Ahad, 27 Ogos 2017

Beregu sandaran emas badminton



Beregu sandaran emas badminton
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
 
BEREGU campuran negara terus berada di landasan terbaik untuk cuba menepati sasaran yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia bagi meraih emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee Sea mara ke separuh akhir, esok.

Pasangan ketiga negara Soon Huat-Shevon tidak berdepan masalah untuk memenangi suku akhir, hari ini, di Arena Axiata apabila menumpaskan Hong Nam Pham-Thi Phuong Hong Dinh dari Vietnam 21-11, 21-15.

“Setakat ini permainan kami semakin baik. Pada perlawanan pertama (semalam), kami hanya mencari rentak dan hari ini ia adalah persediaan untuk aksi seterusnya selepas ini,” kata Shevon.

Soon Huat-Shevon yang juga pilihan kedua akan berentap dengan gandingan Thailand Bodin Isara-Savitree Amitrapai, esok.
“Sebelum ini kami pernah tumpas dengan mereka (Kejohanan Badminton Asia) tetapi ketika itu kerana kurang keyakinan dan tidak konsisten. Taktikal kami juga tidak begitu kemas ketika itu dan kali ini kami akan buat yang terbaik untuk balas dendam,” katanya.

Sementara itu, Peng Soon-Yee See akan berhadapan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di separuh akhir.

Jika kedua-dua pasangan negara berjaya mara perlawanan akhir, ia akan mengulangi pencapaian 1999 iaitu kali terakhir beregu campuran meraih emas melalui Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee yang menumpaskan Rosman Razak-Norhasikin Amin.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 7:55 PM

Sabtu, 19 Ogos 2017

Soon Huat azam tamat ‘kemarau’ kejuaraan

Soon Huat azam tamat ‘kemarau’ kejuaraan
 PENCAPAIAN terbaik tahun ini buat Goh Soon Huat dan Shevon Lai
PENCAPAIAN terbaik tahun ini buat Goh Soon Huat dan Shevon Lai ialah menjadi naib juara Grand Prix Malaysia Masters dan Terbuka Thailand.

15 Ogos 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat mahu menamatkan kemarau kejuaraan tahun ini dengan meraih pingat emas di temasya Sukan SEA Ke-29 yang sudah membuka tirai pertandingannya hari ini.

Pencapaian terbaik tahun ini buat Soon Huat dan pasangannya, Shevon Lai ialah menjadi naib juara Grand Prix Malaysia Masters dan Terbuka Thailand.

Pasangan yang kini menghuni ranking ke-18 dunia itu berada di prestasi terbaik untuk beraksi di Sukan SEA demi mencapai sasaran pingat emas yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi acara itu.

“Latihan kami berlangsung baik dan dengan tahap keyakinan sekarang ini, kami meletakkan sasaran pingat emas,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Kesungguhan yang dipamerkan Soon Huat-Shevon serta Chan Peng Soon-Cheah Yee Sea meningkatkan lagi keyakinan negara untuk kedua-dua pasangan itu menyerlah dalam temasya dwitahunan tersebut.

Soon Huat juga bernasib baik tidak dikenakan sebarang hukuman oleh BAM selepas dikatakan melanggar perintah berkurung semasa kem Perhimpunan Atlet Sukan SEA 2017 di Hotel Renaissance.

Isu melanggar perintah berkurung itu didedahkan Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo dan turut melibatkan penjaga gol futsal wanita negara, Nur Izwani Azman.

Soon Huat memberitahu, dia dan Shevon perlu mengekalkan fokus semasa di dalam gelanggang dan perbaiki strategi permainan.

“Kalau terlalu fikir untuk jadi juara, kami akan berada dalam tekanan. Saya cuma harap dapat beraksi konsisten sepanjang temasya itu,” katanya.

sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/soon-huat-azam-tamat-8216-kemarau-8217-kejuaraan-1.515029#ixzz4qCEDKGpt
© Utusan Melayu (M) Bhd