Selasa, 31 Mac 2015

Rashid angkat kaki



 
Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
RASHID bercadang untuk berehat dan menenangkan fikiran selepas tidak mahu menyambung kontrak bersama BAM.

TEKA-TEKI mengenai kontrak ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek terjawab semalam selepas beliau membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan khidmatnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan berakhir hari ini.

Rashid, 46, yang menyertai BAM sejak 2003 berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tidak berpuas hati dengan isi kandungan kontrak yang berat sebelah sebagaimana sasaran yang diletakkan tidak realistik.

“Bagaimana saya nak sambung kontrak kalau saya tidak setuju dengan isi kandungan kontrak ini, memang mereka menaikkan gaji tetapi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) tidak realistik dan keterlaluan.

“Saya memang tiada masalah dengan susunan struktur jurulatih cuma saya berasakan akan wujud satu suasana yang tidak sihat di sini jika saya menandatangani kontrak tersebut, jadi lebih baik saya mengundurkan diri.

“Esok (hari ini) merupakan hari terakhir saya, jadi selepas ini saya mengambil keputusan untuk berehat dahulu dan tenangkan fikiran. Mungkin ada hikmah dengan keputusan saya ini,” katanya.

Rashid berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

“Pertemuan dengan Frost hari ini (semalam) satu pertemuan yang bagus dan tiada apa-apa masalah cuma saya tidak bersetuju dengan kontrak ini.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada BAM kerana sejak menjadi jurulatih selama 13 tahun telah banyak perkara yang saya belajar di sini,” ujar Rashid.

Terdahulu, BAM bersetuju untuk menaikkan gaji barisan jurulatih yang akan tamat hari ini, namun mereka juga meletakkan syarat agar setiap jurulatih dan pemain perlu memenuhi KPI yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Difahamkan, BAM juga akan membuat penilaian terhadap jurulatih setiap enam bulan dan sekiranya KPI yang diletakkan itu gagal dicapai mereka akan diberikan notis tiga bulan.

Sementara itu, usaha untuk mendapat maklum balas daripada beberapa jurulatih elit lain mengenai keputusan mereka selepas pertemuan dengan Frost menemui kegagalan.

Jurulatih beregu wanita, Rosman Razak dan jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock enggan memberikan sebarang komen.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3Vx0mW1QY Hakcipta terpelihara