Selasa, 27 Mei 2014

Pemain wanita jadi tumpuan BAM

NEW DELHI - Harapan peminat badminton negara untuk melihat pemain wanita turut mencabar di pentas dunia, terutama dua tahun menjelang Sukan Olimpik Rio mungkin boleh direa­lisasikan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berjanji akan memberi tumpuan kepada mereka sejurus tamat kempen Piala Thomas/Uber.

Prestasi memberangsangkan yang dipamer pemain-pemain negara di New Delhi memberi harapan kepada Malaysia bahawa acara perseora­ngan wanita, yang sudah agak lama tenggelam sejak persaraan Wong Mew Choo pada 2011, mampu dibangunkan menjadi antara penyumbang kejayaan buat negara.

Malah, lebih menarik lagi semua pemain perseorangan negara yang membarisi skuad Piala Uber kali ini berusia 23 tahun ke bawah.

Tee Jing Yi, pemain perseorangan paling senior dalam pasukan baru berusia 23 tahun dan dia menunjukkan peningkatan amat ketara sepanjang kejohanan dengan memenangi semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menewaskan tiga pemain di ranking lebih baik daripadanya iaitu pemain No. 13 dunia, Takahashi dari Jepun, Line Kjaersfeldt dari Denmark dan Karin Schnaase dari Jerman.

Li Lian, 19, memberi tentangan sengit kepada pemain Denmark, Anna Thea-Madsen sebelum tumpas 21-13, 16-21, 21-19 dan memenangi perlawanan kedua ke atas pemain Jerman, Fabienne Deprez 21-18, 21-17.

Lim Chiew Sien dan Lim Yin Fun, yang masing-masing baharu berusia 20 tahun turut mempamer aksi memberangsangkan.

Pemain kelahiran Johor, Chiew Sien mengalahkan Anika Dorr dari Jerman 21-16, 21-15 dan kalah 19-21, 14-21 kepada Akane Yamaguchi dari Jepun selepas memberi tentangan sengit.

Yin Fun pula mengejutkan Sandra-Maria Jensen dari Denmark 21-15, 14-21, 21-19 tetapi tewas di tangan pemain berpengalaman Jepun, Eriko Hirose 21-23, 8-21.

“Sudah pasti kami akan memberi perhatian serius kepada perseorangan wanita. Mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada Piala Uber dan membuktikan bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah untuk diketengahkan.

“Selama ini bukan kami meminggirkan acara ini, namun disebabkan standard pemain-pemain kita agak rendah dibandingkan negara lain, jadi mereka tidak mendapat jumlah kejohanan yang banyak, tetapi sudah tentu perkembangan di India bakal merubah senario tersebut.

“Lagi pun, saya sangat kagum ke­rana pemain wanita kita masih muda. Mereka mempunyai masa depan yang cerah dan sekarang adalah masa yang sesuai jika kita mahu mengetengahkan mereka di pentas antarabangsa," kata Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohammad Norza Zakaria.

Jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng sebelum ini berkata, kurang pendedahan antarabangsa membantutkan pembangunan pemain-pemainnya.

Jing Yi, juara Terbuka Iran yang meletakkan pingat gangsa Sukan Komanwel sebagai sasaran terbaharu hanya mempunyai tujuh pertandingan setahun, manakala pemain No. 99 dunia, Li Lian mendapat enam pertandingan. Yin Fun dan Chiew Sien masing-ma­sing cuma berpeluang beraksi dalam lima kejohanan setahun.

Katanya, pemain elit memerlukan sekurang-kurangnya 12 kejohanan setahun, manakala pemain pelapis pula perlu diberi pendedahan dalam lapan hingga 10 kejohanan. - UTUSAN
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140526/su_03/Pemain-wanita-jadi-tumpuan-BAM#ixzz32uXURRDU © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 26 Mei 2014

Siapa ganti Chong Wei pada 2016


Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
 
BAM seharusnya telah memiliki pengganti Lee Chong Wei kerana usianya semakin meningkat dan mungkin tidak bermain selepas Olimpik Rio.
NEW DELHI - Tiada siapa pada mulanya memberi harapan kepada Malaysia untuk membawa pulang Piala Thomas di India kerana pasukan negara hadir selaku skuad pa­ling lemah, namun selepas berjaya melangkah ke final dengan menundukkan beberapa pasukan gergasi seperti Indonesia, Denmark dan Korea Selatan harapan itu tiba-tiba naik memuncak.

Daripada pasukan yang tidak diberi perhatian, skuad Piala Thomas mencetus fenomena di tanah air sehinggakan sebuah stesen televisyen 'dipaksa' mengadakan siaran langsung pertemuan menentang Jepun kelmarin.

Di Facebook dan Twitter pula, perlawanan itu menenggelamkan beberapa perkara penting lain yang berlangsung pada hari yang sama.

Selepas 22 tahun tidak merasa nikmat bergelar juara, rakyat Malaysia tiba-tiba terbayangkan Piala Thomas dalam dakapan sebelum akhirnya semua impian mereka dihancurkan oleh Jepun - sebuah pasukan yang sebelum ini hanya dipandang se­belah mata - dalam final yang penuh drama, sengit dan berakhir dengan keputusan skuad negara kalah 2-3.

Kekalahan itu menghancurkan hati berjuta rakyat Malaysia, walaupun sebahagian daripada mereka pada awalnya mungkin tidak mengambil peduli terhadap perkembangan badminton negara.

Ternyata, skuad yang diketuai oleh jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei itu berjaya meninggalkan kesan besar kepada rakyat negara ini. Biarpun gagal pulang bersama kejuaraan yang sememangnya tidak disasarkan, persembahan dan keyakinan yang ditunjukkan mereka sepanjang hampir dua minggu di New Delhi benar-benar mencuri tumpuan.

Chong Wei Feng dan dua kombinasi pecahan, Goh V ShemTan Wee Kiong serta Tan Boon Heong-Hoon Thien How paling menjadi sebutan, manakala Liew Daren yang dikritik kerana mempamer aksi tidak bermaya di awal persaingan, akhirnya memulihkan maruah selepas berusaha sedaya mungkin sebelum akhirnya tumpas 12-21, 21-18, 17-21 kepada lawan yang berada di ranking 25, Takuma Ueda dalam perlawanan penentuan sebelum akhirnya kalah.

Fenomena Piala Thomas yang melanda Malaysia seharusnya membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM), biarpun Sukan Olimpik di Rio dua tahun dari sekarang menjadi tumpuan utama, kepentingan trofi berpasukan dunia itu juga tidak boleh diketepikan.

Jika mereka benar-benar serius untuk membawa pulang gelaran, pe­rancangan lebih tersusun sepatutnya sudah dimulakan dari sekarang.

Bayangkan kalau dengan hanya mengadakan kem latihan 10 hari saja pasukan negara sudah berjaya menjejakkan kaki ke final dan menewaskan Indonesia, Denmark dan Korea Selatan, keputusan mungkin akan menjadi lebih baik sekiranya mereka melakukan persiapan lebih serius serta insentif.

Selain Chong Wei, pemain-pemain lain seperti Wei Feng, V Shem-Wee Kiong serta Boon Heong-Thien How juga mampu menjadi penyumbang utama mata, dan perkembangan ini sebenarnya menjanjikan harapan kepada Malaysia apabila kejohanan ini kembali dua tahun lagi.

Seandainya Chong Wei memilih untuk tidak beraksi pada 2016, Wei Feng dan Daren harus dipersiapkan untuk menggalas tanggungjawab perseorangan utama.

Pemain muda seperti Goh Soon Huat, Misbun Ramdan Misbun, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Zulfadli Zulkifli pula perlu bersedia memainkan peranan seperti Kento Momota dan Ueda untuk pasukan Jepun, Soo Hwang Jong dalam skuad Korea Selatan dan Viktor Axelsen untuk Denmark.

Kalau melihat kepada barisan sedia ada, mungkin peluang untuk membawa pulang kejuaraan pada 2016 masih dianggap mustahil, tetapi tempoh dua tahun dari sekarang masih panjang. Seandainya pemain-pemain muda berjaya dibangunkan serta dipersiapkan dengan baik, tidak mustahil skuad itu akan lebih mantap daripada yang ada.

Sebahagian daripada mereka sudah menimba pengalaman dan mula menunjukkan kematangan, sebahagian lagi membuktikan mereka ada bakat tetapi belum mencapai tempoh matang, manakala dalam kalangan pemain beregu seperti Ow Yao Hao mereka bersedia mengambil alih tempat senior seandainya ada yang tidak menyerlah dalam tempoh dua tahun ini.

Biarpun Chong Wei, yang menundukkan Kenichi Tago 21-12, 21-16 dalam aksi pembukaan kelmarin, masih kekal sebagai satu-satunya peraih kejuaraan buat Malaysia, namun keupayaan pemain lain juga sudah boleh diberi perhatian ter­utama menjelang Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini. - UTUSAN
RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140527/su_03/Siapa-ganti-Chong-Wei-pada-2016#ixzz32rTM7Qml

© Utusan Melayu (M) Bhd

Daren: Maafkan saya Malaysia

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Mei 2014
Liew Daren tekad mahu beraksi dalam skuad Piala Thomas di New Delhi, Mei ini.
Liew Daren tekad mahu beraksi dalam skuad Piala Thomas di New Delhi, Mei ini. Liew Daren tekad mahu beraksi dalam skuad Piala Thomas di New Delhi, Mei ini.

KAPTEN skuad negara, Liew Daren memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal memberikan mata kemenangan kepada pasukan Malaysia dalam merebut Piala Thomas, malam tadi.

Kekalahan 2-3 ke atas Jepun sekali gus meranapkan impian untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun menjulang trofi berkenaan.

Daren yang diturunkan sebagai perseorangan ketiga menjadi sandaran buat seluruh rakyat Malaysia untuk menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia setelah terikat 2-2.

Setelah berhempas pulas, Daren akhirnya terpaksa akur tewas di tangan Takuma Ueda 12-21, 21-18, 17-21.

"Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya sudah berikan aksi terbaik tetapi jika ada juga pihak yang mahu salahkan saya, saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya selepas perlawanan malam tadi dipetik BH Online.

Daren berkata, beliau memang terlalu mahu memberikan kemenangan kepada skuad negara selain membuktikan kemampuan sebenarnya selepas aksi hambarnya dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

"Apa yang saya boleh katakan, perlawanan ini sedikit sebanyak memberikan motivasi dan pengajaran berguna kepada saya untuk menghadapi kejohanan seterusnya nanti," katanya.

RUJUKAN-SINAR HARIAN ONLINE 26.5.14

Kemarau Piala Thomas berterusan

NOORHAFIZA CHE ABDULLAH
26 Mei 2014
 Gandingan Tan Wee Kiong (kanan) dan Goh V Shem menghidupkan harapan Malaysia apabila mengutip mata penyamaan bagi mengheret Jepun ke perlawanan penentuan.
Gandingan Tan Wee Kiong (kanan) dan Goh V Shem menghidupkan harapan Malaysia apabila mengutip mata penyamaan bagi mengheret Jepun ke perlawanan penentuan. Gandingan Tan Wee Kiong (kanan) dan Goh V Shem menghidupkan harapan Malaysia apabila mengutip mata penyamaan bagi mengheret Jepun ke perlawanan penentuan.

KAPTEN Piala Thomas, Liew Daren gagal merealisasikan impian jutaan rakyat Malaysia untuk menamatkan kemarau 22 tahun menjulang trofi berprestij itu apabila gagal menyumbang mata kemenangan sekali gus menyaksikan skuad negara tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan final di Stadium Siri Fort, New Delhi, India malam tadi.

Daren yang tewas dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini sekali lagi gagal untuk menebus kesilapan itu apabila ditundukkan Takuma Ueda 12-21, 21-18 dan 17-21 dalam pertarungan yang penuh mendebarkan.

Kekalahan ini sekali gus mengulangi perlawanan final di Guangzhou 2002 apabila skuad negara tewas 2-3 kepada Indonesia.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada kejohanan 1992 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, seperti biasa, Datuk Lee Chong Wei melunaskan janjinya apabila mengungguli mata pertama perlawanan itu menewaskan perseorangan pertama Jepun, Kenichi Tago 21-12 dan 21-16 dalam masa 45 minit.

Bagaimanapun, peluang skuad negara untuk menambah mata tidak kesampaian apabila Tan Boon Heong-Hoon Thien How tewas kepada Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo  21-12, 17-21 dan 19-21 pada aksi kedua pertemuan itu.

Situasi kem negara semakin mendebarkan setelah harapan yang diletakkan kepada perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng untuk menambah mata kedua tidak kesampaian apabila turut tumpas 15-21 dan 17-21 kepada Kento Momota sekali gus menyebabkan Malaysia ketinggalan 1-2.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga cemas seketika apabila tewas kepada Keigo Sonoda-Takeshi Kamura di set pembukaan, namun bangkit dengan persembahan lebih baik dalam dua set berikutnya untuk menang 19-21, 21-17 dan 21-12.

Kejayaan V Shem-Wee Kiong gagal menyuntik semangat Liew Daren selaku perseorangan ketiga apabila ditumbangkan Ueda.

Untuk rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.

RUJUKAN-SINAR HARIAN ONLINE 26.5.14

Sabtu, 24 Mei 2014

PIALA THOMAS/PIALA UBER 2014

Tarikh Kejohanan: 18-25 Mei 2014
Venue: Siri Fort Complex, New Delhi

Piala Thomas
Lee Chong Wei mln Tommy Sugiarto 21-19, 21-13
Tan Boon Heong-Hoon Thien How mln Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21
Chong Wei Feng mln Dionysius Hayom Rumbaka 21-10, 21-17

18 Mei 2014 (Ahad): Malaysia 4-1 India
19 Mei 2014 (Isnin): Malaysia 4-1 Germany
21 Mei 2014 (Rabu): Malaysia 3-2 Korea
22 Mei 2014 (Khamis): Suku Akhir: Malaysia 3-1 Denmark
23 Mei 2014 (Jumaat): Separuh Akhir:
China 0-3 Japan, Malaysia 3-0 Indonesia
25 Mei 2014 (Ahad): Akhir: Jepun mln Malaysia (5.30ptg)

Piala Uber
19 Mei 2014 (Isnin): Malaysia 2-3 Denmark
20 Mei 2014 (Selasa): Malaysia 1-4 Japan
21 Mei 2014 (Rabu): Malaysia 5-0 Germany
23 Mei 2014 (Jumaat): Separuh Akhir:
China 3-0 Korea, India 2-3 Japan
24 Mei 2014 (Sabtu): Akhir: China mln Jepun

SUMBER RUJUKAN- http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/

Piala Thomas: Rayuan terbuka KJ kepada Astro

MUHD HAFIZ MAHMOOD
24 Mei 2014
 Piala Thomas: Rayuan terbuka KJ kepada Astro
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, membuat rayuan terbuka melalui laman sosial Facebook beliau supaya perlawanan final Piala Thomas dapat disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut beliau, hak siaran tersebut perlu dikurangkan atau dihadiahkan kepada rakyat Malaysia menerusi RTM kerana terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang masih tidak melanggan Astro.

"Bukan selalu kita masuk final Piala Thomas, kali terakhir 12 tahun lepas dan kali terakhir kita menang ialah 22 tahun yang lepas.

“Siaran perlawanan akhir esok harus dibawa kepada seluruh rakyat menerusi rancangan percuma," katanya.

Terdahulu, Khairy dipetik sebagai berkata, pihak RTM tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membayar syarikat televisyen swasta Astro untuk membeli siaran secara langsung dari stesen tersebut.

Beliau juga difahamkan bahawa kebanyakan peruntukan penyiaran sudah disalurkan untuk hak siaran Piala Dunia Bola Sepak yang akan berlangsung di Brazil, bermula 12 Jun hingga 13 Julai ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan bahawa RTM tidak menyiarkan siaran langsung Piala Thomas peringkat separuh akhir malam tadi kerana hak penyiaran diperoleh sebuah syarikat televisyen swasta.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas ialah pada 1992 di Kuala Lumpur manakala kali terakhir layak ke perlawanan akhir ialah ketika di Guangzhou pada 2002 dan tewas 2-3 kepada Indonesia.
RUJUKAN – SINAR HARIAN ONLINE 24.5.14


Najib beri semangat kepada pasukan Piala Thomas

24 Mei 2014
Piala Thomas
WALAUPUN sibuk dengan jadual lawatan yang padat di sini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor masih sempat menyampaikan kata-kata semangat kepada pasukan badminton Malaysia yang akan bertemu Jepun pada final Piala Thomas di New Delhi pada Ahad.

Kata-kata semangat itu mereka sampaikan melalui jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menerusi perbualan telefon dari sini dan Perdana Menteri yakin pasukan Malaysia akan bermain dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

"Secara kebetulan setiap kali beliau bermain, sebelum atau selepas, Datuk Lee Chong Wei akan menelefon isteri saya sebagai penaung Persatuan Badminton Malaysia.

"Jadi dalam lawatan ini, dua kali dia telah telefon dan saya dan isteri telah memberi kata-kata ransangan kepada pasukan Malaysia melalui Chong Wei," katanya kepada wartawan Malaysia di Astana, Kazakhstan.  

Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kazakhstan sejak Khamis kelihatan amat gembira sekali dengan pencapaian pasukan Malaysia pada Piala Thomas kali ini, yang menyaksikan Malaysia menamatkan penantian 12 tahun ke final bagi merebut piala berprestij itu.

"Berita bahawa Malaysia berjaya memasuki pertandingan akhir Piala Thomas ini merupakan satu berita yang amat membanggakan dan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan dan pasukan kita sedar bahawa mereka membawa harapan hampir 30 juta rakyat Malaysia untuk menjulang Piala Thomas.

"Ini akan merupakan suatu kejayaan yang sudah tentu akan melonjakkan semangat rakyat Malaysia dan imej Malaysia dan saya percaya pasukan kita akan bermain dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan, meraih kemenangan, yang saya pasti akan merupakan satu detik manis untuk rakyat Malaysia," kata Najib.

Malaysia menamatkan penantian selama 12 tahun untuk layak ke final Piala Thomas 2014 selepas menewaskan Indonesia 3-0  pada peringkat separuh akhir di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi pada Jumaat malam.

Skuad negara telah melepasi sasaran separuh akhir pada edisi kali ini dan sekali lagi mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun untuk menjulang piala berprestij itu yang dimenangi di Kuala Lumpur pada 1992.

Malaysia akan bertemu pendatang baharu Jepun pada final Ahad ini.   

Malaysia kali terakhir beraksi di pentas final pada edisi 2002 di Guangzhou, China, apabila kalah 3-2 kepada Indonesia. - Bernama

RUJUKAN – SINAR HARIAN ONLINE 24.5.14

Malaysia bertemu Jepun di final Piala Thomas

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mei 2014
Piala Thomas
Piala Thomas

MALAYSIA menamatkan penantian selama 12 tahun untuk layak ke final Piala Thomas 2014 selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada peringkat separuh akhir di Stadium Tertutup Siri Fort di sini, malam ini.
  
Skuad negara telah melepasi sasaran separuh akhir pada edisi kali ini dan sekali lagi mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun untuk menjulang piala berprestij itu yang dimenangi di Kuala Lumpur pada 1992.
  
Malaysia akan bertemu pendatang baharu Jepun pada final, Ahad ini.
  
Sebelum ini, pada satu lagi saingan separuh akhir sebelah petang, Jepun melakarkan sejarah untuk mara ke final buat pertama kali apabila mengejutkan juara bertahan China 3-0.
  
Malaysia kali terakhir beraksi di pentas final pada edisi 2002 di Guangzhou, China, apabila kalah 3-2 kepada Indonesia.
  
Pertarungan yang dijangkakan sengit nampaknya meleset sama sekali apabila jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan dengan kemenangan mudah 21-19 dan 21-13 ke atas Tommy Sugiarto dalam masa 52 minit.

Mata pembukaan oleh Chong Wei itu menyuntik semangat kepada beregu utama negara, Tan Boon Heong dan Hoon Thien How untuk memburu mata kedua dengan berdepan pasangan Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan.
  
Beregu negara memenangi set pertama 21-19 sebelum kalah 18-21 pada set kedua sebelum beradu nasib pada set penentuan sebelum menang 23-21 dalam pertarungan sengit selama 55 minit.
  
Perseorangan kedua negara Chong Wei Feng memastikan Malaysia melangkah ke final dengan bergaya apabila menundukkan Dionysiu Hayom Rumbaka dengan 21-10 dan 21-17 dalam masa 43 minit.
  
Chong Wei berkata impiannya untuk melepasi sasaran separuh akhir yang ditetapkan oleh pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya terkabul.
  
Pemain nombor satu dunia itu menyifatkan kejayaan Jepun menyingkirkan juara sejak lima edisi lepas China sebagai sesuatu yang hebat tanpa diduga.

"Kita akan melakukan yang terbaik di pentas final," kata Chong Wei.
  
Secara keseluruhan, prestasi pasukan adalah baik terutamanya kejayaan Wei Feng yang memenangi semua perlawanannya pada penampilan sulung di kejohanan ini, katanya.
  
Dalam pada itu, Boon Heong berkata keyakinan dirinya bertambah selepas mengalahkan beregu terbaik dunia dari Indonesia itu.
  
"Semangat kita memang cukup bagus hari ini. Walaupun kita kalah set kedua tetapi tidak menyerah kalah. Walaupun kami ada keyakinan sekarang tetapi kami perlu lebih bersedia untuk berdepan dengan Jepun," katanya.
  
Pada saingan Piala Uber, China menewaskan Korea Selatan 3-0 untuk mara ke final dan akan berjumpa dengan pemenang antara tuan rumah India dan Jepun. – Bernama

RUJUKAN – SINAR HARIAN ONLINE 24.5.14

Video 1992 bakar semangat pemain

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
17 Mei 2014
Daren akui semangat rakan sepasukan berkobar-kobar menjelang perlawanan pertama menentang India, esok.
Daren akui semangat rakan sepasukan berkobar-kobar menjelang perlawanan pertama menentang India, esok. Daren akui semangat rakan sepasukan berkobar-kobar menjelang perlawanan pertama menentang India, esok.

TAYANGAN video kejayaan skuad Piala Thomas pada tahun 1992 nyata menyemarakkan semangat kem Malaysia untuk menghadapi kejohanan itu yang akan bermula esok di New Delhi, India.

Kapten skuad negara, Liew Daren mengakui setelah melihat tayangan tersebut, semangat mereka semakin berkobar-kobar dan bersedia untuk mengulangi kejayaan itu pada kali ini.

Katanya, meskipun bakal berdepan situasi yang sukar, namun beliau dan rakan sepasukan akan berusaha untuk menanam semangat juang yang sama seperti mana dilakukan pada 22 tahun yang lalu.

"Tayangan video memberi impak yang ketara kepada kami. Kami berkobar-kobar untuk mengharungi kejohanan ini dan sekurang-kurangnya kembalikan sejarah Piala Thomas suatu ketika dahulu.

"Saya yakin dengan latihan 10 hari dan melihat persiapan pasukan, semangat pemain semakin bagus dan mampu mempamerkan prestasi yang terbaik," katanya.

Daren juga menegaskan bahawa pelantikannya sebagai kapten skuad Piala Thomas bukan satu tekanan, sebaliknya pembakar semangat untuk membantu Malaysia meraih kecemerlangan pada kejohanan tersebut.

Jelas Daren, kepercayaan semua pemain terhadapnya tidak akan disia-siakan begitu sahaja biarpun akui dirinya 'kerdil' untuk tugasan besar tersebut kerana tanggungjawab itu sebelum ini dipikul oleh jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei pada 2012 dan 2010.

"Saya percaya pemilihan saya sebagai kapten akan membuatkan saya lebih bertanggungjawab terhadap pasukan dan menerimanya dengan baik.


"Keyakinan saya juga telah bertambah baik sepanjang menyertai kem latihan pusat, selain sudah cukup bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Piala Thomas,” katanya.sinar Harian online.

Jumaat, 23 Mei 2014

Kuasa besar badminton dunia rebah

 
CHONG WEI FENG muncul wira selepas menyumbang mata ketiga buat skuad negara, sekali gus mengesahkan tempat ke perlawanan akhir untuk bertemu Jepun esok.

MALAYSIA tampil dalam kelas tersendiri apabila mara ke final Kejohanan Badminton Piala Thomas selepas menumbangkan Indonesia 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Siri Fort, New Delhi semalam.

Mereka akan membuat perhitungan dengan Jepun dalam final di stadium yang sama esok.

Jepun melangkah ke final selepas melakar kejutan dengan menewaskan China 3-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir semalam.

Ini merupakan kemaraan pertama skuad negara ke final sejak tahun 2002 yang menyaksikan mereka tewas kepada Indonesia pada kempen yang berlangsung di Guangzhou, China.

Aksi esok akan menjadi penampilan ke-14 Malaysia di pentas final Piala Thomas.

Daripada jumlah tersebut, Malaysia sekadar muncul juara lima kali dan tewas lapan kali.

Sejak kali terakhir menewaskan Indonesia ketika menjuarai Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur, seteru utama itu dilihat sebagai badi yang sentiasa menyekat laluan Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia sudah lama tidak bertemu dengan Indonesia pada kejohanan dwitahunan itu sejak kali terakhir tewas pada suku akhir di Jakarta pada tahun 2004.

Pada aksi separuh akhir semalam, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi tidak berdepan masalah untuk mengutip mata pertama skuad negara.

Pemain berusia 31 tahun itu tampil dengan aksi cemerlang untuk menewaskan Tommy Sugiarto 21-19, 21-13 dalam masa 52 minit.

Malaysia terus berada dalam kedudukan selesa apabila gandingan Tan Boon Heong-Hoon Thien How membuat kejutan selepas menumbangkan beregu No. 1 dunia, Hendra Setiawan- Mohammad Ahsan 21-19, 8-21, 23-21.

Mata kemenangan Malaysia hadir menerusi perseorangan kedua, Chong Wei Feng yang sekali lagi menewaskan pemain yang mempunyai ranking lebih baik daripadanya, Dionysius Hayom Rumbaka 21-10, 21-17.

Biarpun tampil selaku pemain ke-27 dunia, Wei Feng tidak menunjukkan sebarang kesukaran untuk menumbangkan pencabar yang berada di ranking No. 19 dunia itu dalam tempoh 43 minit.

Untuk rekod, Malaysia menjuarai Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.

KOSMO ONLINE 24.5.14

Ke final selepas 12 tahun


 

Norzie Mohd. Khasbi
Chong Wei Feng meraikan kejayaannya menumpaskan Dionysius Rumbaka dalam perlawanan perseorangan kedua, sekali gus membawa Malaysia ke perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi semalam.- Ihsan The Star
NEW DELHI - Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun pemain-pemain negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya me­ngatasi segala keraguan dengan me­langkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi.

Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.

Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengha­rungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.

Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara.

Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasa­ngan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.

Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17.

Bagi Chong Wei dan Wei Feng, mereka adalah tonggak penting yang membawa kepada kejayaan Malaysia ke perlawanan akhir apabila memenangi semua lima perlawanan setakat ini.

"Memang amat teruja apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi. Saya tidak merasai pengalaman perlawanan akhir terakhir Malaysia dan gembira melihat pemain-pemain muda ini berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Selepas tiba di sini, ramai yang memandang rendah kemampuan Malaysia, apatah lagi kami dikatakan hadir sebagai pasukan paling lemah, namun hari ini kami membuktikan mereka silap dengan berjaya melangkah ke final.

"Saya tidak pernah anggap peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan adalah cerah selepas Jepun menewaskan China dalam separuh akhir pada sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga bukan mudah dan mereka adalah lawan yang kental.

"Yang paling penting buat semua pasukan adalah fokus kepada permainan sendiri. Kami sudah menyahut cabaran persatuan yang mahu pasukan melangkah ke final, sekarang terpulang kepada kami untuk mencari keputusan lebih baik," kata Chong Wei.

Jika rekod pertemuan Malaysia dan Jepun menjadi ukuran, pasukan negara memegang kelebihan 3-1 ke atas negara Matahari Terbit itu.

Namun Jepun, yang menunjukkan peningkatan sangat ketara di bawah bimbingan Park Joo Bong mengejutkan pasukan negara pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada 2010.

Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir adalah di Guangzhou 2002, di mana kita tewas 2-3 kepada Indonesia manakala kejohanan 1992 di Kuala Lumpur adalah kali terakhir pasukan negara muncul juara. - UTUSAN
RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140524/su_01/Ke-final-selepas-12-tahun#ixzz32a1EH1It

© Utusan Melayu (M) Bhd