Ahad, 30 April 2017

Chong Wei mara, Hafiz kecundang

ARKIB : 21/11/2004
PEMAIN negara, Lee Chong Wei meneruskan kecemerlangan pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura apabila menundukkan pilihan ketujuh, Bao Chunlai dari China 3-15, 15-9, 17-15 untuk mara ke perlawanan akhir perseorangan lelaki di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
Bagaimanapun, hasrat Chong Wei hendak menentukan kejuaraan dengan rakan senegara, Muhammad Hafiz Hashim hari ini tidak kesampaian apabila juara Seluruh England 2003 itu tewas 11-15, 15-11, 11-15 kepada pilihan kedua dari Denmark, Kenneth Jonassen.
Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$170,000 (RM646,000) itu turut diteruskan pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty yang mengecewakan penyokong tempatan dengan menundukkan beregu Singapura, Hendri Saputra Kurniawan-Li Yujia 8-15, 15-11, 15-13 dalam beregu campuran.
Begitupun, Kien Keat gagal meneruskan kecemerlangan dalam beregu lelaki apabila gandingan bersama Chan Chong Ming tewas 6-15, 15-5, 8-15 kepada beregu Denmark dan pilihan kedua, Jens Eriksson-Martin Lungaard Hansen.
Berbanding permainannya ketika menyingkirkan pemain nombor dua dunia dan pilihan utama, Peter Gade-Christensen di suku akhir kelmarin, Chong Wei bermula perlahan apabila berdepan Chunlai, semalam.
``Saya tengok dia bermula dengan begitu agresif jadi saya cuba untuk membaca rentak permainannya,'' kata juara Terbuka Malaysia itu. ``Saya sudah bersedia untuk kalah pada set pertama tetapi jurulatih mahu saya meningkatkan permainan di set kedua. Jelas, lawan kehilangan rentak apabila saya mengatur asakan demi asakan.''
Selepas menang 15-9 di set kedua, juara kebangsaan itu berada pada kedudukan kritikal di set penentuan apabila ketinggalan 9-12 dan 10-13 tetapi bernasib baik berjaya bangkit dengan pantas untuk menjadikan kedudukan 14-13.
Chunlai mengheret perlawanan ke dius apabila mengikat kedudukan 14-14 tetapi Chong Wei tidak melakukan kesilapan apabila menamatkan cabaran dengan 17-15.
Seperti Chong Wei, Hafiz, yang memburu gelaran antarabangsa pertama sejak Seluruh England tahun lalu bermula perlahan dan tewas 11-15 pada set pertama.
Walaupun bangkit memenangi set kedua 15-11, pemain Nusa Mahsuri itu mengulangi kesilapannya pada set penentuan sehingga ketinggalan 0-6, 4-10, 7-13 sebelum tewas 11-15.
Sementara itu Kien Keat, 19, menyifatkan kejayaan mara ke perlawanan akhir beregu campuran sebagai bonus kerana tidak meletakkan harapan tinggi dalam acara tersebut.
``Tumpuan sebenar saya adalah dalam beregu lelaki kerana saya percaya gandingan bersama Chong Ming lebih berpeluang untuk pergi jauh,'' kata Kien Keat, yang akan bertemu pasangan Indonesia, Nova Widianto-Liyana Natsir.
KEPUTUSAN (separuh akhir)
LELAKI, perseorangan: LEE CHONG WEI (MAS) kln Bao Chunlai (Chn) 3-15, 15-9, 17-15; Kenneth Jonassen (Den) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM (MAS) 15-11, 11-15, 15-11
Beregu: Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen (Den) kln CHANG CHONG MING-KOO KIEN KEAT (MAS) 15-6, 5-15, 15-8
WANITA, perseorangan: Zhou Mi (Chn) kln Yao Jie (Chn) 11-0, 11-3; Zhang Ning (Chn) kln Pi Hongyan (Fra) 11-2, 11-6
Beregu: Yang Wei-Zhang Jiewen (Chn) kln Gao Ling-Huang Sui (Chn) 15-7, 15-10; Sathinee Chankrachangwong-Saralee Thungthongkam (Tha) kln Rikke Olsen-Mette Schjoldager (Den) 15-11, 15-3
Beregu campuran: Nova Widianto-Liyana Natsir (Ina) kln Nathan Robertson-Emm Gail (Den) 15-4, 15-3; KOO KIEN KEAT-WONG PEI TTY (MAS) kln Hendri Kurniawan Saputra-Li Yujia (Sin) 8-15, 15-11, 15-13

Hafiz, Lee mara

ARKIB : 20/11/2004
PEMAIN muda negara, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim mencipta kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura apabila menumpaskan pilihan pertama dan ketiga untuk melangkah ke separuh akhir di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
Chong Wei, 22, yang disingkirkan oleh pemain tidak ternama seawal pusingan pertama Terbuka China minggu lalu mengetepikan pemain nombor dua dunia dan juara Eropah, Peter Gade-Christensen dari Denmark 15-5, 15-13.
Sementara Hafiz, juga 22, yang membuat penampilan antarabangsa pertama sejak Terbuka Malaysia Jun lalu mengejutkan penyandang juara, Chen Hong dari China 15-13, 15-3.
Terdahulu, Malaysia turut mencipta kejutan dalam beregu campuran apabila pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty menyingkirkan pilihan ketiga Jens Erikssen-Mette Schjoldager dari Denmark 15-11, 15-3 untuk bertemu Hendri Saputra Kurniawan-Li Yujia dari Singapura.
Menanti juara Terbuka Malaysia dan pilihan ke-10, Chong Wei pada separuh akhir hari ini adalah pilihan ketujuh dari China, Bao Chunlai yang mengetepikan pemain negara, Kuan Beng Hong 15-8, 15-5 dalam satu lagi suku akhir.
Hafiz yang gagal ke Sukan Olimpik Athens dan menarik diri pada Terbuka China pula akan menentang pemenang pertemuan Kenneth Jonassen dari Denmark atau Ng Wei dari Hong Kong.
Ia kemenangan kedua Chong Wei ke atas Gade selepas menang pada pusingan ketiga Terbuka Malaysia, Mei lalu.
Gade, bekas pemain nombor satu dunia memuji persembahan Chong Wei malah memilihnya sebagai pilihan untuk menjuarai kejohanan bernilai AS$170,000 (RM646,000) itu.
Pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula tewas 9-15, 5-15 kepada pilihan ketujuh dari Thailand, Sathinee Chankrachangwong-Saralee Tungthongkam.
KEPUTUSAN:
(suku akhir, Malaysia sahaja)
LELAKI, perseorangan: Bao Chunlai (Chn) kln KUAN BENG HONG 15-8, 15-5; LEE CHONG WEI kln Peter Gade-Christensen (Den) 15-5, 15-13; Muhammad Hafiz Hashim kln Chen Hong (Chn) 15-13, 15-3
Beregu: Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den) kln LIN WOON FUI-MOHD. TAZARI MOHD. FAIRUZIZUAN 15-9, 15-12
Beregu wanita: Sathinee Chankrachangwong-Saralee Tungthongkam (Tha) kln WONG PEI TTY-CHIN EEI Hui 15-9, 15-5
Beregu campuran: KOO KIEN KEAT-WONG PEI TTY kln Jens Erikssen-Mette Schjoldager (Den) 15-11, 15-3

Chong Wei antara lapan mara

ARKIB : 18/11/2004
JUARA Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei dan Wong Choon Hann mengetuai lapan pemain perseorangan negara apabila menang ke atas lawan masing-masing pada pusingan pertama di Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, semalam.
Bagaimanapun perseorangan wanita negara dirundung malang apabila kesemua empat pemain negara tumpas di pusingan pertama.
Turut mengiringi Chong Wei dan Choon Han ke pusingan seterusnya ialah ialah bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim, Yeoh Kay Bin, Kuan Beng Hong, Salim Sameon, Law Yew Tien dan Yogendran Krisnan.
Bagaimanapun tujuh lagi wakil negara iaitu Lee Tsuen Seng, Pei Wei Chung, Raymond Steven, Sairul Amar Ayob, James Chua, Chin Kien Lin dan Lim Chen Wei tunduk kepada lawan masing-masing.
Chong Wei tidak perlu memerah keringat untuk menjinakkan pemain tuan rumah, Wong Zi Liang dengan straight set 15-3, 15-3.
Begitupun juara Terbuka Melaka itu terpaksa berdepan dengan rakan sepasukan Yeoh Kay Bin yang menewaskan pemain Korea Selatan, Ahn Hyun Suk 15-7, 4-15, 15-6 dalam perlawanan pusingan kedua hari ini.
Pemain nombor satu negara Choon Hann, pilihan ke-15 kejohanan tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain tuan rumah Chew Swee Hau 15-2, 15-1.
Hafiz pula mencapai kemenangan mudah ke atas seorang lagi pemain Singapura, Huang Chao 15-0, 15-3 begitu juga dengan Kuan Beng Hong turut merintis laluan mudah menjinakkan pemain Jepun, Ikeda Yuichi dengan 15-9, 15-4.
Sementara itu pemain muda negara, Salim Sameon menghadapi saingan getir sebelum berjaya menundukkan pemain Jepun, Kazushi Yamada 15-6, 15-17, 15-10.
Tsuen Seng tunduk mudah kepada pemain Hong Kong kelahiran Indonesia, Agus Hariyanto 4-15, 10-15; Wei Chung pula tewas kepada bekas juara Seluruh England, Pullela Gopichand 8-15, 5-15.
Pemain remaja Raymond Steven pula akur dengan kehebatan Andrew Smith dari England dengan 4-15, 4-15.
Sementara itu, dalam perseorangan wanita, wakil negara Anita Raj Kaur tewas tewas mudah kepada pemain tuan rumah, Xing Aiying 11-4, 11-1.

Beregu kita mara di China

ARKIB : 12/11/2004
PEMAIN negara, Koo Kien Keat yang kali pertama berpasangan dengan Chan Chong Ming dalam kejohanan antarabangsa mara ke pusingan kedua Terbuka China selepas menang 15-6, 15-6 ke atas pasangan Hong Kong, Liu Kwok Wa-Albertus Susanto semalam.


SELEPAS diaibkan dengan penyingkiran awal kesemua enam wakil perseorangan lelakinya, pasukan badminton Malaysia diceriakan dengan kemaraan lima beregu ke pusingan kedua Terbuka China di Stadium Tianhe Guangzhou semalam.
Malah, Malaysia juga sudah mengesahkan sekurang-kurangnya satu tiket di suku akhir beregu lelaki apabila dua pasangannya, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dan Tan Bin Shen-Ong Soon Hock bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua.
Chong Ming-Kien Keat yang bergandingan di pentas antarabangsa buat kali pertama mengetuai kemaraan pasangan negara selepas mengetepikan beregu berpengalaman Hong Kong dan pilihan keenam, Liu Kwok Wa-Albertus Susanto 15-6, 15-6 dalam masa 38 minit.
Beregu remaja, Bin Shen-Soon Hock sebelum itu hanya mengambil masa 20 minit untuk menundukkan pasangan Seychelles, Georgie Cupidon-Nicholas Jumaye 15-1, 15-1.
Pakar beregu negara, Choong Tan Fook yang berpasangan dengan Chew Choon Eng turut tidak menghampakan apabila mudah menyingkirkan wakil tuan rumah, Guo Zhengdong-Xu Chen 15-2, 15-9.
Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Woon Fui pula mengetepikan beregu China, Guo Zhengdong-Xu Chen 15-2, 15-9.
Cabaran Malaysia pada kejohanan yang menawarkan AS$250,000 (RM950,000) itu turut diteruskan oleh beregu wanita utamanya, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui yang mengetepikan pasangan Hong Kong, Siu Ching Man-Wong Man Ching 15-13, 15-1.
Namun begitu, kecemerlangan pasangan Kien Keat-Pei Tty dalam beregu campuran berakhir dengan kekalahan 10-15, 2-15 kepada pilihan ketiga dari Denmark, Jens Erikssen-Mette Schjoldager di suku akhir.
Turut tersingkir adalah beregu wanita, Ooi Sock Ai-Mooi Hing Yau yang kalah 8-15, 8-15 kepada Duang Anong Arunkesorn-Kukchala Worawichitchaikul dari Thailand di pusingan pertama.
Tan Fook-Choon Eng yang diletak sebagai pilihan kelima kejohanan kini akan berdepan pasangan Indonesia, Markis Kidho-Hendra Setiawan.
Fairuzizuan-Woon Fui pula menentang beregu Korea Selatan, Hwang Ji Man-Han Sang Joon.
Pei Tty-Eei Hui bakal berdepan kesukaran untuk ke suku akhir apabila menanti mereka adalah pilihan ketujuh dari Thailand, Saralee Thungthongkam-Sathin Chankrachangwong.
KEPUTUSAN (Malaysia sahaja): Beregu lelaki, pusingan pertama: CHAN CHONG MING-KOO KIEN KEAT kln Liu Kwok Wa-Albertus Susanto (Hkg) 15-6, 15-6; TAN BIN SHEN-ONG SOON HOCK kln Georgie Cupidon-Nicholas Jumaye (Sey) 15-1, 15-1; MOHD. FAIRUZIZUAN TAZARI-LIN WOON FUI kln Sun Junjie-Lu Jian (Chn) 15-13, 15-5; CHOONG TAN FOOK-CHEW CHOON ENG kln Guo Zhengdong-Xu Chen (Chn) 15-2, 15-9.
Beregu wanita, pusingan pertama: Arunkesorn Duang Anong-Worawichitchaikul Kulchala (Tha) kln OOI SOCK AI-MOOI HING YAU 15-8, 15-8; WONG PEI TTY-CHIN EEI HUI kln Siu Ching Man-Wong Man Ching (Hkg) 15-3, 15-1
Beregu campuran, suku akhir: Jens Erikssen-Mette Schjoldager (Den) kln KOO KIEN KEAT-WONG PEI TTY 15-9, 15-6.

Berkorban demi satu gelaran

ARKIB : 02/11/2004

BEREGU negara, TAN Boon Heong-Hoon Thien How semalam mendedahkan mereka terpaksa mengorbankan satu kertas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung dalam laluan merangkul kejuaraan badminton remaja dunia.
Malah Thien How-Boon Heong tanpa berselindung juga mengakui tidak begitu pasti akan nasib mereka dalam peperiksaan tersebut kerana lebih banyak menghabiskan masa di atas gelanggang latihan berbanding menelaah buku.
Kedua-dua pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur itu berkata, mereka juga tidak menduduki peperiksaan percubaan yang lalu kerana terlalu sibuk melakukan persiapan.
``Saya telah banyak mengabaikan pelajaran demi mencapai kejayaan dalam badminton, kalau tidak menang di Vancouver sudah tentu ia seperti sia-sia,'' kata Thien How yang kembali ke Kuala Lumpur bersama Boon Heong semalam selepas melakar kejayaan bersejarah di Vancouver, Kanada, kelmarin.
``Saya tidak tahu apa akan jadi dengan SPM kali ini, nampak seperti teruk. Tetapi saya puas kerana pengorbanan saya tidak sia-sia dan saya pulang bersama gelaran juara remaja dunia,'' katanya lagi.
Thien How mengakui, hatinya dan Boon Heong tidak begitu tenang ketika turun menentang pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Jung Jung Young dalam perlawanan akhir kerana menyedari pada hari yang sama peperiksaan kertas sains sukan sedang berlangsung.
Bagaimanapun keazaman tinggi untuk membawa pulang kejuaraan, selain sokongan padu yang diberikan oleh jurulatih, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pihak SSBJ telah memberi kekuatan kepada mereka untuk mencatat kemenangan 15-6, 3-15, 15-12.
Walaupun berjaya menjadi beregu ketiga Malaysia selepas Chan Chong Ming-Jeremy Gan (1996) dan Chong Ming-Teo Kok Seng (1998) merangkul gelaran beregu remaja lelaki dunia, Thien How dan Boon Heong percaya laluan mereka untuk berada di puncak dunia masih jauh.
Malah, juara Sekolah-Sekolah Asia dan remaja kebangsaan itu secara jujur mengakui, mereka tidak fikir akan disenaraikan ke Sukan SEA di Manila tahun depan atau mendapat keistimewaan beraksi dalam lebih banyak pertandingan.
``Saya tidak tahu apakah perancangan selepas ini kerana semua terserah kepada jurulatih tetapi untuk mendapat tempat di Sukan SEA rasanya masih terlalu awal,'' kata Boon Heong.
``Kami masih pemain peringkat remaja, kalau berjaya mempamer peningkatan mungkin tiga atau empat tahun lagi boleh berada dalam skuad senior.
``Apa pun buat masa sekarang, kami mahu berehat daripada sebarang latihan kerana hendak memberi tumpuan kepada SPM. Banyak yang kami tertinggal, kami boleh rehat daripada badminton tetapi tidak dalam pelajaran.''
Kedua-dua pemain itu akan menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Isnin depan.
Kata Boon Heong, tugasan yang sudah menantinya dan Thien How selepas tamat SPM ialah Sukan Remaja Komanwel di Australia, 20 November hingga 4 Disember.
``Saya tidak tahu adakah untuk kejohanan itu kami akan meneruskan latihan di Bukit Kiara seperti lima bulan lepas atau kembali ke Bukit Jalil seperti sebelumnya, buat masa sekarang kami tidak mahu fikir dulu tentang badminton.''
Ketibaan Boon Heong-Thien How di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam turut disambut oleh presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh.

Sabtu, 29 April 2017

Beregu kita juara di Vancouver

ARKIB : 01/11/2004
PASANGAN muda negara, Tan Boon Heong (kiri) dan Hoon Thien How meraih gelaran juara pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Vancouver, Kanada semalam.


PASANGAN Malaysia, Tan Boon Heong-Hoon Thien How melengkapkan kecemerlangan di Vancouver, Kanada apabila muncul juara beregu remaja dunia pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berakhir semalam.
Boon Heong-Thien How melakar nama sebagai beregu ketiga negara berjaya merangkul kejuaraan prestij itu selepas mengejutkan pilihan kedua dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Jung Jung Young 15-6, 3-15, 15-12.
Kali pertama Malaysia menjuarai gelaran remaja dunia adalah menerusi pasangan Chan Chong Ming-Jeremy Gan di Denmark pada 1996, diikuti Chong Ming-Teo Kok Seng pada kejohanan di Melbourne 1998.
Dalam perlawanan semalam, Boon Heong-Thien How dipaksa bekerja-keras sepanjang 56 minit, termasuk tewas pada set kedua sebelum menundukkan juara remaja Asia, Yong Dae-Jung Young.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia menebus kekalahan kepada Korea dalam perlawanan akhir beregu lelaki di Pretoria, dua tahun lalu apabila Tan Bin Shen-Jack Koh tewas 17-14, 9-15, 9-15 kepada Han Sang Hoon-Park Sung Hwan.
Bagi Boon Heong-Thien How, pilihan kelima, selain merangkul gelaran antarabangsa pertama, ini juga adalah kejutan besar ketiga dilakukan mereka selepas mengalahkan pilihan pertama dari Korea, Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum dan pilihan ketiga dari China, Li Rui-Cao Liu dalam laluan ke akhir.
Pasangan remaja negara itu menunjukkan peningkatan sejak menjalani latihan bersama skuad senior di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock, lima bulan lalu.
Sementara itu China mengukuhkan status mereka sebagai gergasi badminton dunia dengan merangkul tiga daripada lima kejuaraan yang dipertandingkan.
Selepas mempertahankan gelaran berpasukan remaja dunia buat kali ketiga berturut-turut minggu lalu, China menambah koleksi kejuaraan dalam acara perseorangan lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Penyandang juara dan pilihan pertama, Chen Jin muncul juara perseorangan lelaki selepas menundukkan rakan senegara, Gong Weijie 12-15, 15-8, 17-14.
Tian Qing-Yu Yang pula menepati status sebagai pilihan pertama beregu wanita dengan menumpaskan beregu senegara, Feng Chen-Pan Pan 15-3, 15-5.
He Hanbin-Yu Yang menafikan hajat Indonesia untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu gelaran apabila menumpaskan Muhammad Rizal-Greysia Polli 15-12, 15-12 dalam beregu campuran.
Walaupun cemerlang dengan tiga gelaran individu dan satu berpasukan, China yang digeruni dalam acara wanita tersentap apabila gagal membawa pulang kejuaraan perseorangan wanita selepas Lu Lan, pilihan kedua tewas 7-11, 5-11 kepada pilihan kelima dari Taiwan, Cheng Shao Chieh.

Beregu Malaysia buat kejutan

ARKIB : 31/10/2004
BEREGU negara, Tan Boon Heong-Hoon Thien How melakar kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila menumpaskan pilihan utama, Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum dari Korea Selatan untuk mara ke perlawanan akhir di Minoru Arena, Vancouver, Kanada semalam.
Boon Heong-Thien How, pilihan kelima kejohanan kini hanya setapak lagi untuk membawa pulang kejuaraan dan menjadi penghalang terakhir mereka di perlawanan akhir hari ini adalah pilihan kedua juga dari Korea, Lee Yong Dae-Jung Jung Young.
Semalam, pasangan Malaysia yang kedua-duanya berusia 17 tahun itu berentap hampir sejam sebeolum mengalahkan Yeon Seong-Jun Bum 15-10, 17-14.
Yong Dae-Jung Young turut diberi tentangan sengit oleh pilihan ketiga dari China, Shen Ye-He Hanbin, termasuk tewas di set kedua sebelum menang 17-14, 11-15, 15-5.
Malaysia merupakan juara beregu remaja dunia dua tahun berturut-turut pada 1996 dan 1998 menerusi Chan Chong Ming-Jeremy Gan dan Chong Ming-Teo Kok Seng.
Bagaimanapun pada kejohanan di Pretoria, Afrika Selatan dua tahun lalu skuad negara sekadar muncul naib juara menerusi pasangan Jack Toh-Tan Bin Shen.
Sementara itu China mengesahkan kejuaraan perseorangan lelaki selepas penyandang juara dan pilihan pertama, Chen Jin menempah pertemuan dengan rakan senegara serta pilihan kedua, Gong Weijie dalam perlawanan akhir. Jin mengambil masa tidak sampai 20 minit untuk mengetepikan pilihan ketiga dari Korea, Hwang Jung Woon 15-1, 15-4.
Laluan Weijie bagaimanapun lebih sukar apabila dipaksa bangkit daripada ketinggalan di set pertama sebelum menumpaskan seorang lagi pemain Korea, Lee Cheol Ho 8-15, 15-9, 15-2.
Gelaran perseorangan wanita pula akan ditentukan Lu Lan dan pilihan keempat, Cheng Shao Chieh dari Taiwan.
Lan mara selepas mencatat kemenangan percuma ke atas rakan senegara, Wang Lin, manakala Shao Chieh tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan Ha Jung Eun dari Korea 11-4, 11-2. Seperti perseorangan lelaki, China juga sudah mengesahkan kejuaraan beregu wanita walaupun perlawanan akhir belum berlangsung apabila dua beregu mereka, Tian Qing-Yu Yang dan Feng Chen-Pan Pan bertemu sesama sendiri.

Beregu kita kejutkan pasangan China

ARKIB : 30/10/2004
TAN Boon Heong-Hoon Thien How mengejutkan pasangan pilihan, Lui Rui-Cao Liu dari China untuk menjadi wakil tunggal negara layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Minoru Arena, Vancouver, Kanada, semalam.
Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki bagaimanapun berakhir dengan kekalahan Chong Wei Feng kepada pilihan kedua dari China, Gong Weijie di peringkat suku akhir.
Boon Heong-Thien How menepati sasaran awal mereka untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengetepikan pilihan ketiga, Lui-Cao 15-5, 15-10 dalam masa 41 minit.
Pasangan negara itu yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan bakal berdepan laluan sukar untuk meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir apabila berdepan pilihan utama dari Korea, Yoo Yeon Seong-Jeon Jun Bum hari ini.
Yeon Seong-Jun Bum mara ke separuh akhir selepas menumpaskan pasangan dari Taiwan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu 15-9, 15-9.
Korea merupakan penyandang juara beregu lelaki tetapi menerusi Han Sang Hoon-Park Sung Hwan yang menewaskan pasangan negara, Jack Toh-Tan Bin Shen dalam perlawanan akhir dua tahun lalu.
Satu lagi perlawanan separuh akhir beregu lelaki akan menemukan pilihan kedua dari Korea, Lee Yong Dae-Jung Jung Young menentang pilihan ketiga, Shen Ye-He Hanbin dari China.
Sementara itu hajat Wei Feng untuk meneruskan siri kejutan di Vancouver tidak kesampaian apabila tunduk 7-15, 3-15 kepada pilihan kedua, Weijie dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 30 minit.
China dan Korea kini menguasai dua tempat separuh akhir. Selain Weijie, cabaran China turut dipikul oleh juara bertahan dan pilihan pertama, Chen Ji yang akan menentang Hwang Jung Woon, manakala Weijie bertemu Lee Cheol Ho.

Badminton Remaja Dunia - Malaysia ke suku akhir

ARKIB : 29/10/2004
CHONG Wei Feng meneruskan kejutan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila menundukkan pilihan kelapan, Ji Hoon Hong dari Korea Selatan untuk mara ke suku akhir di Minoru Arena, Vancouver, Kanada semalam.
Ini merupakan kemenangan kedua pemain berusia 17 tahun itu ke atas pemain pilihan selepas mengejutkan pilihan ke-11 dari Indonesia, Markus Wijanu pada pusingan ketiga kelmarin.
Cabaran Malaysia di Vancouver turut diteruskan oleh beregu harapan dan pilihan kelima, Hoon Thien How-Tan Boon Heong, yang mudah mengetepikan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov-Maxim Danchenko 15-5, 15-1.
Begitupun kempen perseorangan utama negara dan pilihan kesembilan, Azrihaniff Azahar berakhir dengan keka-lahan 10-15, 3-15 di tangan pilihan kelima, Lu Qicheng dari China.
Selepas menundukkan Markus 17-15, 15-5 kelmarin, semalam Wei Feng memerlukan 43 minit untuk menyingkirkan Hoon Hong 17-14, 15-10.
Laluannya untuk ke separuh akhir bagaimanapun tidak mudah kerana bakal berdepan pilihan kedua dari China, Gong Weijie yang mara selepas mengetepikan Feng Chia Hua dari Taiwan 15-7, 17-14.
Thien How-Boon Heong juga bakal menghadapi laluan sukar di suku akhir apabila terpaksa menentang pilihan ketiga juga dari China, Li Rui-Cao Liu. Li-Cao mara selepas menumpaskan pasangan Jerman, Jan-Soren Schulz-Tim Zander 15-10, 15-8.
Sementara itu cabaran Malaysia dalam perseorangan dan beregu wanita berakhir dengan kekalahan Amelia Anscelly serta pasangan Amelia-Haw Chiou Hwee.
Amelia yang beraksi cemerlang dalam dua pusingan pertama nyata bukan tandingan pilihan pertama, Jiang Yanjio dari China selepas tewas mudah 1-11, 0-11.
Bergandingan dengan Chiou Hwee, dia pula gagal menyekat kemaraan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Ha Jung Eun-Oh Seul Ki 0-15, 4-15.

Kejohanan Badminton Dunia - Dua pemain remaja negara mara

ARKIB : 28/10/2004
AZRIHANIFF Azahar dan Chong Wei Feng meneruskan cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Minoru Arena, Vancouver Kanada apabila melepasi pusingan ketiga semalam.
Manakala dua lagi rakan mereka, Tan Chun Seang dan Kenn Lim gagal meneruskan kemaraan ke pusingan keempat apabila tewas kepada lawan masing-masing.
Azrihaniff, 18,yang mendapat status pilihan 9/16 meneruskan kecemerlangan apabila mudah mengetepikan cabaran pemain Singapura, Liang Derek Wong 15-2, 15-10.
Bagaimanapun halangan ke suku akhir cukup getir apabila Azrihaniff terpaksa berdepan pemain pilihan 5/8 kejohanan dari China, Qicheng Lu yang mengetepikan pemain tuan rumah, Billy Dejoy, 15-9, 15-10.
Wei Feng mengiringi Azrihaniff ke pusingan keempat setelah menang straight set ke atas pemain Indonesia Markus Wijanu 17-15, 15-5.
Wei Feng akan berdepan pemain pilihan 5/8 kejohanan, Ji Hoon Hong dari Korea Selatan yang mudah menewaskan Tawan Huansuriya dari Thailand 15-0, 15-6.
Hasrat untuk melihat keempat-empat wakil negara ke pusingan keempat hampa apabila Chun Seang dan Kenn Lim tumpas kepada lawan masing-masing yang nyata lebih hebat.
Chung Seang tidak terdaya menahan asakan pemain Thailand, Sittichai Viboonsin dan terpaksa menyerah kalah dalam permainan dua set 15-12, 15 10.
Pemain China, Jin Chen pula menyekat hajat Kenn Lim untuk melangkah ke pusingan keempat apabila menewaskan pemain negara itu 15-4, 15-2.
Sementara itu, cabaran perseorangan wanita negara kini hanya disandarkan kepada Amelia Anscelly selepas rakan senegara Anita Raj Kaur tewas pemain Taiwan, Ya Lan Chang 11-2, 11-6.
Amelia mara ke pusingan keempat setelah mengetepikan pemain Jepun, Yukina Oku dengn permainan terus 11-6,11-6.
Peluang Amelia ke suku akhir begitu mencabar setelah dijadual bertemu pemain pilihan pertama dari China, Jiang Yanjiou.
Yanjiou sebelum itu tidak memberi peluang kepada pemain Amerika Syarikat, Lauren Todt 11-0, 11-2 di pusingan ketiga.
Dalam acara beregu lelaki, kita masih meneruskan cabaran menerusi pasangan Hoon Tien How-Tan Boon Heong, pilihan 5/8.
Tian How-Boon Heong berpeluang ke suku akhir apabila berdepan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov-Maxim Dachenko di pusingan ketiga.
Terdahulu pada pusingan kedua, pasangan negara itu mudah menundukkan pasangan Republik Czech, Thomas Kopriva-Pavel Florian 15-6, 15-2.
Pasangan Azrihanif-Chun Seang awal-awal lagi terkandas di pusingan pertama manakala gandingan Syed Ali-Azam Ali tersingkir di pusingan kedua di tangan pilihan kedua kejohanan, Lee Yong Dae-Jung Jung Young 15-0, 15-1 dari Korea Selatan.
Amelia meneruskan kecemerlangan dalam acara beregu wanita apabila gandingannya dengan Haw Hwee Chiou hanya perlu menumpaskan pilihan 3/4, pasangan Korea Selatan, Jun Eun Ha-Seul Ki Oh untuk ke suku akhir.
Terdahulu di pusingan kedua, gandingan Amelia-Haw tidak menghadapai masalah untuk menumpaskan pasangan tuan rumah, Samantha Ralph-Alice Man 15-9, 15-3.
Cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran berakhir semalam apabila gandingan Kenn Lim-Amelia tewas di pusingan keempat kepada pasangan China, He Hanbin-Yu Yang 15-0, 15-4.

Empat pemain negara terus mara

ARKIB : 27/10/2004
KESEMUA empat perseorangan lelaki negara melepasi halangan awal Kejohanan Badminton Remaja Dunia dengan melangkah ke pusingan ketiga di Minoru Arena, Vancouver, Kanada, semalam.
Cabaran Malaysia juga diteruskan oleh dua wakil perseorangan wanita, Amelia Anscelly dan Anita Raj Kaur serta beregu campuran, Kenn Lim-Amelia.
Azrihaniff Azahar, 18, satu-satunya pemain perseorangan lelaki negara yang mendapat status pilihan iaitu ke-9/16 menang straight-set 15-8, 15-8 ke atas Jorrit De Ruiter dari Belanda.
Dia yang menerima bye di pusingan pertama kini akan bertemu Derek Wong dari Singapura pada pusingan ketiga hari ini.
Kenn Lim pula menepati ramalan apabila tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan Maxim Danchenko dari Rusia 15-2, 15-8 pada pusingan kedua.
Bagaimanapun dia bakal berdepan tugas paling berat apabila menentang penyandang juara dan pilihan pertama, Jin Chen dari China di pusingan ketiga.
Tan Chun Seang menempah pertemuan dengan pilihan ke-6/9, Vivoonsin Sittichai dari Thailand pada pusingan ketiga.
Pada pusingan pertama, dia menewaskan Iztok Utrosa dari Sloenia 15-0, 15-0 dan menang 15-3, 15-9 ke atas Khlestov Konstantin dari Rusia di pusingan kedua.
Chong Wei Feng melengkapkan hari cemerlang pemain negara apabila mudah menundukkan Vladimir Ivanov dari Rusia 15-8, 15-2 untuk bertemu pilihan ke-9/12, Markus Vijanu dari Indonesia.
Sementara itu, Amelia yang mendapat bye pada pusingan pertama tidak menghadapi masalah untuk menewaskan pencabar dari Peru, Christina Alcardi Cagigao 11-4, 11-3.
Dia yang merupakan antara tonggak penting yang membantu Malaysia menundukkan England 3-2 untuk menduduki tangga kelima acara berpasukan bakal berdepan Yukina Oku dari Jepun.
Cabaran perseorangan wanita negara turut diteruskan oleh Anita yang hanya diberi tentangan pada set pertama sebelum mengalahkan Kristina Ludikova dari Republik Czech 11-6, 11-0.
Menantinya pada pusingan ketiga adalah Chang Ya Lan dari Taiwan.
Dalam perlawanan beregu campuran, hanya Ken Lim-Amelia berjaya meneruskan saingan ke pusingan kedua selepas menumpaskan Antonio De Vinatea Estrad-Claudia Rivero Modenesi dari Peru 15-8, 15-5.
Beregu negara itu bakal berdepan kesukaran pada pusingan kedua apabila berdepan pilihan ke-3/4 dari China, He Hanbin-Yu Yang.
Dalam dua perlawanan lain, Hoon Tien How-Haw Chiou Hwee tewas kepada Fang Chieh Min-Tsai Pei Ling dari Taiwan, 7-15, 11-15, Chong Wei Feng-Anita Raj Kaur pula tumpas 4-15, 6-15 kepada pasangan Singapura, Koh Yan Sen-Vanessa Neo.
Malaysia pernah memenangi gelaran pada Kejohanan Remaja Dunia menerusi Chan Chong Ming-Jeremy Gan dalam beregu lelaki pada 1996.
Dua tahun kemudian, Chong Ming berpasangan dengan Teo Kok Seng untuk mempertahankan gelaran beregu lelaki, manakala bergandingan dengan Joanne Quay dia membawa pulang kejuaraan beregu campuran.

Badminton Remaja Dunia - Malaysia gagal ke separuh akhir

ARKIB : 24/10/2004
SEPERTI diduga, Malaysia dibelasah 5-0 oleh China dalam perlawanan terakhir Kumpulan W, sekali gus gagal melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Vancouver, Kanada semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan China mengekalkan rekod bersih, menang 5-0 dalam kesemua tiga perlawanan untuk muncul juara kumpulan.
Malah, mereka terus menjadi pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan berpasukan campuran itu buat kali ketiga berturut-turut.
Pasukan negara yang bermula goyah sejak hari pertama akan berdepan Denmark hari ini untuk perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan.
Penyingkiran Malaysia daripada saingan separuh akhir sudah terbayang sejak hari pertama apabila mempamerkan aksi goyah ketika mengalahkan Slovenia 3-2 dan Peru 4-1, kelmarin.
Kebimbangan mereka menjadi kenyataan semalam apabila gandingan Shen Ye-Yu Yang mudah mengutip mata pertama China menewaskan Hoon Thien How-Haw Chiou Hwee 15-1, 15-6 dalam acara beregu campuran.
Lu Lan melebarkan kedudukan 2-0 buat China apabila menundukkan Amelia Anscelly 11-6, 11-6 dalam perseorangan wanita hanya mengambil masa 25 minit.
Hasrat Malaysia untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata menerusi perseorangan lelaki, Tan Chun Seang tidak kesampaian apabila dia tunduk 2-15, 11-15, sekali gus mengesahkan kemenangan China.
Walaupun sudah tewas, beregu lelaki negara, Tan Boon Heong-Thien How tetap beraksi habis-habisan dengan memaksa Shen Ye-He Hanbin bekerja keras sebelum kalah 8-15, 17-16, 10-15.
Begitupun seperti diduga, Pan Pan-Feng Chen mudah memberikan mata pelengkap kepada China dengan hanya memerlukan 15 minit untuk mengalahkan Anita Raj Kaur-Amelia 15-0, 15-3.
China akan menentang Indonesia dalam perlawanan separuh akhir hari ini, manakala Korea Selatan bertemu Taiwan.
Acara individu akan bermula esok yang dijangka memberi peluang kepada Malaysia untuk mencipta kejayaan terutama dalam acara perseorangan dan beregu lelaki

Jumaat, 28 April 2017

Choong Hann tewas di separuh akhir

ARKIB : 04/04/2004
HARAPAN untuk menyaksikan pemain badminton negara mengakhiri kemarau kejayaan tahun ini di Terbuka Korea Selatan punah apabila Wong Choon Hann tewas di separuh akhir perseorangan lelaki di Stadium Tertutup Choongju, semalam.
Ternyata badi kekecewaan di Seluruh England lalu berterusan selepas pemain perseorangan nombor satu negara itu kalah 15-8, 12-15, 15-8 kepada pemain China, Chen Hong.
Ini adalah kekalahan kedua Choong Hann dalam tiga pertemuan mereka sejak tahun lalu.
Chen Hong mengalahkan Choong Hann dalam saingan separuh akhir Terbuka Malaysia, September lalu sebelum menebus kekalahan tersebut pada peringkat suku akhir Terbuka Denmark dua minggu selepas itu.
Dalam perlawanan semalam, Choong Hann yang merupakan pemain tunggal negara meneruskan cabaran hingga ke separuh akhir tewas dalam masa 73 minit.
Dalam satu lagi separuh akhir, seorang lagi pemain China, Xia Xuanze menempah tempat ke perlawanan akhir selepas menewaskan pemain tuan rumah, Park Tae Sang 15-9, 17-15.
Keputusan penuh Separuh akhir:
Perseorangan lelaki: Chen Hong (CHN) kln WONG CHOONG HANN (MAS) 15-8, 12-15, 15-8; Xia Xuanze (CHN) kln Park Tae Sang (KOR) 15-9, 17-15.
Beregu lelaki: Sang Yang/Zheng Bo (CHN) kln Flandi Limpele/Eng Hian (INA) 15-10, 15-8; Luluk Hadiyanto/Yulianto Alven (INA) kln Yim Bang-Eun/Kim Yong-Hyun 15-6, 15-5.
Perseorangan wanita: Zhang Ning (CHN) kln Gong Ruina (CHN) 11-7, 11-3; Jun Jae-Youn (KOR) kln Xu Huaiwen (GER) 11-9, 7-11, 11-5.
Beregu wanita: Ra Kyung Min/Lee Kyung Wong (KOR) kln Gao Ling/Huang Sui 15-12, 10-15, 15-8; Yang Wei/Zhang Jiewen (CHN) kln Lee Hyo-Jung/Hwang Yu-Mi 15-6, 15-12.
Beregu campuran: Kim Dong-Moon/Ra Kyung-Min kln Chen Qiqiu/Zhao Ting Ting 15-2, 15-5; Kim Yong Hyun/Lee Hyo Jung (KOR) kln Prapakamol Sudket/Thungthongkam 15-13 15-12.

Cabaran pasukan negara berakhir

ARKIB : 03/10/2004
DEN BOSCH, Belanda - Cabaran Malaysia, yang menghantar skuad muda pada Kejohanan Badminton Terbuka Belanda berakhir kelmarin selepas bekas pemain kebangsaan, Sairol Amar Ayob dan beregu Tan Boon Heong-Hoon Thien How kandas di di pusingan ketiga dan kedua.
Sairol, 24, pemain negara paling senior pada kejohanan dua bintang bernilai AS$50,000 (RM190,000) itu tewas 7-15, 14-17 kepada pilihan keempat, Anders Boesen dari Denmark 7-15, 14-17.
Terdahulu, Sairol melepasi dua halangan awal, mengalahkan Koen Ridder dari Belanda 15-3, 15-1 pada pusingan pertama dan menang 15-8, 15-2 ke atas Jonas Lyduch dari Denmark di pusingan kedua.
Siri kekalahan skuad muda negara dilengkapkan dengan kekalahan beregu Boon Heong-Thien How kepada pilihan kedua dari Denmark, Peter Steffensen-Thomas Laybourn 5-15, 10-15.
Keputusan di Belanda pastinya memberi petanda tidak baik kepada Malaysia apabila beraksi pada kejohanan lima bintang, Terbuka Denmark pada 5-10 Oktober ini.
Pasukan negara mengambil keputusan hanya menghantar skuad pelapis pada siri kejohanan di Eropah selepas penyertaan pemain senior dibekukan buat sementara ekoran aksi buruk pada Sukan Olimpik Athens.
Selain Sairol dan pasangan Boon Heong-Thien How, pasukan negara turut diwakili tiga lagi perseorangan remaja, Pei Wee Chung, Azrihanif Azahar serta Chong Wei Feng.
Wee Chung kandas pada pusingan kedua selepas tewas 7-15, 8-15 kepada Daniel Damgaard-Pedersen dari Denmark.
Azrihanif dan Wei Feng pula tersingkir seawal pusingan pembukaan. Azrihanif kalah 15-10, 10-15, 9-15 kepada pemain dari pusingan kelayakan, Rikkert Suijkerland dari Belanda.
Wei Feng turut tumpas dengan rubber-set 13-15, 17-14, 10-15 di tangan pemain dari negara kerdil badminton, Lithuania Kestutis Navickas.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selasa, 25 April 2017

Cabaran badminton berakhir

ARKIB : 18/08/2004
ATHENS - Pemain perseorangan, Wong Choong Hann dan Lee Chong Wei melengkapkan derita kontinjen Malaysia apabila gagal dalam misi mereka untuk meneruskan cabaran selepas tumbang pada pusingan kedua badminton Sukan Olimpik di Dewan Olimpik Goudi di sini semalam.
Selepas mempamer aksi menyakinkan di awal set pertama, Choong Hann yang diletakkan sebagai pilihan ketiga tewas dalam aksi maraton selama satu jam 22 minit kepada Taufik Hidayat dari Indonesia 15-11, 7-15, 9-15.
Chong Wei pula tewas selepas memberikan tentangan sengit kepada pilihan kedua, Chen Hong dari China 11-15, 15-3, 12-15.
Dengan berakhirnya cabaran negara dalam acara badminton bermakna Malaysia diramal mengulangi pencapaian di Sydney tahun 2000 - apabila pulang tangan kosong - meskipun masih ada beberapa acara yang akan disertai oleh atlet negara seperti menembak, lumba basikal, perahu layar dan olahraga. Kesemua acara itu berada di luar sasaran pingat.
Choong Hann, 27, banyak melakukan kesilapan ketika mengembalikan bulu tangkis di jaring, yang membolehkan Taufik bangkit meskipun tewas pada set pertama.
Dalam aksi semalam, pemain kidal Malaysia itu bermula cemerlang apabila meninggalkan Taufik 7-1 dan 13-4. Namun selepas itu, Taufik bangkit dengan merapati mata yang diperoleh Choong Hann sehingga angka 14-7. Choong Hann kemudian terhenti pada angka 14, yang menyebabkan pemain kelahiran Bandung itu mengambil kesempatan menambah mata sehingga angka 11 berturut-turut akibat kesilapan permainan di jaring, yang dilakukan oleh pemain Malaysia itu.
Namun ketika servis bertukar tangan pada kedudukan mata penamat, Choong Hann melakukan pukulan kuat ke be-lakang dengan Taufik menyangkakan bulu tangkis terkeluar tetapi ia menjadi mata kemenangan 15-11 bagi pemain Malaysia selepas beraksi selama 28 minit.
Set kedua menyaksikan Taufik lebih bersedia untuk menyerap permainan Choong Hann dengan hantaran-hantaran di jaring yang sentiasa memerangkap lawan apabila selepas ketinggalan 1-2, pemain Indonesia itu terus meninggalkannya dengan kedudukan sehingga 10-3.
Choong Hann yang kelihatan hilang tumpuan cuba mengawal permainan dan mendekati lawannya sehingga kedudukan 7-11. Sesudah servis bertukar tangan, Taufik tidak melepaskan peluang dengan menambah empat mata berturut-turut dan menyudahkan aksi set kedua dengan kemenangan 15-7 dalam masa 20 minit sahaja untuk memaksa permainan rubber-set.
Untuk aksi penentuan itu, Choong Hann mudah mendahului lawannya sehingga 5-0 sebelum Taufik menggunakan kesempatan di atas kelemahan lawan bermain di jaring dengan memungut lapan mata dan mendahului 8-5. Choong Hann hanya mampu mencuri tiga mata ketika Taufik melebarkan jurang dengan 14-8. Dalam kedudukan yang getir itu, Choong Hann mencuri satu mata tetapi sudah terlewat untuk menyekat laluan Taufik mara ke pusingan suku akhir dengan kemenangan 15-9 berpihak kepada pemain Indonesia itu.
``Saya terpaksa berdepan dengan keadaan angin yang tidak menentu di gelanggang. Ia memaksa saya menggunakan banyak tenaga dengan tolakan bulu tangkis yang tersangkut di jaring.
``Taufik juga menghadapi masalah yang serupa tetapi dia mampu mengatasinya dengan baik,'' kata Choong Hann.
Lawannya Taufik berkata, dia berjaya menguasai permainan pada set kedua yang membolehkannya memenangi perlawanan. Menurut Taufik, dia menyedari kelemahan Choong Hann bermain di jaring dan menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin untuk mendapatkan mata.
``Dia mempunyai permainan yang baik ketika melakukan chop dan smash. Sudah tentu saya mahu menggunakan kelebihan yang saya miliki,'' kata Taufik, juara Asia 2004.
Kelmarin, Choong Hann mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain dari Poland, Wacha Przmyslaw 15-1, 15-5. Ini merupakan aksi kedua Choong Hann dalam Sukan Olimpik. Pada temasya di Sydney 2000, cabarannya berakhir pada peringkat suku akhir.
``Dia cuba bermain dengan ketepatan tetapi secara tiba-tiba mengubah permainannya. Saya sendiri tidak tahu apa puncanya,'' kata ketua jurulatih, Misbun Sidek ketika mengulas permainan Choong Hann.
Kekalahan itu bermakna Choong Hann mengiringi rakan seperjuangannya, Mohd. Roslin Hashim yang terkandas pada pusingan pertama apabila tewas kepada seorang lagi pemain dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 6-15, 15-9, 8-15 kelmarin.
Terdahulu, pasangan Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui seperti yang dijangka tunduk kepada pilihan kedua, Huang Sui dan Gao Ling dengan 15-12, 15-8 pada pusingan kedua acara beregu wanita. - Utusan

Tan Fook, Wan Wah lepasi ranjau pusingan kedua

ARKIB : 17/08/2004
ATHENS - Pasangan harapan negara untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah melepasi halangan awal dengan menundukkan beregu Thailand, Pramote Teerawiwatana dan Tesana Panvisvas pada pusingan kedua acara beregu lelaki badminton Sukan Olimpik di sini, semalam.
Beraksi selaku beregu nombor satu dunia mengikut ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dan diletakkan sebagai pilihan keempat di sini, Tan Fook dan Wan Wah menang 15-10, 15-13 untuk melangkah ke pusingan ketiga. Pasangan Malaysia ini mendapat bye di pusingan pertama.
Menanti mereka pada pusingan 16 terakhir itu nanti ialah pasangan bukan pilihan, Lee Dong Soo dan Yoo Yong Sung dengan rekod pertemuan menyebelahi pasangan dari Korea Selatan itu.
Dong Soo dan Yong Sung semalam menumpaskan pilihan ketujuh, pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto dan Yulianto Alven.
Melihat aksi mereka menentang pasangan Thailand semalam, Wan Wah dan Tan Fook dijangka berpeluang untuk mara lebih jauh walaupun rekod pertemuan memihak kepada Dong Soo dan Yong Sung, yang menang lima daripada enam pertemuan di antara kedua-duanya. Selepas menang 15-10 pada set pertama, pasangan Malaysia itu mendapat tentangan yang hampir memaksa permainan rubber-set apabila Teerawiwatana dan Panvisvas berjaya merapati kedudukan 13-14, meskipun Wan Wah dan Tan Fook meninggalkan jauh pasangan itu dengan mendahului 14-9.
``Mungkin kami mahu menamatkan perlawanan dengan cepat. Apapun, kami masih memenanginya. Keadaan di gelanggang agak berangin. Kami tidak banyak mengubah rentak permainan dan seronok apabila dicabar untuk setiap mata,'' kata Wan Wah.
Mengulas pertemuan menentang pasangan dari Korea itu, Wan Wah berkata, mereka mempunyai peluang yang seimbang walaupun rekod menyebelahi lawan mereka.
``Kami akan bermain secara berbeza untuk setiap perlawanan. Mungkin kami berpeluang tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan seperti ini,'' katanya lagi.
Menurut pemain itu lagi, dia dan Tan Fook akan berusaha memberikan tumpuan untuk pertemuan dengan pasangan Korea itu.
``Tekanan tetap ada. Kami hanya perlu memberi tumpuan dan melakukan apa yang perlu ketika berdepan dengan mereka,'' kata Wan Wah.
Katanya, beraksi sebagai pasangan nombor satu dunia sudah tentu memberikan tekanan terutama apabila bersaing di peringkat tertinggi seperti Sukan Olimpik.
``Lihat apa yang berlaku kepada Lin Dan. Saya sendiri terkejut dengan kekalahannya. Dalam temasya seperti ini segalanya boleh berlaku. Kami akan berusaha mengelak apa yang berlaku ke atas pemain itu,'' katanya sambil merujuk kekalahan pemain pilihan pertama, Lin Dan kepada pemain Singapura, Ronald Susilo pada pusingan pertama acara perseorangan lelaki, kelmarin.
Malaysia gagal memenangi sebarang pingat pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney apabila pasangan itu tewas kepada pasangan Korea, Kim Dong Moon dan Ha Tae-kwon dalam perebutan pingat gangsa. Badminton menjadi penyumbang pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik apabila Razif dan Jalani Sidek memenangi pingat gangsa sewaktu acara itu mula dipertandingkan pada temasya di Barcelona 1992 sebelum Cheah Soon KIt dan Yap Kim Hock meraih pingat perak di Atlanta 1996 dengan Rashid Sidek memenangi pingat gangsa acara perseorangan. - Utusan

Beregu negara nombor 1 dunia

ARKIB : 06/08/2004
TAN Fook (kanan) dan Wan Wah menerima berita gembira menjelang Sukan Olimpik Athens apabila muncul pasangan nombor satu dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa, semalam.


PASANGAN Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menerima suntikan semangat dalam usahanya memburu pingat emas Olimpik pertama Malaysia di Athens apabila bergelar beregu nombor satu dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa semalam.
Ini merupakan pencapaian tertinggi sepanjang karier kedua-dua pemain senior itu selepas tiga minggu berada di ranking kedua dunia, sejak 8 Julai lalu.
Kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia dan Sukan SEA, selain muncul naib juara Seluruh England merupakan pencapaian yang menjulang Tan Fook-Wan Wah merampas takhta teratas dunia.
Walaupun kedudukan terbaru ini tidak memberi kesan terhadap undian Olimpik, namun ia tetap menjadi penyuntik semangat tambahan buat pasangan negara itu sebelum berangkat ke Athens, Ahad ini. Undian temasya dibuat berdasarkan ranking 1 Mei.
``Memang menjadi idaman setiap pemain untuk menjadi nombor satu dunia terutama menjelang temasya besar seperti Olimpik. Kami amat gembira,'' kata Tan Fook, yang mara ke separuh akhir pada Olimpik Sydney empat tahun lalu.
``Status terbaru ini sama sekali tidak akan menambah tekanan, sebaliknya ia akan membantu kami untuk memasuki gelanggang dengan lebih yakin,'' tegasnya lagi.
Juara Seluruh England, Lars Paaske-Jonas Rasmussen yang menguasai kedudukan teratas dunia selama 36 minggu berturut-turut jatuh ke tangga ketiga, manakala pasangan veteran Korea Selatan, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon naik ke ranking kedua.
Beregu kedua negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang pernah merasai status nombor satu dunia selama tujuh minggu pada April 2002 jatuh lima anak tangga kepada ranking 22 dunia.
Sementara itu juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei turut menerima suntikan semangat untuk membuat penampilan sulung Olimpik apabila menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama, naik dua anak tangga daripada ranking ke-12 minggu lalu.
Bagaimanapun nasib berbeza menimpa perseorangan utama negara, Wong Choong Hann yang mengalami kemerosotan tiga anak tangga daripada kedudukan ketiga dunia kepada keenam.
Pemain veteran yang turut menjadi sandaran Malaysia pada temasya 13-29 Ogos ini, Mohd. Roslin Hashim tidak berganjak daripada ranking 14 dunia yang didiami sejak 8 Julai lalu.
Bintang remaja China dan juara Seluruh England, Lin Dan mengekalkan kedudukan nombor satu dunia buat minggu ke-21, diikuti rakan senegara, Chen Hong di tempat kedua.
Wakil tunggal Malaysia dalam beregu wanita dan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2002, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula mengalami kenaikan satu anak tangga kepada ranking 19 dunia.
Ranking terbaru dunia:
LELAKI, perseorangan: 1. Lin Dan (Chn); 2. Chen Hong (Chn); Peter Gade-Christensen (Den); 4. Lee Hyun Il (Kor); 5. Bao Chunlai (Chn); 6. WONG CHOONG HANN; 7. Sony Dwi Kuncoro (Ina); 8. Xia Xuanze (Chn): 9. Ronald Susilo (Sin); 10. LEE CHONG WEI; 14. MOHD. ROSLIN HASHIM; 23. MUHD. HAFIZ HASHIM; 30. LEE TSUEN SENG; 36. YEOH KAY BIN; 39. SAIRUL AMAR AYOB

Beregu: 1. CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH; 2. Ha Tae-kwon-Kim Dong-moon (Kor); Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den); 4. Fu Haifeng-Cai Yun (Chn); 5. Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto (Ina); 6. Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen (Den); 7. Flandi Limpele-Eng Hian (Ina); 8. Sang Yang-Zheng Bo (Chn); 9. Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung (Kor); 10. Tri Kusharjanto-Sigit Budiarto (Ina); 22. CHAN CHONG MING-CHEW CHOON ENG; 32. GAN TAIK CHAI-KOO KIEN KEAT



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 24 April 2017

Choong Hann makin mantap

ARKIB : 31/07/2004
MENJELANG dua minggu lagi bermula temasya sukan terbesar di dunia, Olimpik Athens, pemain badminton nombor satu negara, Wong Choong Hann menyifatkan persediaannya sudah hampir mantap selain tidak berdepan sebarang tekanan.
Lantaran itu, Choong Hann mahu menjadikan faktor tersebut sebagai bekalan terbaik untuk merealisasikan harapan negara untuk meraih emas pertama negara di Olimpik.
Menurutnya, walaupun dia lebih disandarkan harapan untuk meraih kejayaan berbanding dua lagi rakannya, Roslin Hashim dan Lee Chong Wei, tekanan tidak langsung dirasainya.
``Tiada gunanya saya meletakan tekanan terhadap diri sendiri kerana ia hanya menjejaskan tumpuan.
``Saya juga berterima kasih kepada semua pihak terutama media yang tidak menyiarkan laporan yang menekan atau memaksa saya untuk memenangi emas di Athens.
``Kerjasama media banyak membantu saya menumpukan kepada latihan. Lagipun saya tiada masa untuk memikirkan soal tekanan kerana terlalu sibuk dengan latihan,'' katanya ketika di temui ketika mengikuti latihan pusat akhir Olimpik Athens 2004 di IOI Resort, Putrajaya semalam.
Sememangnya Athens 2004 merupakan peluang terbaik untuk Malaysia meraih emas pertama Olimpik menerusi sukan badminton dengan penampilan pemain utama negara.
Selain Choong Hann, 27, dia ditemani dua pemain perseorangan negara iaitu Roslin dan Choong Wei dan pasangan bergu, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choong Eng.
Menilai prestasi semasa, tahun 2003 dianggap tahun gemilang Choong Hann berikutan beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa bermula dengan gelaran naib juara Kejohanan Dunia.
Selepas itu, dia menggegar di beberapa kejohanan antarabangsa seperti mara ke separuh akhir kejohanan Terbuka Denmark, juara Terbuka Taiwan, naib juara Terbuka China, naib juara Sukan SEA 2003 di Vietnam dan juara kejohanan Copenhagen Master.
Musim 2004 agak kurang memihak Choong Hann apabila sekadar mara ke separuh akhir kejohanan Terbuka Korea.
Begitupun Choong Hann akur kilauan emas di Athens tidak semudah dijangka kerana baginya semua pemain yang layak ke Olimpik berpeluang untuk menang.
``Harapan pingat untuk Malaysia turut dipikul bersama oleh Roslin dan Chong Wei serta dua bergu negara,'' katanya.

Choong Hann jadi `kambing hitam' -- Sukan Olimpik Athens

ARKIB : 26/07/2004

APALAH nasib yang menimpa pemain perseorangan utama negara, Wong Choong Hann apabila bakal dijadikan `kambing hitam' dalam acara badminton Sukan Olimpik 2004 di Athens, bulan depan.
Bunyinya mungkin seperti satu penghinaan tetapi itu hanyalah congakan strategi jurulatih, Misbun Sidek dalam usaha kontinjen negara `mencuri' pingat di temasya sukan terbesar di dunia itu nanti.
Bukan tidak yakin dengan kemampuan Choong Hann tetapi sebagai pemain pilihan ketiga, tumpuan dan tekanan sudah pasti menjadikan tugas yang dipikul satu bebanan besar buatnya.
Sehubungan itu, Misbun bercadang ingin mengambil kesempatan ke atas tumpuan lawan kepada Choong Hann dengan menjadikan Lee Chong Wei sebagai `kuda hitam'.
``Untuk mengalih tekanan tinggi yang diletakkan di bahu Choong Hann, kita perlu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
``Saya percaya sebagai pemain bukan pilihan, Chong Wei tidak begitu tertekan dan berdasarkan kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia, dia boleh melakukan kejutan.
``Tujuan saya, dalam lawan sibuk memberikan tumpuan kepada Choong Hann, Chong Wei boleh menyinar ikut pintu belakang,'' katanya.
Misbun mungkin merujuk kepada kejayaan Mohammad Hafiz Hashim yang berjaya muncul juara Seluruh England 2003 ketika dia langsung tidak diletakkan harapan.
Kali terakhir pemain perseorangan negara memenangi pingat Olimpik ialah menerusi Rashid Sidek yang meraih gangsa pada Olimpik 1996 di Atlanta.
Misbun berkata, Chong Wei adalah pertaruhan terbaik negara selain Choong Hann dan mungkin Roslin Hashim juga boleh melakukan kejutan yang sama.
Ketiga-tiga pemain perseorangan itu adalah antara sembilan pemain badminton negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik, bulan depan.
Selain mereka, cabaran negara diletakkan di bahu dua pasangan beregu lelaki negara iaitu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng serta satu beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.
Sementara itu, Misbun berkata, undian pemain yang akan dikeluarkan pada 8 Ogos nanti akan menentukan sama ada pemain negara boleh pergi lebih jauh.
Bagaimanapun siapa juga lawan yang bakal dihadapi, beliau tidak fikir akan memberi tekanan buat Chong Wei dan Roslin kecuali Choong Hann.

Choong Hann pilihan ketiga

ARKIB : 23/07/2004
HANYA naib juara dunia, Wong Choong Hann dan pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menerima status pilihan pada Sukan Olimpik bulan depan, sekaligus menjadikan ketiga-tiganya sebagai pertaruhan terbaik untuk meraih pingat di Athens.
Berdasarkan kedudukan pilihan yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa semalam, China diletak sebagai pilihan utama untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga pingat emas - perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita.
Walaupun sekadar kedudukan pilihan, namun ia dianggap penting kerana senarai tersebut bakal mempengaruhi undian pemain yang akan dikeluarkan seminggu sebelum Olimpik bermula, 13-29 Ogos ini.
Ketiadaan juara dunia, Xia Xuanze yang tidak pernah dikalahkan oleh Choong Hann mungkin sedikit melegakan, namun perseorangan utama negara itu tidak harus melupakan tiga lagi pemain China yang menguasai empat kedudukan teratas.
Pemain nombor satu dunia dan juara Seluruh England, Lin Dan menjadi pilihan pertama, diikuti oleh rakan senegaranya, Chen Hong. Choong Hann pula berada pada kedudukan ketiga dan diekori oleh seorang lagi pemain China, Bao Chunlai, keempat.
Dua lagi perseorangan negara yang memikul cabaran Olimpik adalah juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei dan Mohd. Roslin Hashim, kedua-duanya tidak menerima status pilihan tetapi menduduki rangking ke-12 dan 14 dunia.
Tan Fook-Wan Wah pula diletak sebagai pilihan keempat, sama dengan status yang diterima di Sydney empat tahun lalu ketika pulang tanpa sebarang pingat selepas kalah kepada beregu Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung 12-15, 15-7, 4-15 di separuh akhir.
Mengetuai cabaran beregu adalah juara dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark, diikuti Fu Haifeng-Cai Yun dari China dan beregu berpengalaman Korea, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon, pilihan ketiga.

Beregu Malaysia nombor dua dunia

ARKIB : 10/07/2004
BEREGU utama negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah yang menjuarai Terbuka Malaysia di Kuantan lima hari lepas, berpeluang cerah untuk membawa balik pingat pada temasya Sukan Olimpik di Athens bulan depan.
Tan Fook-Wan Wah kini menduduki tangga kedua ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dan kemungkinan besar akan diletakkan sebagai pilihan kedua dalam acara badminton Olimpik.
Memandangkan Terbuka Malaysia adalah kejohanan terakhir sebelum bermulanya sukan itu pada 13 Ogos (hingga 29 Ogos) ini, kedudukan ranking itu bakal kekal.
Pada Sukan Olimpik di Sydney empat tahun lepas, Tan Fook-Wan Wah terkandas di separuh akhir . Mereka juga kalah dalam persaingan merebut pingat gangsa
Kejohanan di Kuantan menyaksikan pasangan itu meraih kemenangan pertama Grand Prix dunia selepas lima tahun dan 420 mata yang diperoleh membawa mata terkumpul mereka kepada 3,463 mata daripada 10 kejohanan. Mereka ketinggalan 118 mata sahaja di belakang juara dunia, Lars Paaske dan Jonas Rasmussen dari Denmark yang menarik diri daripada kejohanan di Kuantan pada saat-saat akhir.
Sementara itu, beregu kedua Malaysia, Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng yang turut layak ke Athens, juga membaiki kedudukan dalam ranking apabila naik dari tempat ke-19 kepada 17.
Pasangan yang pernah menduduki ranking pertama dunia itu tewas dalam pusingan kedua di Kuantan.
Juara perseorangan Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei naik tiga tangga ke tempat ke-12 manakala Wong Choong Hann kekal sebagai pemain terbaik negara di tempat ketiga.
Roslin Hashim yang kalah kepada Bao Chunlai dari China pada pusingan ketiga berada di tempat ke-14 manakala adiknya Hafiz di tangga ke-23.
Choong Hann diapit empat pemain China dengan Lin Dan di tempat pertama dan Chen Hong di tempat kedua manakala tempat keempat disandang oleh Chunlai yang diikuti Xia Xuanze.

Ahad, 23 April 2017

Choong Hann tersingkir awal

ARKIB : 01/07/2004
PEMAIN nombor satu negara yang bakal membawa cabaran Sukan Olimpik Athens, Wong Choong Hann tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas tumpas kepada bekas juara dunia, Peter Rasmussen dari Denmark semalam.
Choong Hann, pilihan ketiga dan antara tiga pemain Malaysia yang akan beraksi di Athens, Ogos ini tumpas 4-15, 15-4, 10-15 dalam masa 50 minit di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan.
Selepas tewas mudah 4-15 dalam set pertama, naib juara dunia itu bangkit daripada ketinggalan 0-7 pada set kedua untuk menyamakan kedudukan 15-4 dalam masa 11 minit.
Bagaimanapun kedua-dua mereka bermain berhati-hati pada set penentuan dan juara dunia 1997, Rasmussen, yang hanya menduduki ranking ke-84 dunia mendahului 12-8 sebelum menang 15-10.
``Saya kecewa dengan permainan saya hari ini. Saya bagaikan hilang punca dan dipaksa mengikut rentak permainannya,'' kata Choong Hann.
Kegagalan Choong Hann itu bagaimanapun berjaya ditebus oleh dua lagi wakil Malaysia ke Athens, Mohd. Roslin Hashim dan Lee Chong Wei.
Turut meneruskan cabaran adalah beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, selain pasangan muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.
Roslin, 29, tidak menghadapi bayak masalah untuk menyingkirkan Jim Ronny Andersen dari Norway, 15-6, 15-6, manakala naib juara tahun lalu dan pilihan ke-13, Chong Wei diberi tentangan sengit sebelum menewaskan pemain Indonesia, Mahardi Wiempie 17-14, 15-13.
Naib juara Seluruh England, Tan Fook-Wan Wah juga dikerah berkerja-keras untuk menumpaskan beregu Indonesia, Candra Wijaya-Flandi Limpele 15-11, 9-15, 15-0 dan menempah pertemuan dengan Hendra Gunawan-Joko Riyadi juga dari Indonesia.
Chong Ming-Choon Eng pula bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menewaskan pasangan England, Nathan Robertson-Anthony Clark 13-15, 15-8, 17-14. Bin Shen-Soon Hock menewaskan Ruben Gordown Khosadalina-Sindoro Ajibasuki dari Indonesia 15-1, 15-4.
Cabaran perseorangan negara turut diteruskan bekas juara Seluruh England , Muhd. Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Yeoh Kay Bin, Kuan Beng Hong, juara 2002, James Chua dan Ismail Saman.
Hafiz hampir dikejutkan oleh pemain Thailand, Thirayu Laohathaimongkol sebelum menang 15-10, 12-15, 15-2 dan akan bertemu pemain Indonesia, Marleve Mainaky.
Tsuen Seng mengetepikan Sergio Llopis dari Sepanyol 15-7, 15-4, Kay Bin menumpaskan Zhang Yang dari Hong Kong 15-5, 15-7 dan Beng Hong mengatasi Przemyslaw Wacha dari Poland 15-6, 15-3.

Jumaat, 21 April 2017

Misi Malaysia berakhir

ARKIB : 13/05/2004
JAKARTA - Misi Malaysia untuk merangkul kembali trofi berprestij dalam kejuaraan badminton Piala Thomas berakhir apabila tewas 3-1 kepada penyandang juara dan tuan rumah, Indonesia dalam persaingan sengit di Stadium Istora Senayan, semalam.
Kekalahan membawa makna bahawa pasukan negara kini terpaksa pulang lebih awal sambil menanti dua tahun lagi untuk kejohanan berikutnya di Tokyo, Jepun pada tahun 2006 dalam usaha mengulangi kejayaan memenanginya pada tahun 1992 di Kuala Lumpur, yang lalu.
Ini kali kedua Malaysia gagal ke separuh akhir selepas aksi mengecewakan di Kuala Lumpur pada tahun 2000. Kecuali ketika menjadi tuan rumah empat tahun yang lalu, Malaysia tidak pernah tercicir dalam saingan ke separuh akhir sejak 1988 bahkan layak ke babak akhir sebanyak enam kali termasuk dua tahun lalu di Guangzhou.
Wong Choong Hann, pemain nombor tiga dunia, yang dilihat mempunyai kelebihan dari segi pengalaman selain ranking yang lebih tinggi berbanding lawannya, Sony kelihatan sedikit gementar dan ketinggalan jauh 2-8 sebelum merapatkan jurang mata 6-8 dan mengikat kedudukan 10-10. Pemain nombor tiga dunia itu terus mendahului pada kedudukan 11-10 tetapi permainan terhenti beberapa minit pada kedudukan 13-12 apabila Sony mempersoalkan keputusan penjaga garisan dan pengadil yang tidak sehaluan.
Ketika itu, Sony memegang servis, pukulannya dikatakan masuk oleh penjaga garisan tetapi pengadil menolak dan servis dikembalikan kepada Choong Hann yang terus mengutip mata sehingga mata penamat 15-12.
Pada set kedua, Sony yang nyata kecewa dengan insiden kecil itu dan bangkit dengan mata mudah untuk mendahului 5-0. Dia melebarkan kedudukan sehingga angka 11-1 dan hanya membenarkan Choong Hann meraih satu mata sahaja sebelum melengkapkan kemenangan pada set kedua dengan 15-2 untuk memaksa permainan set penentu.
Sony terus memberikan persembahan bertenaga dengan smash tajam yang menjadi senjata utamanya pada set penentu. Ketika ketinggalan 4-5 dia mengejar dan mendahului sehingga kedudukan 13-5 dan hanya memberi Choong Hann satu mata, melengkapkan kemenangan 15-6 untuk meletakkan Indonesia 1-0 di hadapan sambil menerima sorakan hampir 10,000 penonton yang membanjiri Istora Senayan.
Pasangan veteran, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah menggalas cabaran Malaysia berikutnya menentang pasangan muda, Luluk Hadiyanto dan Yulianto Alven. Beregu negara menang 15-12 dalam set pertama. Meninggalkan jauh lawannya pada kedudukan 7-1 dan 12-3, Tan Fook dan Wan Wah menyudahkan saingan dengan kemenangan 15-6 menjadikan kedudukan terikat 1-1.
Mohd. Roslin Hashim pula berdepan cabaran juara Asia, Taufik Hidayat. Mendahului 5-1 diawal permainan, Taufik mengejar sehingga meninggalkan lawannya 9-5 sebelum Roslin bersaing merapatinya 8-9.
Namun Taufik, yang terkenal dengan aksi cemerlangnya di tempat sendiri tidak mudah goyah dan menamatkan saingan dalam set pertama dengan kemenangan 15-10.
Mendapat sokongan padu penonton tempatan, pada saingan berikutnya, Taufik terus meninggalkan jauh Roslin dengan kedudukan dengan menamatkan permainan dengan kemenangan mudah 15-2, yang bermakna Indonesia mendahului 2-1.
Gandingan kedua Malaysia, Chew Choon Eng dan Koo Kien Keat terpaksa bermati-matian menentang beregu Indonesia, Flandi Limpela dan Eng Hian. Tewas 9-15 pada set pertama, gandingan baru Malaysia itu bangkit memenangi set kedua 15-13.
Namun, pasangan Indonesia memenangi saingan set penentu 15-12 dengan perlawanan berakhir pada pukul 12.45 pagi (waktu Malaysia) sekali gus menyaksikan Indonesia ke separuh akhir dengan kemenangan 3-1.
Terdahulu, China gagah melangkah ke separuh akhir dengan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menumpaskan Jepun 3-0. Dua daripada mata kemenangan mereka diperoleh menerusi pemain nombor satu dan dua dunia, Lin Dan dan Chen Hong sementara pasangan Cai Yun dan Fu Hai Feng mudah menundukkan pasangan Keita Mastuda dan Tadashi Ohtsuka 15-4, 15-5.
Lin memulakan mata pertama apabila menumpaskan Shoji Sato 15-9, 15-13 sebelum pasangan negara itu memungut mata kedua dengan Chen Hong mengesahkan kemenangan China 3-0 apabila menumpaskan Hidetaka Yamada 15-2, 15-2.
China akan bertemu Korea Selatan yang menewaskan Thailand 3-1 dalam satu lagi suku akhir semalam. Mata kemenangan Korea diperoleh menerusi pasangan Kim Dong Moon dan Kim Young Hyun yang menewaskan Sudket Prapakamol dan Patapol Ngermsrisuk 15-3, 15-11. Perseorangan pertama Korea, Lee Hyun Il tewas kepada Boonsak Polsana 16-7, 3-15 dalam aksi pertama sebelum Lee Dong Soo dan Yoo Young Sung menyamakan kedudukan dengan menewaskan Pramote Teerawiwatana dan Tesana Panvisvas 15-5, 7-15 dan 15-11 dengan Son Seung Mo menyumbangkan satu mata menerusi perseorangan kedua, menewaskan Thirayu Laohathaimongkol 15-0, 15-12.
Juara Eropah, Denmark pula melepasi halangan ke separuh akhir apabila menewaskan Jerman 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir. Kenneth Jonassen menyumbang mata pertama dengan menumpaskan Bjoern Joppien 15-9, 15-11 dengan mata kedua diraih oleh pasangan Lars Paaseke dan Jonas Rasmussen yang mudah menundukkan gandingan Ingo Kindervater dan Bjoern Siegmund 15-2, 15-5.
Begitupun Jens Roch mencuri satu mata untuk Jerman apabila menewaskan Anders Boesen 15-6, 15-3 menjadikan aksi beregu kedua sebagai penentu dengan Martin Lundgaard dan Jens Eriksen mudah menumpaskan Jochen Cassel dan Kristof Hopp 15-8, 15-7. - Utusan
KEPUTUSAN SUKU AKHIR:
PIALA THOMAS
KOREA 3 THAILAND 1
Lee Hyun Il kalah kepada Boonsak Ponsana 16-17 3-15Lee Dong Soo/Yoo Young Sung kln Pramote Teerawiwatana/Tesana Panvisvas 15-5, 7-15, 15-11Son Seung Mo kln Thirayu Laohathaimongkol 15-0, 15-12Kim Dong Moon/Kim Young Hyun kln Sudket Prapakamol/Patapol Ngermsrisuk 15-3, 15-11
MALAYSIA 1 INDONESIA 3
Wong Choong Hann kalah kepada Sony Dwi Kuncoro 15-12, 2-15, 6-15 Lee Wan Wah/Choong Tan Fook kln Luluk Hadiyanto/Yulianto Alven 15-12, 15-6.
Mohd. Roslin Hashim kalah kepada Taufik Hidayat 10-15, 2-15; Koo Kien Keat/Chew Choon Eng kalah kepada Flandy Limpele/Eng Hiang 9-15, 15-13, 12-15.
CHINA 3 JEPUN 0
Lin Dan kln Shoji Sato 15-9, 15-13Cai Yun/Fung Hai Feng kln Keita Masuda/Tadashi Ohtsuka 15-4, 15-5Chen Hong kln Hidetaka Yamada 15-2, 15-2
DENMARK 3 JERMAN 1
Kenneth Jonassen kln Bjoern Joppien 15-9, 15-11Lars Paaske/ Jonas Rasmussen kln Ingo Kindervater/Bjoern Siegemund 15-2, 15-5. Anders Boesen kalah kepada Jens Roch 6-15, 3-15Martin Lundgaard/Jens Eriksen kln Jochen Cassel/Kristof Hopp 15-8, 15-7
PIALA UBER
DENMARK 3 BELANDA 2
Camilla Martin kalah kepada Yao Jie 8-11, 11-8, 8-11Tine Rasmussen kln Karina De Wit 11-7, 5-11, 11-4camilla Sorensen kalah kepada Judith Meulendijks 3-11, 8-11Rikke Olsen/Ann-Lou Jorgensen kln Lotte Bruil-Jonathans/Karina De Wit 15-6, 12-15, 15-2Mette Schjoldager/Pernille Harder kln Judith Meulendijks/Yao Jie 15-5, 15-10
KOREA 3 INDONESIA 1
Jun Jae Youn kln Silvi Antarini 11-4, 11-1Seo Yoon Hee kln Maria Kristin 11-5, 11-9Lee Yun Hwa kalah kepada Adrianti Firdasari 11-9, 6-11, 7-11Lee Hyo Jung/Hwang Yu Mi vs Jo Novita/Lita Nurlita 14-17, 15-1, 15-12
CHINA 3 MALAYSIA 0
Zhang Ning vs Wong Mew Choo 11-4, 11-5Gao Ling/Huang Sui kln Chin Eei Hui/Wong Pei Tty 15-8 15-5Zhou Mi kln Norshahliza Baharum 11-0, 11-3
TAIWAN 2 JEPUN 3
Cheng Shao Chieh kalah kepada Kanako Yonekura 5-11, 9-11Chien Yu Chin/Cheng Wen Hsing kln Chikako Nakayama/Keiko Yoshitomi 15-10, 15-8Huang Chia Chi kln Kaori Mori 11-4, 8-11, 11-5Chang Yun Ju/Yang Chia Chen kalah kepada Shizuka Yamamoto/Kumiko Ogura 10-15, 10-15Huang Chia Hsin kalah kepada Miho Tanaka 5-11, 0-11

Malaysia juara Kumpulan C

ARKIB : 10/05/2004


ROSLIN HASHIM membalas hantaran pemain Thailand, Boonsak Polsana dengan pukulan smash dalam perlawanan perseorangan pertama Piala Thomas di Jakarta semalam. Roslin menang 15-8,15-5.


JAKARTA - Malaysia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa meneruskan cabaran badminton Piala Thomas tanpa dapat mengelak bertemu dengan penyandang juara, Indonesia atau China pada peringkat suku akhir.
Percaturan untuk `tunduk' kepada Thailand tidak kesampaian semalam, apabila Malaysia menang 5-0 dan sekaligus muncul juara Kumpulan C.
Kemenangan tersebut bermakna Malaysia kini bakal berdepan naib juara Kumpulan A yang akan ditentukan oleh Indonesia dan China, hari ini.
``Kami hanya melihat peluang. Saya tidak minta pemain untuk kalah dalam perlawanan tetapi sekadar melakukan percaturan,'' kata jurulatih negara, Misbun Sidek.
``Meskipun melakukan sesuatu, kita masih berupaya menang dan perlu menerima hakikat bahawa tidak ada jalan lain kecuali berdepan salah satu pasukan gergasi pada halangan berikutnya,'' katanya lagi.
Katanya, sememangnya jika mengikut susunan pemain yang diturunkan semalam, Malaysia mahu mengalah kepada Thailand tetapi mereka masih belum mampu mengalahkan pasukan negara.
Seperti diduga, Malaysia melakukan perubahan ketara dalam barisan pemainnya dengan hanya menurunkan Wong Choong Hann sebagai beregu kedua, manakala Mohd. Roslin Hashim menjadi perseorangan pertama.
Roslin, 29, pemain nombor 13 dunia menyumbangkan mata pertama negara selepas mengalahkan Boonsak Polsana 15-8, 15-5 untuk melebarkan rekod kemenangannya ke atas pemain nombor 23 dunia itu kepada 5-0.
Pemain remaja, Koo Kien Keat yang membuat penampilan sulung Piala Thomas kelmarin sekali lagi digandingkan dengan Chew Choon Eng. Pasangan itu mengejutkan mengejutkan beregu utama Thailand, Pramote Teerawiwatana-Tesana Panvisvas 15-10, 8-15, 15-12 untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Juara kebangsaan, Lee Chong Wei yang mendapat peluang pertama beraksi dalam Piala Thomas membalas kepercayaan itu dengan mengesahkan kemenangan Malaysia selepas mengutip mata ketiga, mengalahkan Thirayu Laohathaimongkol 15-8, 15-3.
Percaturan negara,menggandingkan Choong Hann dan Chong Ming menjadikan perlawanan agak hambar, sekalipun pasangan bidan terjun itu berjaya memberikan mata keempat dengan menewaskan Sudket-Patapol Ngernsrisuk 15-11, 15-11.
Lee Tsuen Seng yang membuat penampilan pertama sejak diketepikan awal bulan lalu akibat kecederaan mempamer persembahan longgar dan diheret ke perlawanan rubber-set sebelum menang 10-15, 15-7, 15-10 ke atas Adisak Wiriyapadungpong.
Misbun tetap percaya pemainnya tidak mudah tertekan berdasarkan pengalaman beberapa pemain senior yang beraksi pada kejohanan lalu.
``Kini, kita hanya perlu menyiapkan diri untuk mengharungi halangan seterusnya. Saya percaya, mungkin ada rahmatnya berdepan dengan pasukan kuat di laluan lebih awal,'' kata Misbun.
Mengulas lanjut samada beliau memberikan arahan tertentu kepada pemain, Misbun sama sekali menolak.
``Saya hanya membuat percaturan barisan pemain tetapi tidak pula meminta mereka agar tewas dalam perlawanan,'' jelas Misbun.
Katanya, beliau memahami perasaan pemain dan tidak mahu ia merosakkan keyakinan mereka untuk beraksi. - Utusan

Malaysia bermula cemerlang

ARKIB : 08/05/2004
JAKARTA - Seperti diduga, Malaysia membuka tirai cabaran pusingan akhir badminton Piala Thomas dengan kejayaan cemerlang 5-0 ke atas Afrika Selatan dalam saingan Kumpulan C yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Kompleks Sukan Bung Karno di sini, semalam.
Pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann tidak menghadapi masalah mengenepikan lawannya Chris Dednam 15-1, 15-4 dalam perlawanan berat sebelah yang ternyata membuktikan jurang di antara mereka.
Bergelar naib juara dunia selain kedudukannya sebagai pemain nombor tiga dunia, Choong Hann yang tidak beraksi pada kejuaraan Asia (ABC) di Kuala Lumpur bulan lalu, mudah meratah lawannya yang berada pada ranking yang jauh.
Lee Chong Wei yang beraksi buat kali pertama di pusingan akhir pula meraih mata kedua apabila dengan tenang menumpaskan Dean Potgieter 15-1, 15-1 sementara Muhd. Hafiz Hashim memastikan mata kemenangan dengan mengalahkan Wiaan Viljoen.
Hafiz, bekas juara Seluruh England yang beraksi buat kali kedua selepas membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir di Guangzhou dua tahun lalu tanpa belas kasihan menumbangkan lawannya dengan 15-0 dan kedua-dua set.
Pasangan veteran, Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook pula mengetepikan cabaran Chris Dednam dan Roelof Dednam 15-3, 15-3 sementara pasangan `baru', Chew Choon Eng dan Koo Kien Keat menang 15-3, 15-1 ke atas Dorian James dan Wiaan Viljoen 15-3, 15-1.
Choon Eng merupakan gandingan Chan Chong Ming tetapi jurulatih beregu, Yap Kim Hock merehatkan Chong Ming yang baru pulih daripada kecederaan dengan memberi peluang kepada Kien Keat beraksi buat kali pertama untuk kejohanan ini.
Kejayaan besar menumbangkan pasukan yang dibimbing oleh Morten Frost Hansen, bekas jurulatih Malaysia yang berasal dari Denmark itu memang telah diduga lebih awal.
Apa pun ia memberi petanda baik kepada pasukan negara untuk mengharungi cabaran seterusnya.
``Saya gembira dengan permainan bertenaga dan meyakinkan dari Chong Wei walaupun beraksi buat kali pertama pada pusingan akhir kejohanan ini.
Apa pun, saya akan membuat post-mortem untuk perlawanan kedua menentang Thailand,'' kata Misbun.
Ditanya sama ada beliau akan menurunkan barisan yang sama untuk pertemuan menentang Thailand esok, Misbun berkata, ia belum ditentukan.
``Saya perlu menimbangkan sama ada menurunkan dua lagi pemain perseorangan - Lee Tsuen Seng dan Roslin Hashim,'' kata Misbun.
Sementara itu, Kim Hock turut berpuas hati dengan permainan Kien Keat yang menurutnya tidak langsung gementar atau terganggu tumpuannya ketika bergandingan dengan Choon Eng, meskipun stadium agak penuh dengan penonton Indonesia yang bersorak memberi sokongan kepada pasukan mereka yang memulakan cabaran dalam Piala Uber menentang China.
``Dia beraksi dengan tenang meskipun ada sedikit kesilapan terutama ketika mengambil bola di belakang, meskipun menyedari gandingannya berada di belakang,'' katanya. - Utusan