin Dan adalah pemain badminton yang sangat hebat.

"Lin Dan bukanlah pemain yang calang-calang dan Chong Wei telah berjaya menewaskannya, meskipun sukar. Sebagai rakyat Malaysia, kami sangat berbangga dengan beliau. Selamat berjuang di final nanti," katanya. - Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 18 OGOS 2016

Jumaat, 12 Ogos 2016

Chong Wei langkah kanan

 
AKSI Chong Wei ketika menentang Opti do Pavilion 4 Riocentro. FOTO AP
Hamdan Saaid
ahamdan@hmetro.com.my

Rio de Janeiro: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei memulakan kempen Sukan Olimpik Rio dengan langkah kanan apabila menundukkan Soren Opti dari Surinam 21-2, 21-3 di Pavilion 4 Riocentro, malam tadi.

Pemain pilihan utama itu, yang menang pingat perak dua kali berturut-turut di Beijing 2008 dan London 2012, tidak berdepan masalah menewaskan Opti, pemain ranking ke-318 dunia, dalam masa hanya 18 minit pada aksi Kumpulan A.

Chong Wei akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Derek Wong dari Singapura, Ahad ini.

Sumber=Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 10:24 PM

Khamis, 4 Ogos 2016

Malaysia jumpa Korea 16 Mei -- Piala Thomas di Hong Kong

PASUKAN negara akan memulakan cabaran pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Hong Kong dengan menentang Korea Selatan pada 16 Mei ini.

Kejohanan yang berlangsung pada 15 hingga 24 Mei itu, turut menyaksikan juara bertahan Indonesia berdepan cabaran skuad lemah Belanda dalam perlawanan sulung.

Menurut jadual perlawanan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) semalam, pilihan utama kejohanan China, menerima laluan lebih mudah apabila menentang Sweden dalam perlawanan pembukaan masing-masing.

Pertemuan dengan Korea, mengimbas kembali kekalahan memalukan 3-2 yang diterima pasukan negara di gelanggang yang sama dua tahun lalu.

Kekalahan berkenaan sekali gus turut menyaksikan Malaysia buat kali pertama gagal melayakkan diri ke separuh akhir.

Bagaimanapun, skuad negara memiliki rekod cemerlang ke atas republik berkenaan dalam pertemuan terakhir mereka apabila menang 5-0 pada pusingan kelayakan di Manila, Februari lalu.

Peningkatan mendadak beberapa pemain utama seperti Ong Ewe Hock, yang muncul naib juara Seluruh England Mac lalu dijangka dapat membantu kejayaan skuad negara.

Malaysia diletak dalam kumpulan B bersama-sama pilihan kedua Indonesia, Korea dan Belanda.

Manakala China, mengetuai cabaran kumpulan A yang turut mengandungi jaguh Eropah Denmark, Sweden dan tuan rumah Hong Kong.

Malaysia akan menentang Belanda dalam perlawanan kedua kumpulan B, sebelum mengharungi halangan paling sukar bertemu Indonesia pada pertemuan terakhir 20 Mei.

China pula dilihat sebagai pasukan paling berupaya menjuarai kejohanan dengan kehadiran jaguh perseorangannya Sun Jun, yang baru merampas kedudukan nombor satu dunia, Dong Jiong serta Luo Yigang.

Manakala Denmark, bergantung harap kepada Peter Gade Christensen, Paul Erik Hoyer-Larsen dan Peter Rasmussen sementara Indonesia lebih bersandarkan harapan kepada kekuatan beregu mereka.

Seperti pasukan lelaki mereka, skuad wanita China berdepan laluan mudah apabila menghadapi tuan rumah Hong Kong dalam perlawanan sulung Piala Uber.

Indonesia pula akan menentang England dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, sebelum berdepan Belanda dan Korea Selatan.

JADUAL PERLAWANAN

PIALA THOMAS -- 16/5 - Kumpulan A: China lwn Sweden, Denmark lwn Hong Kong; Kumpulan B: Indonesia lwn Belanda, MALAYSIA lwn Korea Selatan.

18/5 - Kumpulan A: China lwn Hong Kong, Denmark lwn Sweden; Kumpulan B: Indonesia lwn Korea Selatan, MALAYSIA lwn Belanda.

20/5 - Kumpulan A: China lwn Denmark, Sweden lwn Hong Kong; Kumpulan B: Indonesia lwn MALAYSIA, Belanda lwn Korea Selatan.

22/5 - Separuh Akhir

24/4 - Akhir

PIALA UBER

15/5 - Kumpulan A: China lwn Hong Kong, Denmark lwn Jepun; Kumpulan B: Indonesia lwn England, Korea Selatan lwn Belanda.

17/5 - Kumpulan A: China lwn Jepun, Denmark lwn Hong Kong; Kumpulan B: Indonesia lwn Belanda, Korea Selatan lwn England.

19/5 - Kumpulan A: China lwn Denmark, Jepun lwn Hong Kong; Kumpulan B: Indonesia lwn Korea, Belanda lwn England.

21/5 - Separuh Akhir

23/5 - Akhir
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4GLdldB34 © Utusan Melayu (M) Bhd